Jangan ada lagi hamba kapitalis moden

Jangan ada lagi hamba kapitalis moden

MALAYSIA mengiktiraf hak dan memperjelaskan dengan kemas tanggungjawab yang harus dimainkan oleh setiap majikan terhadap pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KAMI menge-syorkan agar jalan penyelesaian disediakan kepada mana-mana individu bagi menangani sebarang pelanggaran atau perbuatan menyalahi undang-undang terhadap mana-mana aspek kebebasan peribadinya.

“Kami mengesyorkan peruntukan bagi menentang penahanan tanpa pematuhan undang-undang, perhambaan atau kerja paksa (tetapi tidak terhadap perkhidmatan wajib) yang terpakai kepada semua orang; dan peruntukan berkenaan buang negeri, penyingkiran dari Persekutuan dan sekatan kebebasan bergerak yang hanya terpakai kepada warga negara Persekutuan.” – Perenggan 162, Laporan Suruhanjaya Reid.

Ketika Suruhanjaya Reid ditubuhkan pada 1956, bagi membantu dalam perangkaan Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu, keadaan sosial semasa itu telahpun memperakui bahana sistem perhambaan. Malah, sejak 1915 lagi, sistem hamba abdi diharamkan sepenuhnya di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Maka, tidak pelik apabila Perlembagaan Persekutuan didraf, Bahagian II dimulakan dengan menekankan asas kebebasan asasi semua individu melalui Perkara 5 yang memaktubkan tentang kebebasan diri dan kemudian prinsip ini diperjelaskan lagi melalui Perkara 6 yang menyentuh larangan terhadap keabdian atau perhambaan.

Perkara 6 menyebut tiada sesiapa pun boleh diabdikan sebagai hamba dan segala bentuk kerja paksa adalah dilarang.

Hikmah penentangan terhadap perhambaan adalah jelas kerana tindakan mengabdikan seseorang adalah tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat individu itu.

Perhambaan bukan saja memberi kesan kepada status sosial dan ekonomi seseorang tetapi juga psikologi dan mental mereka.

Bagi memperkasakan hak seseorang untuk memperoleh wang saraan tanpa perlu menjual kehormatan dirinya, Malaysia mengiktiraf hak pekerja dan memperjelaskan dengan kemas tanggungjawab yang harus dimainkan oleh setiap majikan terhadap pekerja.
Peruntukan sebegini diikat melalui beberapa Akta Parlimen termasuklah:

  • Akta Kerja 1955 (Akta 265) bagi mentakrifkan hubungan pekerja–majikan dan menjelaskan hak asas pekerja termasuklah berkaitan dengan cuti dan masa rehat.
  • Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) mengawal selia perhubungan serta mengekalkan keharmonian industri antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja di sektor swasta.
  • Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) menjaga keselamatan pekerja dari kemalangan yang berpunca daripada pengurusan keselamatan dan kesihatan yang lemah di tempat kerja.
  • Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) memastikan majikan menyediakan tempat tinggal yang bersih, selamat, kondusif dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang.
  • Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753) mewajibkan umur persaraan minimum pekerja swasta di Malaysia menjadi 60 tahun.
  • Akta Pampasan Pekerja 1952 (Akta 273) memberikan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kecederaan atau kematian semasa menjalankan tugas di tempat kerja.
  • Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) menjaga kebajikan pekerja terutamanya apabila berlakunya kemalangan semasa bekerja.
  • Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang menubuhkan sistem caruman bagi individu yang menjalankan pekerjaan sendiri khususnya dalam bidang ekonomi gig.

Dengan kerangka perundangan yang sudah semakin kemas, agak janggal bagaimana insiden penganiayaan terhadap pekerja masih berlaku di zaman moden ini. Bahkan ada insiden penganiayaan yang mirip konsep penghambaan dengan melayan pekerja tanpa belas ihsan.

Sebagai contoh, pada Januari lalu tular video seorang lelaki warga asing yang ditumbuk, ditendang dan diugut oleh majikannya gara-gara tidak hadir bekerja selama dua hari atas faktor kesihatan. Majikan ini telahpun ditahan polis dan disiasat bagi kesalahan menyebabkan kecederaan.

Insiden sebegini masih terus berlaku seolah-olah majikan tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada hukuman mahkamah pada Mac lalu terhadap seorang majikan atas kesalahan memukul dua orang pekerja Muslim yang enggan berbuka puasa di bulan Ramadan selepas diarahkan untuk berbuat demikian.

Insiden yang berlaku pada 2021 itu mendapat kecaman orang ramai dan meskipun perjalanan prosiding memakan masa hampir empat tahun, namun akhirnya keadilan memastikan tindakan biadab majikan berkenaan dihukum dengan keras apabila mahkamah mengarahkanya dipenjara selama enam tahun 10 bulan dan dikenakan denda sebanyak RM22,000.

Bulan lalu juga, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka menjalankan serbuan ke atas premis penginapan pekerja asing dan mendapati majikan mereka hanya menyediakan tempat tidur beralaskan papan nipis selain penyediaan makanan di atas lantai tanpa kemudahan yang mematuhi standard minimum yang ditetapkan Akta 446. Bahkan majikan terlibat juga disiasat kerana membayar gaji yang lebih rendah daripada gaji minimum ditetapkan kerajaan.

TEMPAT KERJA TOKSIK
Menurut Laporan Workmonitor 2025 yang dikeluarkan agensi Randstad, seramai 59 peratus pekerja di Malaysia meletak jawatan disebabkan persekitaran tempat kerja toksik.

Statistik ini meletakkan Malaysia di tangga tertinggi di rantau Asia Pasifik.

Sebagai sebuah negara membangun, seharusnya majikan di Malaysia menjamin persekitaran kerja yang lebih kondusif untuk pekerja mereka.

Tidak guna kita terus maju jika pekerja di Malaysia diperlakukan seperti hamba zaman purbakala.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN