Porak peranda dunia jika ikut aturan sendiri

Porak peranda dunia jika ikut aturan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘SEDANG rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari’. Akhlak dan tatasusila yang tinggi tidak datang bergolek secara percuma, tetapi melalui usaha keras setiap ibu bapa dalam mengasuh anak-anak sebaik mereka lahir ke dunia ini.

Nilai-nilai mulia harus disemai dan sentiasa dibajai dari awal usia. Bukannya mula ditanam tatkala nasi sudah menjadi bubur. Suasana persekitaran juga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan tingkah laku serta kehalusan budi pekerti.

Anak-anak yang tidak pernah ditegur apabila melakukan kesalahan dan terlalu dimanjakan sehingga dituruti segala kehendak mereka, akan membesar dengan sikap memagar diri bagai aur. Akibatnya, mereka sukar memahami cara bertolak ansur dalam menjalani kehidupan bermasyarakat serta merasakan hanya diri mereka sahaja yang betul.

Ada ibu bapa yang membiarkan sahaja anak-anak mereka membuat kecoh dan mengacau orang lain. Bayangkan perasaan penjual kuih apabila ada kanak-kanak yang menyentuh kuih-muih yang dijual dengan jari mereka, sedangkan ibu bapa mereka buat-buat tidak faham dan tidak membayar harga kuih yang disentuh itu.

Lazimnya setiap kali menyambut hari raya, akan kedengaranlah rungutan warga maya tentang pengalaman buruk menghadapi kanak-kanak yang membuat onar tatkala bertandang ke rumah teman dan saudara mara tanpa dikawal ibu bapa. Hal sebegini bukan setakat menjengkelkan tetapi lebih parah lagi, ia memberi mesej yang salah kepada kanak-kanak terbabit.

Malahan, terdapat juga ibu bapa yang bermasam muka dan marah jika anak mereka ditegur kerana menganggapnya sebagai mencampuri urusan mendidik anak. Kata mereka, sebagai ibu bapa mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk anak-anak. Ada pula yang menyalahkan pihak lain di atas kelakuan buruk anak.

Alasan mereka mudah, anak-anak itu masih kecil dan belum memahami apa-apa, jadi mereka tidak boleh dipersalahkan atau ditegur di atas apa sahaja perbuatan. Mereka akan berubah dengan sendirinya apabila sudah besar nanti. Dengan erti kata lain, anak-anak tersebut bebas dan berhak melakukan apa sahaja walaupun di rumah orang lain.

Kata orang tua-tua jika sayangkan anak, tangan-tangankan. Justeru, malang sekali jika ibu bapa bertindak membiarkan anak-anak kecil mereka membesar tanpa dididik jiwanya dengan baik. Ada pula yang berpendapat kanak-kanak yang diberi sepenuh kebebasan melakukan apa sahaja tanpa sekatan akan menjadi lebih kreatif dan bijak.

Hakikatnya, hati yang tidak dididik dengan nilai ihsan akan menjadi keras tanpa perasaan belas kasihan terhadap orang lain. Akhirnya yang lebih kuat akan menekan yang lemah. Nilai kemanusiaan akan terhakis dan kita akan berhadapan dengan generasi yang rosak dan bermasalah.

Kehidupan dibatasi pelbagai peraturan bagi menjamin kesejahteraan bersama dan bukannya bebas berbuat sesuka hati berdasarkan kehendak hati kita sahaja. Porak-perandalah dunia ini jika masing-masing hidup mengikut aturan rimba dan mengamalkan sikap beraja di mata, bersultan di hati.

 

JANGAN biarkan anak-anak membesar tanpa ditegur silap kerana ia akan membentuk peribadi dan sikap mereka pada masa hadapan.

MEDIA SOSIAL

Kemajuan teknologi maklumat turut mendedahkan kita kepada pelbagai cabaran baharu. Hari ini ramai warga maya yang terpengaruh dan percaya dengan apa yang dikongsikan di media sosial tanpa mengkaji kebenarannya terlebih dahulu. Apa yang tular di alam maya dianggap sebagai betul dan seterusnya disokong warga maya lain secara beramai-ramai.

Kita mudah terperangkap dalam kitaran mentaliti khalayak dan tindakan kita banyak dipengaruhi faktor sekeliling. Kita bangkit menentang sesuatu perkara semata-mata kerana orang di sekeliling berbuat demikian; betul atau tidak apa yang diperjuangkan itu tidak lagi penting untuk dipersoalkan.

Semalam kita giat melakukan bantahan bagi mendesak kerajaan menukar sistem yang ada dan menuntut ia digantikan dengan sistem yang lebih praktikal dan fleksibel. Tetapi setelah hal tersebut dilaksanakan, kita sekali lagi membuat bantahan kerana terpengaruh dengan idea yang mahukan sistem lama yang dahulunya dikatakan kejur dan tidak lagi relevan itu, dikembalikan.

Kita sering mengkritik penguatkuasaan undang-undang di negara kita lemah berbanding beberapa negara lain. Justeru, kita menuntut tindakan yang tegas supaya masyarakat tidak mudah melanggar undang-undang. Namun, apabila undang-undang dikuatkuasakan dengan lebih ketat, kita pula mempersoalkannya dan mempertikaikan kenapa pesalah tidak diberi peluang kedua.

Bayangkan bagaimana kita mahu mendisiplin dan mendidik generasi baharu jika kita sendiri mudah hanyut mengikut arus, tanpa mempunyai prinsip dan nilai hidup yang jelas. Akhirnya, kita mudah kalah dengan permainan sentimen, persepsi dan emosi.

Kita juga mudah terikut-ikut dengan penggunaan bahasa kasar dan maki hamun yang berleluasa di media sosial. Semakin hari, semakin ramai yang tidak lagi merasa segan silu menggunakan kata-kata kesat. Ke manakah hilangnya adab selama ini tertanam dalam diri kita?

Lebih parah lagi, hari ini ramai yang mengangkat mereka yang suka memaki hamun sebagai wira yang berani. Pemimpin politik yang celopar dikira hebat dan menjadi ikon pengikut parti. Biarpun ucapan itu sekadar ibaratkan tin kosong tanpa isi, namun nada suara kuat, sinis dan dipenuhi bahasa kasar yang tidak beralas, ia dianggap sebuah ucapan hebat.

Jika inilah sikap kita pada hari ini, apakah yang jadi bakal kepada generasi selepas kita? Kenapa harus kita gadaikan akhlak terpuji serta budi bahasa yang baik kerana asakan budaya kasar yang bercanggah dengan prinsip yang menjadi pegangan hidup bangsa?

Didiklah diri agar menjadi insan yang lebih baik supaya dapat dijadikan contoh teladan kepada generasi yang lebih muda.

Bahasa menunjukkan bangsa. Tanpa adab, tatasusila dan disiplin hidup, tamadun yang kita bina selama ini akan runtuh ke tanah. Turutkan rasa binasa, turutkan hati mati.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN