Jengkel apabila bukan Muslim tunggang Islam

Jengkel apabila bukan Muslim tunggang Islam

MEMADAI Islam dihormati secara umum oleh bangsa lain di negara ini supaya perpaduan kekal utuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH untuk seketika waktunya, walaupun belum menjadi kecenderungan umum, yakni diminati untuk dilakukan oleh lebih ramai pihak, beberapa puak dalam kalangan bukan Muslim mula memperlihat Islamofilia. 

Islamofilia adalah kasih sayang terhadap Islam. Ia dapat dilihat apabila mereka memuji Islam dalam pelbagai lingkungan. Antaranya dilakukan dalam karya sastera, sokongan selain ucapan politik.

Dari satu segi, ia sesuatu yang bukan sahaja amat baik sekali, juga harus disokong sekuat-kuatnya oleh semua pihak. Ini kerana Islamofilia ialah perkara yang sebaliknya daripada Islamofobia, iaitu rasa tidak suka, takut dan lain-lain yang negatif terhadap Islam.

Sebenarnya Islamofilia amat sangat baik, lebih-lebih lagi apabila pujian itu memang betul-betul ikhlas. Namun ia tidak begitu pada setiap masa. Selalu juga didapati sebaliknya. Dalam hal ini, dapat dikesan dengan mudah lagi cepat apabila ia sekadar dibuat-buat sahaja dan sering pula dengan berlebihan. Dengan kata lain, ia hanya bikinan semata-mata, palsu dan segala macam yang seumpama itu.

Pada kebanyakan masa, perbuatan bermuka-muka ini tidak dapat bertahan lama, yakni terbongkar jua bukan sahaja pada akhirnya, juga semasa ia sedang berlaku. Hal ini dapat dilihat dalam bidang kesusasteraan pada karya bertemakan Islam yang dihasilkan mereka yang bukan Muslim. 

Antaranya adalah sajak yang dicoret dan dideklamasikan pula dengan penuh keinsafan selain kesyukuran Islam. Pada awal persembahan ia didapati berjaya dilakukan sedemikian, kekadang dengan sangat berjaya sekali dari segi bahasa verbalnya, yakni bentuk bahasa yang ditulis dan diucapkan. 

Sehubungan ini, ia perkataan dan ungkapan yang dinukil dengan penuh makna Islam tertentu, baik secara tersurat mahupun tersirat daripada ajaran Islam.

Tetapi dari segi bahasa bukan verbal, iaitu memek muka dan pergerakan anggota badan, ia tidak selalunya begitu, yakni tidak dapat disampaikan dengan kepekaan Islam yang sepenuhnya dan tulen pula.

Ini dapat dirasai, malah memang ternyata tidak mampu disampaikan selaras dengan kalbu Islam yang ada pada bahasa verbal itu.

Ini kerana tiada penjiwaan Islam yang ikhlas, selain tiada hajat sejati pada pihak terbabit. Ia begitu sebab pihak itu tidak mempunyai pemahaman baik, apatah lagi penghayatan mendalam terhadap sifat, nilai dan kesignifikanan Islam kerana tidak menganuti Islam pun.

Hal sama juga dapat dilihat dengan nyata pada kalangan bukan Muslim, semasa menyokong parti politik tertentu yang mengangkat Islam sebagai wadah perjuangan utamanya. Ini berlaku antaranya sewaktu mereka mahu mewajarkan sokongan mereka. 

Dalam hal ini, ucapan mereka selalu dipenuhi ajaran Islam dan bersekali dengan rujukan khusus lagi, bukan sahaja didapati amat tidak kena malah  janggal sekali kerana dibicarakan oleh bukan Muslim yang secara sah lagi rasmi tiada apa-apa kaitan dengan Islam pun.

Sehubungan ini, mereka ini sebenarnya tidak layak mengulas tentang Islam, sama ada secara umum, apatah lagi secara tuntas. Ini kerana pertama-tamanya mereka bukan Islam. Justeru tidak boleh sama sekali berbicara tentang Islam, apatah lagi dengan cara sebegitu rupa, yakni yang penuh dengan tauliah pula.

Hal begini masih tidak boleh diterima walaupun disediakan pihak berwibawa dalam Islam untuk hanya disampaikan sahaja. Ini kerana ia berupa persendaan terhadap kesucian Islam. Dalam hal ini, ia tidak boleh sesekali dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. 

Persendaan ini menjadi lebih menghina apabila pihak terbabit memang terkenal dengan pelbagai kontroversi yang selalu menyentuh sensitiviti Melayu-Islam. Dengan kata lain, pihak itu memang dikenali dengan bermacam-macam kelakuan terbuka yang tidak beretika. Apatah lagi yang tidak selari dengan ajaran Islam yang dilakukan pula dengan berkobar-kobar.

Selain lingkungan karya sastera dan sokongan politik, pemimpin bukan Melayu, khususnya Cina dari parti politik totok Cina, kini didapati juga gemar membicara tentang Islam, malah sehingga mahu ikut mencampurinya pula. Dalam hal ini, ada yang memetik kisah dalam

Islam, antaranya tentang khalifah tertentu, untuk mengangkat mesej yang ingin disampaikan dalam ucapan mereka. Bukan itu sahaja, malah ada yang membuat tafsiran pada ayat al-Quran tertentu yang dipetik khas.

Tidak kurang juga yang mahu menunaikan sembahyang hajat agar niat tertentu terkabul. Untuk ini, mereka mahu melakukan solat khusus  yang hanya boleh dilakukan umat Islam sahaja bagi memohon bantuan atau doa tertentu daripada Allah SWT untuk dikabuli-Nya.

Dalam pada ini, ada bicara tentang Islam yang dilakukan pula oleh mereka yang memang selalu didapati membuat hal, iaitu melakukan perkara tanpa mempedulikan pihak lain, khususnya Melayu-Islam.

Sudah tentu ia menimbulkan keadaan tidak damai. Ini kerana perbuatan mereka ini ibarat telunjuk lurus kelingking berkait, iaitu perbuatan baik pada luarannya sahaja, sedangkan hatinya adalah tidak sebegitu.

Sehubungan perkara berbicara tentang Islam dan secara tuntas lagi, seperti yang dilakukan oleh bukan Muslim tertentu, sebenarnya ia tidak pun diperlukan sebegitu rinci, jauh sekali dituntut dalam cara setuntas itu. Dalam hal ini, sudah memadai untuk Islam dihormati secara umum oleh mereka ini dan lain-lain.

 

MARAH

Dengan ini, asas Islam bukan sahaja hendaklah, juga harus diketahui oleh setiap rakyat kerana ia agama persekutuan. Ini penting sekali untuk tujuan pemfungsian yang baik di bumi Melayu-Islam. Ini kerana mereka tinggal di bumi Melayu-Islam dan wajib bersifat begitu.

Etnik Melayu-Islam merasa amat jengkel, yakni sangat dongkol dan marah sekali dengan perkara ini. Ia tidak lain tidak bukan tentang Islam yang mahu ditunggangi untuk diperalat bagi mencapai tujuan tertentu. Antaranya penerimaan oleh etnik Melayu-Islam.

Bukan sahaja amat menjengkelkan, ia sesungguhnya menyakiti hati etnik Melayu-Islam. Ia perbuatan yang menjelikkan kerana mencampuri urusan sistem kepercayaan mereka.

Natijahnya di sini ialah tiada keperluan langsung bagi golongan bukan Muslim untuk memandai-mandai bagi berbicara tentang Islam.

Dengan melakukannya secara sesuka dan sekehendak hati dan mengikut fikiran mereka sahaja, sebenarnya hanya mengeruhkan keadaan selama ini yang sudah pun sulit lagi genting.

Ini kerana hubungan etnik Melayu-Cina tidak pernah mesra dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Oleh itu, etnik Cina hendaklah segera berhenti daripada melakukan perkara sebegini sehingga menjadi Muslim secara sah dan rasmi.

Dengan status begini, baharulah mereka ada hak sama rata yang absah lagi formal untuk berbicara tentang Islam.-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×