Wujudkah pembunuh bersiri di Malaysia?

Wujudkah pembunuh bersiri di Malaysia?

WUJUD keperluan untuk penyelidikan bersifat tempatan yang mengkaji kes-kes pembunuhan bersiri dalam konteks sosiobudaya dan kriminologi Malaysia yang unik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG pembunuh bersiri lazimnya didefinisikan sebagai individu yang membunuh tiga atau lebih mangsa dalam tempoh yang berpanjangan, dengan jarak masa yang berbeza antara setiap jenayah. Ciri utama yang membezakan pembunuh bersiri adalah pembunuhan yang berulang, terancang dan sering dipacu oleh motif psikologi.

Walaupun jenayah pembunuhan bersiri telah banyak didokumentasikan di negara Barat, khususnya di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), kewujudan dan kefahaman tentang pembunuh bersiri di Malaysia masih terhad dan kurang diterokai.

Ini mungkin disebabkan oleh perbezaan dalam sistem pengkelasan pihak penguatkuasaan undang-undang, cara liputan media serta perbezaan budaya dalam pelaporan jenayah ganas.

Selain itu, pembunuh bersiri biasanya hanya dikenal pasti apabila pihak berkuasa berjaya mengesan corak yang konsisten dalam beberapa kes pembunuhan, seperti kaedah pembunuhan, profil mangsa atau tanda-tanda khusus lain.

Tanpa pengesanan corak ini, kes pembunuhan mungkin dianggap sebagai kes terpencil, lalu melambatkan atau menghalang pengenalpastian pelaku sebenar.

Pada masa ini, sistem undang-undang dan penguatkuasaan di Malaysia cenderung mengkategorikan pesalah berulang sebagai pesalah residivis atau ‘bola hitam’ (dalam istilah penjara), berbanding melabelkan mereka sebagai ‘pembunuh bersiri’ atau ‘pesalah bersiri’.

Di Malaysia, beberapa faktor seperti ikatan kekeluargaan dan komuniti yang kukuh, larangan agama dan budaya terhadap jenayah ganas, kadar pembunuhan yang lebih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain, serta undang-undang senjata api yang ketat sering dianggap sebagai penghalang sosial kepada jenayah sebegini. Namun, terdapat juga kes terpencil yang menunjukkan ciri-ciri pembunuhan bersiri.

Antaranya termasuklah P. Kalimuthu (‘Bentong Kali’), ahli kongsi gelap terkenal yang dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 17 pembunuhan walaupun corak jenayahnya bersifat jenayah berkumpulan dan bukannya semata-mata pembunuhan bersiri dari sudut psikologi.

Begitu juga dengan Lee Chow Meng yang disabitkan kesalahan atas beberapa jenayah ganas pada tahun 1980-an seperti rogol, bunuh dan merompak tetapi hanya dihukum bagi satu kes bunuh.

Walaupun kes-kes ini tidak sepenuhnya menepati definisi Barat tentang pembunuhan bersiri yang didorong oleh psikopati atau desakan dalaman, ia tetap memaparkan elemen seperti perancangan awal, pemilihan mangsa yang spesifik dan tingkah laku ganas yang berulang.

Secara global, pembunuh bersiri sering menunjukkan ciri-ciri lazim seperti trauma pada zaman kanak-kanak, kecenderungan psikopatik atau antisosial, keinginan untuk mengawal atau mendominasi serta pemilihan mangsa tertentu. Jenayah mereka sering didorong oleh kepuasan psikologi, fantasi mendalam atau rasa dendam yang terpendam. Mereka juga lazim mengeksploitasi kumpulan yang terpinggir atau kurang mendapat perhatian, sekali gus menyukarkan usaha pengesanan dan penangkapan.

Satu isu berterusan yang berkaitan dengan fenomena pembunuh bersiri ini adalah kecenderungan masyarakat untuk meromantisasikan mereka ini dari mengecam perlakuan mereka secara menyeluruh.

Tumpuan yang berlebihan sering diberikan kepada psikologi dan kaedah pembunuh sehingga mengaburi penderitaan mangsa dan menambahkan trauma kepada keluarga mangsa yang perlu menyaksikan penjenayah ini melalui media.

FOKUS
Walaupun kajian mendalam tentang tentang perkara ini telah banyak dilakukan di AS, UK dan negara Barat lain, namun kajian akademik mengenai motivasi pembunuh bersiri di Malaysia masih di peringkat yang sangat terhad. Perbincangan tempatan juga sering meminjam kerangka kriminologi Barat tanpa mengambil kira perbezaan budaya dan sosial masyarakat Malaysia.

Ketergantungan yang berlebihan kepada teori Barat ini berisiko menyebabkan salah tafsir terhadap pelaku di Malaysia dan mengehadkan pembangunan strategi pencegahan dan intervensi yang lebih sesuai dengan konteks tempatan.

Oleh itu, wujud keperluan untuk penyelidikan bersifat tempatan yang mengkaji kes-kes pembunuhan bersiri dalam konteks sosiobudaya dan kriminologi Malaysia yang unik.

Dengan melepasi kerangka Barat dan memberi tumpuan kepada motivasi, corak serta profil pelaku yang bersesuaian dengan konteks tempatan, kita dapat membentuk pemahaman yang lebih tepat tentang fenomena pembunuhan bersiri di Malaysia, mengutamakan hak dan kesejahteraan mangsa, serta merangka respons penguatkuasaan selain dasar yang lebih berkesan.-UTUSAN

 

DR. Haezreena Begum Abdul Hamid ialah Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN