APABILA Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif baharu yang menyeluruh terhadap semua import, termasuk cukai sebanyak 24 peratus ke atas barangan dari Malaysia, reaksi serta-merta ‘orang Malaysia’ adalah kebimbangan. Lagipun, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.
Tarif baharu ini sebagai tindak balas terhadap amalan perdagangan yang tidak adil dan Malaysia berada dalam radar atas pelbagai sebab.
Pertama sekali, Malaysia menjadi hab popular penghantaran semula barangan dari China bagi mengelak tarif AS yang sedia ada. Beberapa syarikat China didapati menghantar produk melalui Malaysia untuk mengelak duti. Walaupun tidak menyalahi undang-undang tempatan, amalan ini menimbulkan keraguan di Washington.
Selain itu, industri semikonduktor dan elektronik yang sedang berkembang pesat menjadikan AS sebagai pelanggan terbesar dalam sektor ini. Pegawai AS bimbang eksport kita ke China dan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global mungkin secara tidak langsung menyokong pesaing perdagangan mereka.
Tambahan pula, pasaran eksport Malaysia yang semakin berkembang dalam barangan elektrik dan elektronik (E&E) memberikan persaingan ketara kepada pengeluar AS. Ini mencerminkan pengaruh Malaysia yang semakin meningkat dalam sektor-sektor yang secara tradisinya dikuasai oleh syarikat-syarikat Amerika.
Akhir sekali, isu berterusan berkaitan alam sekitar dan amalan buruh dalam industri minyak sawit. AS mengenakan sekatan dan tarif lebih tinggi ke atas eksport minyak sawit Malaysia kerana dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan kemusnahan alam sekitar.
Secara atas kertas, angka-angka kelihatan mengancam. Eksport Malaysia ke AS, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dan elektronik, kebanyakannya dipacu pelaburan langsung asing (FDI) dan syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di negara ini, bukannya oleh syarikat milik penuh rakyat Malaysia.
Banyak produk teknologi tinggi dihasilkan MNC dari AS, Jepun, Jerman dan Eropah yang menubuhkan pangkalan pembuatan di Malaysia. Syarikat seperti Intel, AMD, Texas Instruments dan Broadcom telah lama beroperasi di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah, menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pengeluaran dan pemasangan bagi membekalkan rantaian nilai global mereka, termasuk pasaran AS.
Selain itu, usaha sama antara syarikat Malaysia dan rakan luar negara, khususnya dalam sektor elektronik, minyak sawit, getah dan automotif, membolehkan syarikat tempatan ‘naik’ dalam rantaian nilai dengan memanfaatkan teknologi dan akses pasaran asing.
Manakala syarikat milik penuh tempatan lebih dominan dalam komoditi seperti minyak sawit, sarung tangan getah, perabot dan produk makanan, dengan syarikat seperti Top Glove, Hartalega, Sime Darby dan pengeksport perabot dari Johor memainkan peranan utama. Syarikat-syarikat ini lebih terdedah kepada kejutan tarif kerana mereka kurang fleksibiliti geografi seperti MNC.
MNC tertarik ke Malaysia kerana kos pengeluaran yang rendah, tenaga kerja mahir, infrastruktur rantaian bekalan yang matang (terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor), kestabilan politik dan insentif dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Walau bagaimanapun, pelaksanaan tarif AS mungkin menyebabkan sesetengah syarikat ini menilai semula operasi mereka di Malaysia. Mereka mungkin memindahkan pengeluaran ke negara Asia Tenggara lain atau kembali ke AS. Sementara itu, pengeksport tempatan akan terus terkesan kerana pilihan untuk berpindah adalah terhad. Akhirnya menjejaskan peluang pekerjaan dan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Ini mendedahkan isu lama bahawa Malaysia terlalu bergantung kepada FDI untuk merangsang eksport, pekerjaan dan pertumbuhan. Walaupun FDI mencipta pekerjaan dan meningkatkan produktiviti, manfaatnya tidak kekal. Penyelidikan menunjukkan teknologi dan inovasi jarang tersebar ke seluruh ekonomi.
Walaupun FDI menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti buruh, namun kesannya terhadap Produktiviti Faktor Menyeluruh (TFP), ukuran yang lebih baik untuk kecekapan dan penyebaran teknologi adalah terhad, terutamanya dalam sektor teknologi rendah dan sederhana. Kesan limpahan bernilai tinggi kebanyakannya tertumpu kepada kelompok tertentu seperti sektor E&E di Pulau Pinang.
Pemindahan teknologi dan kepakaran pengurusan juga cetek kerana kebanyakan MNC menyimpan fungsi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi di negara asal, menjadikan Malaysia sebagai lokasi pemasangan berteknologi sederhana.
Keadaan ini diburukkan oleh amalan harga pindahan yang menghakis asas cukai Malaysia. Keuntungan sering dihantar pulang. R&D kekal di luar negara. Malaysia melakukan kerja tetapi orang lain mendapat manfaat. Ini mewujudkan defisit dalam akaun semasa imbangan pembayaran, akhirnya mengurangkan rizab asing dan melemahkan ringgit.
Dari sudut hak asasi manusia dan alam sekitar, MNC sering memindahkan industri pencemar ke negara membangun seperti Malaysia, memanfaatkan peraturan buruh serta alam sekitar yang lebih lemah, kemudian mengenakan halangan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke atas eksport Malaysia. Ini mewujudkan padang permainan global yang tidak seimbang.
PERMAINAN EKONOMI
Dalam konteks ini, daripada takutkan tarif AS, Malaysia sepatutnya melihatnya sebagai peluang strategik untuk menilai semula kebergantungan terhadap FDI.
Terdapat permainan ekonomi yang lebih besar sedang berlangsung.
Alat ekonomi digunakan untuk membentuk pakatan, mengawal teknologi dan melindungi industri strategik. Jika Malaysia terlalu bergantung kepada satu atau dua pasaran besar, kita menjadi sasaran mudah dalam permainan ini.
Oleh itu, kita mesti mempelbagaikan hubungan perdagangan, memperdalamkan hubungan dalam ASEAN, mengukuhkan perjanjian seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan meneroka pasaran baharu di Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin.
Daripada terus mengejar FDI tanpa syarat, kerajaan boleh memberi tumpuan kepada memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya dalam sektor teknologi atau lestari.
Daripada hanya memasang komponen untuk pihak lain, kita boleh mula membina jenama sendiri. Kita juga harus melabur dalam keselamatan makanan dan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada import barangan asas seperti beras, daging, bawang dan bahan api.
Membangunkan teknologi pertanian dan memperluas tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja dapat mengurangkan kelemahan tetapi juga mencipta sektor pertumbuhan baharu.
Mereformasi sistem pendidikan juga satu langkah penting. Sistem yang menggalakkan kreativiti, keusahawanan dan penyelidikan bukan hanya pembelajaran hafalan boleh melahirkan generasi yang bersedia untuk pekerjaan bernilai tinggi dalam teknologi hijau, bioteknologi mahupun kecerdasan buatan (AI). Sudah tiba masanya kita beralih daripada sekadar menghasilkan pekerja kepada melahirkan pencipta.
Pada masa sama, kita mesti memenuhi jangkaan antarabangsa. Ini bermakna memperbaiki amalan buruh di ladang, menguatkuasakan perlindungan alam sekitar dan menyelaraskan industri kita dengan piawaian ESG. Ini bukan sekadar untuk memuaskan pihak luar tetapi membina ekonomi yang adil, lestari dan dihormati di peringkat global.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Caroline Geetha ialah Felo Penyelidik, Pusat Pembangunan dan Perancangan Ekonomi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).










