DUNIA semakin maju dan moden. Namun ironinya, di sebalik kemajuan yang dicapai keadaan menjadi kian bercelaru. Saban hari, semakin banyak perkara yang tidak menyenangkan berlaku di seluruh pelosok dunia. Kadar jenayah yang meningkat, penindasan, pergolakan politik dan peperangan menyebabkan ramai warga dunia menderita.
Apabila gajah bergaduh sesama gajah, pelanduklah yang paling sengsara merana terpijak. Ramai kanak-kanak menderita akibat pertembungan mereka yang berkuasa menyebabkan terpaksa hidup dalam persekitaran yang membantut pembangunan diri. Tanpa sistem kekeluargaan, pelajaran dan kesihatan yang sepatutnya, mereka terpaksa melalui liku-liku kehidupan yang sukar.
Kita bersyukur kerana situasi di Malaysia masih baik berbanding banyak negara luar. Biarpun tidak sempurna tetapi negara kita aman, stabil dan makmur. Dengan kemudahan infrastruktur dan keadaan keselamatan yang baik, kita boleh menjalani kehidupan dan menjalankan tanggungjawab dengan selesa.
Justeru, kesejahteraan ini harus dipertahankan dan bukannya diperjudikan dengan tindakan semberono mengikut hawa nafsu dan emosi. Jika mendengar guruh di langit, air di tempayan jangan terus dicurahkan. Dentuman guruh yang kuat tidak semestinya disusuli hujan yang lebat.
Dalam perhubungan antarabangsa, walaupun negara kita turut terkena bahang pergelutan perang dagang di antara kuasa-kuasa besar, namun Malaysia kekal teguh sebagai sebuah negara yang tidak berpihak.
Walaupun begitu, masih berlaku cubaan-cubaan nakal untuk menidakstabilkan keadaan oleh anasir-anasir yang berniat mengganggu-gugat ketenteraman awam bagi mencapai matlamat tertentu. Ini termasuklah ideologi anarkis (menolak hierarki dan kedaulatan negara serta menganjurkan masyarakat tanpa pemerintah) oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang kini banyak meresapi jiwa orang muda.
Mereka mencari apa sahaja isu untuk digempar-gempurkan seolah-olah negara sedang berada dalam keadaan tenat. Fitnah direka dan disebarkan tanpa rasa bersalah. Ditambah pula dengan pelbagai persepsi yang dimainkan bagi mencipta naratif tertentu bertujuan mengelirukan dan memperdayakan golongan yang disasarkan.
Kekacauan sivil dianggap sebagai cara paling demokratik dan berkesan untuk menyedarkan masyarakat serta mendesak kerajaan supaya melakukan apa sahaja perubahan yang mereka tuntut. Tanpa mengambil kira hak orang lain, hanya merasakan tindakan mereka wajar dan merupakan sebahagian daripada hak sebagai rakyat.
Tidak dapat dinafikan sebilangan daripada orang muda begitu terpengaruh dan terinspirasi dengan gerakan protes besar-besaran dan pemberontakan yang berlaku di negara-negara jiran tanpa mengira kesannya kepada rakyat secara keseluruhannya.
Masalah yang sering diabaikan oleh kumpulan-kumpulan ini ialah kerosakan disebabkan tindakan yang dilakukan. Mungkin sasaran utama ialah pihak pemerintah, tetapi akan ada pihak lain yang tidak terlibat turut terkesan, baik secara langsung atau tidak, setiap kali protes dilakukan di tempat awam.
Lebih parah lagi, jika ia bertukar menjadi ganas menyebabkan ramai rakyat merana akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.
Sememangnya pengaruh ideologi gerakan golongan kiri yang keras ini agak mudah mempengaruhi orang muda yang jiwanya sedang panas membara. Ada yang terbawa-bawa dengan tiupan semangat mengangkat kebebasan sehingga mereka menjadi taasub dengan perjuangan menuntut kebebasan mutlak tanpa dibatasi undang-undang.

IKUT PERATURAN ISLAM
Sebagai umat Islam, segala tindakan yang kita lakukan mestilah berlandaskan aturan yang ditetapkan undang-undang agama. Justeru, kebebasan yang kita ada untuk melakukan apa-apa sahaja bukanlah mutlak. Kita diberikan akal untuk berfikir dan memilih jalan yang terbaik daripada jalan-jalan yang dibenarkan.
Sejarah tamadun Islam memperlihatkan banyak kuasa-kuasa besar dunia Islam runtuh akibat kekacauan yang dicetuskan oleh gerakan masyarakat sivil yang kemudiannya bertukar menjadi ganas. Antara contoh awal ialah Kerajaan Andalus.
Kerajaan itu kalah akibat pergolakan dan pemberontakan dalam kalangan masyarakat Islam.
Begitu juga dengan Kesultanan Melaka yang akhirnya jatuh bukan kerana kekuatan tentera Portugis tetapi disebabkan pengkhianatan yang dilakukan oleh seorang tali barut musuh yang dibakar perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan Sultan Melaka.
Malah, tidak lama dahulu beberapa buah negara Islam menghadapi nasib yang sama, khususnya semasa Kebangkitan Arab sekitar 2010. Dibakar perasaan marah disebabkan mereka tidak berpuas hati terhadap beberapa perkara. Rakyat mereka bangun melakukan kekacauan sivil secara besar-besaran sehingga negara akhirnya hancur.
Akibatnya, sehingga kini keadaan negara terbabit masih belum dapat pulih sepenuhnya. Malah, ada tempat di mana keadaannya jauh lebih buruk pada ketika ini berbanding sebelum rakyatnya bangun memberontak. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Perlu sedar, setiap orang tidak akan mendapat segala yang dimahukan dalam hidup. Kerana nafsu, sering kali kita tidak menyedari betapa berharganya semua yang dinikmati hari ini sehinggalah kehilangannya. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Akhirnya kita yang berputih mata. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Kekacauan sivil bukanlah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah. Perhimpunan yang aman sekalipun tetap akan menyusahkan orang lain jika ia melibatkan kawasan awam. Melainkan jika ia diadakan di tempat yang tertutup jauh daripada kawasan laluan orang ramai.
Tambahan pula, apa yang kita rasakan baik untuk diri sendiri belum tentu bermanfaat kepada orang lain.
Matlamat tidak menghalalkan cara. Pilihlah jalan yang bijak dan berfikirlah dengan teliti sebelum bertindak. Tiada gunanya jika kita menang sorak tetapi akhirnya kampung tergadai. Jangan sampai kita menjadi ibarat anjing dengan bayang-bayang.
Perubahan perlu dilakukan dengan cara dan kaedah yang betul. Segala masalah mestilah disampaikan dengan cara yang matang dan baik.
Fahamilah maksud sebenar demokrasi dan jangan menyalahgunakan nama demokrasi untuk mendapat kepentingan diri.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










