SELEPAS setahun menuntut keadilan, peguam Faisal Abdul Halim iaitu Mohd. Haijan Omar pada minggu lalu mendedahkan siasatan serangan asid ke atas bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Setelah berita itu ‘menghiasi’ dada-dada akhbar dan portal, ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati, malah mereka menganggap ia sebagai detik hitam dalam sejarah bola sepak negara.
Ada juga mempertikaikan tindakan pihak berkuasa dalam kes ini. Kata mereka, “sedangkan kes berprofil tinggi pun boleh dihumban dalam penjara dalam ‘sekelip mata’, kenapa tidak kes ini yang mana video serangan asid sudah tersebar di media sosial?”
Selain itu, ada pihak mendakwa tindakan pihak berkuasa dalam kes ini mencerminkan kegagalan sistem dalam melindungi rakyat. Ini menghantar isyarat penjenayah boleh bebas tanpa hukuman. Isyarat ini boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada pihak berkuasa yang sepatutnya menjadi entiti yang paling dipercayai di dunia.
Malah netizen juga mengharapkan agar keadilan buat Faisal mesti ditegakkan kerana pemian bola sepak itu bukan hanya mangsa, tetapi juga ikon sukan negara.
Dalam pada itu, pihak polis memberitahu kes ini tidak ditutup sebaliknya masih berada dalam siasatan selain menjelaskan klasifikasi NFA adalah prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan jenayah, khususnya apabila tiada bukti kukuh mengaitkan suspek sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu.
Dalam pada itu, surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan tidak dapat mengesan sebarang petunjuk.
Sukan bola sepak yang dikatakan ‘menyatukan rakyat berbilang kaum’ akhirnya ‘dikotori’ dengan ketidakpastian, lebih-lebih lagi membabitkan kes penjaring gol terbaik Asia 2023 masih buntu. Sehingga hari ini pihak berkuasa masih gagal mengesan penjenayah sebenar. Di mana salah dan silapnya? Atau licik sangatkah si pelaku sehingga polis gagal mengesan?
Faisal atau dikenali sebagai Mickey disimbah asid pada 5 Mei 2024 di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Kuala Lumpur mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.
Menyarung jersi nombor tujuh bagi Selangor FC dan Harimau Malaya itu terpaksa melalui prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tahap empat dialaminya. Ia sebahagian daripada prosedur untuk membantu dan mempercepatkan pemulihan kulit. Faisal juga menjalani pembedahan melibatkan prosedur cantuman kulit (split skin grafting, SSG).
Sepanjang kes ini, dua orang ditahan polis untuk membantu siasatan dan kemudian dibebaskan selain pihak polis mengedarkan lakaran wajah individu dipercayai terlibat dalam kes serangan terhadap Faisal.
Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, satu kesalahan berat yang boleh membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara.
Sementara itu, Faisal meluahkan kekecewaan ketika memberi respon berkaitan kes ini.
“Ini karier saya kejar sejak kecil, jangan aniaya saya. Saya juga perlu menanggung keluarga.
“Benda pun dah jadi, dah lepas. Saya berharap sangat berilah saya (peluang) kembali dalam kancah bola sepak.
“Kalau ada yang tidak kena, beritahulah saya. Jangan aniaya saya. Saya tiada salah silap dengan siapa-siapa, saya rasalah.
“Saya orang kampung. Saya susah di kampung, saya jadi seorang pemain bola sepak bukan untuk kejar kesenangan tapi kejayaan untuk menjadi pemain terbaik.
“Apa yang boleh saya katakan, saya terima dengan hati yang terbuka, saya reda. Inilah ruang untuk saya kembali dalam bola sepak.
“Saya hanya fokus kepada karier. Saya tidak mahu fikir kes, NFA atau apa. Itu tugas pihak polis.
“Saya tidak pasti sama ada boleh terima. Saya cuma mahu fokus kepada karier,” katanya.
Pun begitu, jiwa pahlawannya (bak kata ayahnya, Halim Saad) dalam melawan sakit serta mahu kembali cepat sihat untuk terus berbakti kepada kelab dan negara menjadi inspirasi ramai terutamanya anak muda. Sikapnya yang positif berdepan ujian wajar dicontohi anak muda.
Pada 10 Ogos 2024, Faisal kembali beraksi buat pertama kali sebagai pemain gantian Selangor FC ketika menentang Kelantan Darul Naim FC.
TERIMA SOKONGAN TIDAK HENTI
Ekoran kesnya diklasifikasikan NFA, rata-rata rakyat menyuarakan simpati dan berharap pemain bola sepak itu tidak berputus asa.
Salah seorang pelayar Utusan Malaysia, berharap keadilan berpihak kepada Faisal selain meminta pemain itu tidak berputus asa serta teruskan kerjayanya dengan baik.
Pelayar lain pula, berharap Faisal dilindungi Allah dan pesalah akan dihukum, tidak kiralah di dunia atau akhirat. Tiada siapa pun akan terlepas hukuman Allah.
Sementara Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan rasa lega apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan siasatan terhadap Faisal akan diteruskan walaupun diklasifiasikan sebagai NFA.
“Apa yang berlaku kepada Faisal adalah jenayah berat, sangat serius. Dia adalah aset negara, pemain kebangsaan bagi pasukan negara. Jadi saya harap pihak polis tidak akan terhenti.
“Ini kerana pelaburan negara terhadap Faisal sudah banyak dan nasib baik dia selamat serta boleh bermain tetapi saya rasa, tidak wajar perkara seperti ini berlaku kepada atlet kita.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong antara yang mengkritik keputusan pihak berkuasa itu. Katanya keadilan mesti ditegakkan dan mesti terus dibuka.
“Jika beginilah cara kita melayan atlet terbaik negara, apakah harapan yang tinggal untuk anak muda Malaysia yang bercita-cita membina kerjaya dalam bidang sukan?
“Menutup fail sekarang menghantar mesej yang salah, seolah-olah pelaku boleh menyerang tokoh awam tanpa dikenakan sebarang tindakan dan sistem gagal melindungi mangsa, hatta wira negara seperti Faisal,” katanya dalam satu kenyataan.
Diharap ada sinar harapan buat pemain sayap Selangor FC itu untuk terus menuntut keadilan. Jangan berputus asa kerana Allah itu sentiasa ada dan melindungi mereka yang teraniaya.
Ibu bapa juga mula merasa takut apabila anak-anak mereka menyuarakan hasrat untuk menjadi pemain bola sepak satu hari nanti. Saya seorang daripadanya. Saya tidak mahu insiden hitam ini menghantui atlet bola sepak atau mana-mana bidang sukan lain kerana ia boleh menjejaskan arena sukan negara.
Apabila pemain bola yang menjadi idola ramai menjadi mangsa jenayah dan keadilan tidak dapat ditegakkan ia mungkin ‘menutup’ minat anak-anak muda yang berbakat untuk menceburi bidang ini di masa hadapan.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










