SETIAP tahun pada bulan Mei, kita akan meraikan Hari Pekerja dan Hari Guru. Dua sambutan yang signifikan sebagai simbolik penghargaan kepada golongan pekerja dan juga guru.
Indahnya di Malaysia, semua tahap pendidikan bermula daripada prasekolah sehingga menengah meraikan Hari Guru. Selain daripada meletakan kerjaya guru sebagai profesion mulia, kita sama sekali tidak boleh melupakan hakikat ia adalah pekerjaan yang setara dengan bidang-bidang lain.
Ini bererti guru juga harus sama dilindungi dan diberikan hak yang sewajarnya sebagai pekerja.
Di Malaysia, guru yang berkhidmat bersama Kementerian Pendidikan (KPM) adalah sebahagian daripada penjawat awam. Mereka tertakluk kepada etika dan peraturan yang mengikat penjawat awam. Manakala bagi guru yang berkhidmat di sekolah swasta atau persendirian, hubungan guru dengan pihak pengurusan sekolah adalah seperti hubungan majikan dan pekerja. Maka, sebarang garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja juga boleh dirujuk oleh guru swasta.
Meskipun jenis penjawatanan guru ini dibezakan melalui kerangka undang-undang, namun kedua-duanya mempunyai kelayakan dan kepakaran yang sama bagi membolehkan mereka mengajar di negara ini. Namun begitu, walaupun mempunyai kelayakan setara dengan pegawai kerajaan lain, namun beban yang dihadapi barangkali lebih perit.
Cabaran utama dihadapi guru di Malaysia adalah beban kerja yang berlebihan. Selain menunaikan tanggungjawab hakiki untuk mengajar, guru juga perlu melaksanakan tugas pentadbiran, menghadiri mesyuarat dan menyertai aktiviti kokurikulum.
Guru juga dilaporkan terlibat dalam kerja-kerja pengisian data yang merupakan tambahan kepada skop tugas sedia ada.
Beban kerja ini sering kali menyebabkan guru merasa tertekan dan keletihan yang boleh menjejaskan kualiti pengajaran.
Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), seramai lebih 10,000 guru memilih bersara awal hampir setiap tahun kebelakangan ini gara-gara bebanan tugas berlebihan.
Beban guru ini bukan lagi rahsia malah sudah diketahui umum. Mereka diberikan bebanan yang tidak perlu kepada seorang guru. Ini tidak termasuk lagi cabaran guru di sekolah-sekolah yang padat dan mempunyai bilangan murid yang ramai seperti di kawasan bandar.
Kekurangan sekolah, guru serta kemudahan adalah isu yang selalu berlegar-legar dan menanti untuk disantuni secara tuntas oleh pihak kerajaan.
Justeru, melalui pengumuman kerajaan untuk melantik pembantu guru adalah satu permulaan yang baik. Cuma diharapkan inisiatif ini diperluas dan diteliti pelaksanaannya supaya matlamat untuk mengurangkan beban guru seperti kerja-kerja pengisian data dapat disempurnakan.
Malah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) juga pernah membawa usul di Majlis Perundingan Belia Negara Sidang I penggal ke 34 tahun 2023 memandangkan beban yang dipikul oleh guru perlu ditangani dengan segera.
Dalam masa sama, masyarakat juga perlu berani mengakui isu kebajikan guru merupakan isu serius untuk ditangani.
Kemudahan bilik guru misalnya ada yang tidak selesa, sempit dan tidak teratur. Perabot, kerusi dan lain-lain kemudahan ada yang uzur juga daif. Ia tidak melambangkan profesionalisme guru serta penghargaan selayaknya kepada mereka.
Jika dilihat, kebajikan guru jauh keterbelakang jika dibandingkan tahun dan tahap perkhidmatan pegawai lain kerajaan.
Selain kelengkapan sekolah yang ‘asal ada’, juga terdapat dalam kalangan guru terpaksa berkongsi meja sedangkan perkhidmatan terbaik tetap diberikan mereka dalam mendidik pelajar.
Persoalannya sampai bila kebajikan asas ini tidak diberikan perhatian oleh kerajaan?
JANGAN ABAIKAN SUMBANGAN
Barangkali ada yang menganggap mereka yang menjadi guru ini kurang setara dengan pegawai kerajaan atau teknokrat dalam industri. Namun hakikat dan realitinya golongan ini mempunyai pengetahuan dan kelayakan akademik yang sama dengan pegawai dan eksekutif malah perlu mempunyai kursus atau modul tambahan berkenaan pendidikan yang perlu diduduki.
Lantaran itu, sewajarnya layanan diberikan dengan baik kepada para guru untuk menjamin kebajikan dan keselesaan sebagaimana majikan menjamin kebajikan pekerjanya.
Meskipun berdepan keadaan penuh cabaran, namun guru masih tidak merungut.
Mereka masih lagi tekun bertransformasi dan kini bereformasi mengikut polisi dan dasar kerajaan. Tiada berpiket menuntut yang bukan-bukan kerana mereka tahu yang utama adalah mendidik anak murid. Cuma ia bukanlah alasan untuk terus mengabaikan kebajikan mereka.
Malaysia tidak mampu kehilangan guru berbakat yang beralih daripada sektor atau bantuan kerajaan ke sekolah swasta mahupun persendirian kerana ia semestinya merupakan kerugian kepada rakyat.
Tuntasnya, dalam menyambut Hari Guru selain kemeriahannya, adalah penting untuk mempertingkatkan kebajikan dan perhatian terhadap bebanan yang dipikul golongan pendidik.
Suara dan luahan mereka harus didengar. Jangan lupa bahawa kita juga hasil corakan didikan guru. Selamat Hari Guru.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










