HARI ini, budaya pop bukan lagi satu subkultur yang terpencil atau terhad kepada sebahagian golongan tetapi menjadi salah satu pemacu utama dalam dunia acara.
Ia juga menjadi satu daya penarik bagi industri pelancongan dan juga penjenamaan negara.
Dari konvensyen komik, peragaan busana (cosplay) sehinggalah kepada perjumpaan peminat muzik atau artis, komuniti peminat atau fandom mencipta satu gelombang ekonomi yang boleh disignifikan berdasarkan minat. Malaysia, mempunyai peluang besar untuk menjadi sebahagian daripadanya.
DARIPADA MINAT KE DESTINASI
Semuanya bermula dengan minat yang mendalam terhadap industri yang menyebarkan bahan-bahan budaya atau kesenian, sama ada dari industri filem, anime, adiwira, permainan video, atau muzik. Peminat budaya pop hari ini bukan sekadar menonton atau mendengar sebaliknya turut ‘hidup’ di dalam dunia itu.
Mereka memahami setiap ayat, menyarung kostum, melancong, membina komuniti dan menghadiri acara yang menyatukan mereka dengan peminat lain.
Acara seperti Comic Fiesta, AsiaPopCon, AniManGaki dan Level Up KL menjadi acara tahunan yang berskala besar, menarik ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa. Ia bukan sekadar jualan barangan atau persembahan pentas tetapi memberikan pengalaman menyeluruh untuk meraikan identiti, persahabatan dan memperagakan kreativiti bersama para peminat budaya pop yang lain.
PELANCONGAN BERASASKAN BUDAYA POP
Terkini, trend pelancongan budaya pop semakin meningkat di peringkat global. Di Jepun, peminat melawat lokasi dari anime atau manga. Di Korea Selatan, peminat menjejak lokasi drama dan pejabat syarikat hiburan idola mereka. Malah negara-negara Barat juga memanfaatkan trend ini seperti New Zealand yang melonjak populariti akibat filem The Lord of the Rings dan studio Harry Potter di United Kingdom (UK).
Di Amerika Syarikat (AS) pula, acara seperti ComicCon dan WonderCon mendapat sambutan yang meluas.
Acara sebegini bukan sahaja dihadiri peminat dari AS tetapi juga dari seluruh pelosok dunia.
Malaysia, boleh menjadi salah satu hab pelancongan berasaskan budaya pop. Baru-baru ini, Jepun diberi peluang menganjurkan satu acara Star Wars Celebration iaitu satu sambutan besar-besaran kepada peminat francais Star Wars, yang berkembang menjadi destinasi utama dalam budaya pop global.
Kemunculan acara yang berkaitan budaya pop ini semakin berkembang di serata dunia. Ia menghimpunkan peminat, penggiat industri dan pengeluar kandungan berkaitan dari serata dunia.
Malaysia, seperti yang kita sedia maklum, mempunyai kelebihan dari segi kos yang berpatutan, kemudahan infrastruktur dan kepelbagaian budaya yang boleh ditonjolkan kepada masyarakat global. Dan ini boleh menjadikannya sebagai satu destinasi ideal untuk pelancong budaya pop dari Asia Tenggara, mahupun serata dunia.
KEUNIKAN MALAYSIA
Pengurusan acara bagi budaya pop ini telah banyak yang berjaya, tetapi masih banyak ruang yang boleh dikenalpasti bagi membolehkan acara seperti ini dianjurkan secara berprestij.
Pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti lawatan lokasi filem tempatan, promosi komik, permainan tempatan serta kerjasama bagi promosi antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan penganjur acara dari sektor yang berkaitan. Ia boleh menyumbang kepada sektor pelancongan yang sangat spesifik ini.
Dengan penglibatan generasi muda Malaysia yang semakin aktif dalam industri pengurusan acara, mereka juga celik dalam penggunaan digital dan kreatif dalam mencipta kandungan yang berkaitan. Mereka boleh menjadi sukarelawan acara, serta sebagai usahawan yang kreatif. Hal-hal sebegini menjadi antara faktor yang boleh menyumbang kepada penganjuran acara ini serta memberi manfaat kepada industri pelancongan.
KESAN EKONOMI
Ekonomi Malaysia juga boleh menerima impak yang besar kerana penganjuran acara ini. Antara sektor yang boleh mendapat manfaat daripada penganjuran acara khusus ini adalah seperti pusat acara, hotel, pengangkutan, makanan, perniagaan kecil, sehinggalah kepada jurugambar dan sektor pelancongan lain yang terlibat.
Ia juga boleh menggalakkan pembangunan komuniti dan keusahawanan. Antaranya dengan menggalakkan artis menjual karya, pembangun permainan indie untuk memperkenal produk serta membolehkan pempengaruh media sosial mencipta kandungan yang berkaitan bagi mempromosi acara ini.
CADANGAN
Malaysia sebenarnya sudah bersedia untuk menganjurkan acara budaya pop ini secara besar-besaran dan setara dengan jenama antarabangsa.
Bagi membolehkan Malaysia benar-benar menjadi hab pelancongan budaya pop, Malaysia perlu peka terhadap beberapa perkara, antaranya kementerian yang berkaitan boleh menyediakan insentif bagi penganjuran acara ini. Ia membolehkan peminat dan pengkarya kreatif lebih serius dalam bidang ini.
Selain dari itu, menyediakan platform khusus bagi melatih pengurus acara untuk mereka pengalaman yang imersif dan inovatif. Kerajaan juga boleh menambah baik lokasi dan pengangkutan awam untuk acara ini serta menjadikan budaya pop sebagai salah satu elemen dalam program promosi pelancongan negara.
Selain daripada itu, faktor keselamatan, kebolehcapaian dan penyertaan semua lapisan masyarakat juga perlu diutamakan.
Minat terhadap budaya pop bukan sekadar hanya hiburan semata-mata. Ia adalah cerminan identiti dan kreativiti seseorang yang amat khusus dan spesifik terhadap satu industri seni.
Untuk mereka yang terlibat dalam pengurusan acara, pemasaran atau dasar awam, ini adalah peluang yang unik untuk mengekalkan elemen budaya pop serta menambah pengetahuan kepada generasi berikutnya.
Fandom bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Di sebalik kostum dan konvensyen, tersembunyi potensi untuk pelancongan, inovasi mahupun penjenamaan negara Malaysia ke peringkat antarabangsa.-UTUSAN
– LIYANA Shamimi Mohamed Kamil ialah Pensyarah Kanan dan Ketua Program BERJAYA University College (BUC).
– DR. Mohd. Zulfakar Mohd. Nawi ialah Pensyarah di Jabatan Latihan Mengajar dan Latihan Industri, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










