Banteras penyelewengan terhadap bantuan kerajaan

Banteras penyelewengan terhadap bantuan kerajaan

RINGGIT ditutup rendah kepada 3.9210/3.9260 pada 5 petang semalam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN sentiasa prihatin terhadap rakyat yang ditimpa musibah dengan menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan bebanan mereka yang terkesan.

Namun, usaha murni ini dikhianati oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab, seperti didedahkan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid dalam kes penyelewengan bantuan kerajaan melibatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Penyelewengan agihan BWI berlaku apabila individu yang tidak layak dan tidak terjejas dengan bencana turut mengemukakan tuntutan. Tuntutan palsu ini didalangi oleh mereka yang mempunyai kuasa dalam proses menentukan individu yang layak menerima bantuan. Mereka memanipulasi sistem sedia ada untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Kes di Dungun
Pada Mei 2023, SPRM menerima aduan melibatkan seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang didakwa mengemukakan senarai palsu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menerima BWI akibat bencana alam banjir di Terengganu.

Beliau memasukkan nama anaknya yang tinggal bersamanya ke dalam senarai penerima. Padahal, bantuan hanya diberikan kepada yang benar-benar terjejas. Siasatan mendapati anaknya berusia 43 tahun, bekerja sebagai Ketua Balai Bomba, dan menetap di rumah yang sama.

Bagaimana Penipuan Berlaku?
JPKK diminta menghantar senarai mangsa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD). Dalam kes ini, Setiausaha JPKK kampung X menyediakan senarai awal mengandungi 100 nama ketua isi rumah (KIR). Pengerusi JPKK, yang merupakan tertuduh, menambah dua nama, dirinya dan anaknya menjadikan jumlah kepada 102 orang.

Tertuduh mengesahkan dan menandatangani Borang Pengesahan Daftar Nama Penerima BWI, walaupun mengetahui anaknya bukan KIR dan tidak layak. Anak beliau menggunakan alamat dapur lama rumah keluarga yang terbakar pada tahun 2018, yang tidak sesuai untuk didiami, bagi mengaburi pihak berkuasa. Dengan memperakukan dokumen tersebut, anaknya berjaya memperoleh RM1,000 secara tidak sah.

Tindakan Mahkamah
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan memperakukan maklumat palsu dalam borang rasmi. Beliau mengaku bersalah dan dikenakan denda RM5,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar.

Penyiasatan Tatakelola SPRM
Kes ini membuka ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tatakelola menyeluruh terhadap sistem agihan BWI di Terengganu. Ini sejajar dengan Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 mengenai Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional.

Hasil dari penyiasatan tatakelola yang dijalankan oleh Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Terengganu yang diketuai oleh Ketua Penolong Kanan Penguasa, Suhaanuar Mohamad telah mengenalpasti tujuh kelemahan yang wujud dalam pengurusan BWI bencana banjir kerajaan negeri Terengganu.

Pertamanya, perkara ini berpunca daripada ketiadaan satu garis panduan yang jelas dalam menguruskan agihan BWI bencana banjir di bawah kerajaan negeri Terengganu. Keadaan ini telah memberikan persepsi negatif kepada kerajaan negeri khususnya dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang layak menerima BWI ini.

Selain itu, tiada penyenaraian kategori atau kumpulan bagi pemohon yang layak menerima BWI secara dokumentasi dan tiada perincian atau pemakluman bagi kadar BWI bencana banjir bagi penerima yang layak serta tiadanya dokumen atau borang yang khusus yang diwujudkan bagi pemohon BWI bencana banjir yang tidak berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) atau yang terkepung.

Pengesahan permohonan bagi bantuan agihan BWI yang tidak berpindah ke PPS atau terkepung juga didapati hanya tertumpu kepada JPKK melalui dokumen atau borang pendaftaran mangsa banjir di PPS yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain ada juga JPKK yang terus menyalurkan nama mangsa kepada JKM.

Bukan itu sahaja, tiada penyelarasan bagi kelayakan dan syarat permohonan BWI bencana banjir di setiap daerah di Negeri Terengganu selain JPKK juga tidak memahami proses sebenar dan syarat agihan BWI bencana banjir.

Malah, tidak ada satu carta alir yang diwujudkan bagi setiap proses permohonan BWI bencana banjir bagi setiap kategori. Ini menyebabkan proses permohonan BWI ini menjadi tidak teratur dan lebih sistematik.

Kelemahan-kelemahan ini telah menimbulkan persepsi negatif terhadap keupayaan kerajaan negeri dalam mengurus bantuan rakyat, dan membuka ruang kepada penyelewengan.

Penambahbaikan
SPRM Terengganu membentangkan tujuh syor kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu pada Disember 2023 untuk menutup ruang dan peluang penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pertamanya, SUK Terengganu perlu mewujudkan garis panduan agihan BWI bencana banjir kerajaan negeri Terengganu yang akan seterusnya dijadikan panduan dalam menguruskan BWI bencana banjir ini.

SUK Terengganu juga perlu menyenaraikan dan memperincikan kategori atau kumpulan pemohon yang layak untuk menerima BWI bencana banjir dalam garis panduan yang akan diwujudkan kelak.

Kadar BWI bencana banjir juga perlu disenaraikan dalam garis panduan yang akan diwujudkan supaya ia lebih jelas dan tidak menimbulkan apa-apa kekeliruan.

SUK Terengganu juga perlu mewujudkan dokumen atau borang permohonan BWI bencana banjir khusus bagi pemohon yang tidak berpindah ke PPS atau terkepung atau menambahbaik lagi dokumen atau borang permohonan yang telah sedia ada.

Wujudkan ruangan pengesahan atau semakan bagi dokumen permohonan bantuan BWI bencana banjir yang disyorkan oleh JPKK dan disahkan oleh penghulu. Ini bagi memastikan wujudnya semak dan imbang dalam sistem yang sedia ada.

SUK Terengganu juga perlu mengadakan sesi penerangan dan taklimat kepada ketua masyarakat berkaitan syarat dan proses agihan BWI bencana banjir bagi peruntukan kerajaan negeri Terengganu. Perkara ini seterusnya dipanjangkan lagi kepada kesemua masyarakat khususnya mangsa-mangsa banjir agar proses agihan BWI bencana banjir akan berjalan lebih lancar dan teratur.

SUK Terengganu juga perlu menyediakan carta alir bagi setiap proses untuk semua kategori atau kumpulan pemohon BWI bencana banjir yang layak dan seterusnya dimasukkan ke dalam garis panduan yang akan diwujudkan nanti.

Kesemua syor ini telah diterima baik oleh pihak SUK. Langkah ini dijangka memperkemas sistem dan amalan sedia ada dan mengelakkan ketirisan dana awam.

Iktibar dan Seruan
Kes ini bukan kes terpencil. Watak dan lokasi mungkin berbeza, tetapi pola penyelewengan serupa. Ia harus menjadi pengajaran kepada semua yang diberi amanah, khususnya pemimpin akar umbi.

Dana bantuan kerajaan haruslah sampai kepada kumpulan sasar, bukan untuk kepentingan keluarga sendiri. Pemimpin harus bertindak dengan integriti dan menjadi jambatan antara rakyat dan dasar kerajaan.

SPRM menyeru agar semua pemimpin masyarakat mengambil serius tanggungjawab ini dan menjadi contoh teladan dalam menyampaikan amanah secara adil dan telus. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×