MENJADI fenomena sejagat kini bahawa minat dan kesedaran sejarah dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda, bukan sahaja sangat berkurangan, malah merosot sekali. Hal ini tidak terkecuali di Malaysia.
Sehubungan ini, ia sudah menjadi gejala yang memberi kesan buruk kepada masyarakat dan juga negara.
Antaranya, ramai rakyat buta sejarah. Ia sudah pun menjadi teruk sekali sehingga ramai yang berpendidikan dan tinggi tidak mengetahui tarikh tepat penubuhan Persekutuan Malaysia.
Dalam hal ini, sesuatu wajib dilakukan segera bagi bukan sahaja untuk menyelamatkan keadaan yang sudah sangat parah ini. Juga ia penting sekali untuk melahirkan rakyat yang wajib mempunyai pengetahuan mencukupi tentang masa lampau negara ini.
Masa lampau negara sudah tentu banyak sekali. Ia bukan sahaja semata-mata yang terdiri daripada hanya era moden. Juga ia wajib meliputi zaman pramoden yang sama-sama mustahak, malah lebih penting daripada yang moden. Ini kerana pengetahuan mengenai masa lampau dapat memberikan kefahaman baik tentang masa sekarang. Ini penting sekali bagi kesediaan kita untuk masa mendatang.
Salah satu sisi sejarah negara yang sangat penting kepada setiap seorang rakyat ialah bahagian tentang identiti nasional untuk Malaysia dan identiti budaya bagi rakyatnya. Sehubungan ini, rakyat Malaysia bukan sahaja wajib mengetahui naratif sebenar. Ini kerana tanpa mengetahui naratif sebenar, mereka akan menjadi mangsa kepada representasi semu yang disampaikan pihak tertentu yang sengaja mahu mengherotkan sejarah tanah air.
Representasi semu itu, yakni penjelasan dan penghujahan yang diselewengkan, antaranya wujud dalam naratif Malaysia adalah negara majmuk. Dengan ini, Malaysia tiada pemiliknya yang sah. Sebaliknya, dimiliki semua yang menghuni negara ini mulai era moden, iaitu sewaktu penjajahan Inggeris.
Sudah tentu ini penjelasan ini amat tidak tepat. Ini kerana sejarah pramoden sebelum berlakunya penjajahan bukan sahaja penting diketahui. Juga wajib diterima sebagai bahagian penting, bahkan amat penting untuk terus menegakkan hakikat negara ini ada tuan miliknya.
Malaysia, khususnya Semenanjung yang dikenali sebagai Tanah Melayu, sememangnya adalah bumi milik etnik Melayu semenjak sekian lama, kalau tidak pun daripada azali lagi. Ini bukan sahaja terbukti daripada catatan etnik Melayu sendiri. Antaranya pada Hikayat Hang Tuah yang menyatakan kewujudan Tanah Melayu pada awal abad ke-17.
Malah sebelum itu lagi, iaitu pada abad ke-16, pihak Portugis sudah membuat catatan tentang Tanah Melayu yang dipanggilnya Malaio. Bahkan lebih awal daripada ini, teks lama India mencatatkan kewujudan Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malaiur.
Tidak ketinggalan dalam hal ini ialah catatan teks lama Cina yang menyebut Tanah Melayu sebagai Maliyuer. Begitu juga di Jepun, terdapat catatan lama tentang kewujudan Tanah Melayu dalam teks tua negara itu.
Inilah penjelasan betul yang wajib pula diikuti penghujahan yang menyakinkan selain absah. Ia tidak lain tidak bukan adalah yang berkenaan dengan penghuni asal Tanah Melayu. Hakikat yang wajib diterima dan tidak perlu disangkal-sangkal lagi ialah etnik Melayu adalah penghuni asal Tanah Melayu. Dengan ini, mereka tidak sesekali ikut mendatangi Tanah Melayu seperti yang mahu ditegakkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam hal ini, etnik Melayu sebagai penghuni asal Tanah Melayu terdiri daripada dua peringkat. Ia bermula dengan Melayu Proto, iaitu Melayu purba/asli. Kemudiannya diikuti oleh Melayu Deutro, yakni Melayu kini/semasa.
Melayu Proto adalah Orang Asli. Secara umumnya, mereka adalah leluhur etnik Melayu di Semenanjung. Manakala Melayu Deutro secara umumnya adalah Melayu Dagang yang berpindah ke Tanah Melayu dari pelbagai tempat di Malaios, iaitu nama Portugis bagi seluruh kawasan Melayu yang kita panggil Nusantara.
Walaupun dengan fakta sejarah yang begitu terang lagi bersuluh, masih ada pihak tertentu di negara ini, termasuklah etnik Melayu sendiri yang mahu terus menegakkan fitnah, yakni bahagian sejarah negara tertentu yang memang sengaja mahu diherotkan.
Etnik Melayu begini biarpun tidak ramai, sudah cukup untuk menafikan seluruh sejarah etnik Melayu di negara mereka sendiri. Mereka yang salah asuhan ini, yakni kurang sekali pembawaan sebagai etnik Melayu yang berjiwa Melayu, bukan sahaja sekadar kacau daun, iaitu menggangu sesuatu itu. Juga etnik Melayu begini sebenarnya merosakkan sehingga boleh membinasakan satu sisi pembentukan negara bangsa yang penting.
Tindakan mereka ini sudah tentu memberikan legitimasi sosial dan perundangan kepada perkara yang diusahakan pihak yang cuba mengherot sejarah tanah air.
NEGARA MELAYU
Pada era moden, khususnya pada masa ini, etnik Melayu bersekali dengan anak Sabah dan natif Sarawak, membentuk kelompok terbesar, yakni sekitar 70 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Ia diikuti etnik Cina sekitar 30 peratus dan India sekitar tujuh peratus.
Dengan penghuni asal seramai 70 peratus itu, amat pelik untuk Malaysia mahu diherotkan hakikatnya sebagai bukan negara Melayu, tetapi majmuk.
Sehubungan ini, puak Dayak di Sarawak dan Kadazan-Dusun-Murut di Sabah yang tidak sedikit jumlah mereka, sebenarnya digolongkan bersekali sebagai kelompok Melayu. Ia dilakukan atas nama Melayuan, yakni mereka ini seperti Melayu juga dari banyak segi.
Ini dilihat dari keserumpuan Melayu itu. Antaranya dari segi bahasa, iaitu bahasa Melayu dan pelbagai bahasa anak negeri dan natif Sarawak adalah kesemuanya bahasa Austronesia. Dengan kata lain, semua bahasa itu berasal daripada induk leluhur sama dan kini berkeluarga antara satu sama lain.
Justeru semuanya bersaudara dalam bentuk Melayu-Melayuan.
Tidak dapat dinafikan padah buta sejarah itu benar, yakni boleh betul-betul terjadi. Tanpa mengetahui masa lampau yang sepatutnya disedari kebenarannya, kita dengan sangat mudah lagi cepat sekali, dapat diselewengkan melalui naratif palsu dengan penjelasan dan penghujuhan yang sengaja diherot-berotkan.
Oleh itu, ada keperluan mendesak untuk mengatasi gejala buta sejarah di negara ini.
Ini kerana mantra bahawa mereka yang tidak belajar dari sejarah akan pasti mengulanginya adalah benar. Dalam hal ini, sejarah memang mampu membekalkan banyak pengajaran dan pemahaman yang berguna lagi bernilai.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










