KITA digemparkan bagaimana kejam Israel pengebom semananjung tanah Gaza ketika masyarakat Islam masih lagi dalam musim perayaan Aidilfitri. Ini menunjukkan kekejaman dan sikap tidak berperikemanusiaan yang ditunjukkan penjajah ini.
Walaupun telah termeterai gencatan senjata di antara Hamas dan Israel tetapi sikap memungkiri janji dan menumpahkan darah merupakan sikap bangsa Yahudi yang ‘dirakamkan’ Allah SWT di dalam al-Quran.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maka Kami laknatkan mereka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka pula membunuh nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar. (an-Nisa’:155)
Apa yang dilakukan penjajah ini sebuah genosid yang dirancang dengan alasan pembebasan tawanan Israel.
Bilangan syahid daripada masyarakat Gaza melebihi 50,000 nyawa adalah lebih banyak daripada bilangan tawanan. Bahkan nyawa yang terkorban majoritinya melibatkan kanak-kanak, golongan wanita dan orang awam.
Baru-baru ini berlaku salah satu jenayah pembunuhan beramai-ramai yang paling kejam dan masih berterusan saat ini. Israel mengebom sekolah Dar Al-Arqam di kawasan Hayy al-Tuffah dan menjadikannya ‘kubur besar’ bagi kanak-kanak pelarian yang tidak menemui tempat lain selain kematian di tempat perlindungan.
Pengeboman tempat perlindungan yang terdiri daripada sekolah, hospital dan masjid adalah perkara yang dilarang.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu membunuh orang tua yang sangat tua, jangan pula membunuh wanita dan juga bayi (anak kecil). Jangan kamu merosakkan bangunan yang dimakmurkan dan jangan menebang pokok melainkan jika ada manfaat padanya.” (Riwayat Baihaqi)
Mayat-mayat yang hancur berserakan dan anggota badan yang terputus bertaburan di bawah runtuhan menjadi saksi terhadap kebuasan penjajahan dan jenayah pembunuhan yang dirancang.
Penjajah melaksanakan pembantaian mengerikan ini di hadapan mata dunia sedangkan umat Islam membisu, hanya memerhati pembunuhan seolah-olah darah rakyat Gaza hanyalah sebagai ‘berita’ yang disiarkan sahaja.
Ingatlah saudara Islam, sesungguhnya harga diri saudara kita yang beragama Islam lebih mulia daripada kehormatan Kaabah.
Ibnu ‘Umar pernah berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW bertawaf di Kaabah sambil bersabda: Alangkah baiknya engkau (wahai Kaabah) dan alangkah harum baumu! Alangkah agungnya engkau dan alangkah besarnya kehormatanmu! Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya kehormatan seorang mukmin itu lebih agung di sisi Allah daripada kehormatanmu iaitu hartanya dan darahnya (nyawanya).” (Riwayat Ibnu Majah)
Kita perlu sedar perkara berkaitan Gaza dan Masjid al-Aqsa adalah isu bagi semua masyarakat Islam. Masjid al-Aqsa adalah tempat perjalanan Isra’ Nabi SAW dan kawasan sekitarnya adalah kawasan diberkati Allah SWT.
Dalam saat yang genting ini, masyarakat Islam perlu bersatu padu dan berganding bahu menzahirkan solidariti terhadap saudara seagama kita di Gaza serta berusaha sedaya upaya mengkritik dan memberhentikan kezaliman sama ada berjihad dengan senjata, harta ataupun lisan.
Jika difikirkan bagaimana mungkin kita menyambut Aidilfitri dengan meriah sedangkan sahabat kita di sana dibunuh, dilaparkan, dikepung dan dilakukan seperti haiwan. Kita perlu terus menyalurkan bantuan kemanusiaan, perubatan, makanan dan sebagainya.
Ramai menyangka penindasan yang berlaku kepada masyarakat di Gaza kerana kekuatan golongan kafir dan pemilikan mereka terhadap senjata-senjata yang paling hebat dan canggih. Namun, perkara ini bukanlah sebab utama. Ia hanyalah sebahagian kecil dari sebab.
Adapun sebab utama yang lebih besar adalah seperti yang telah diberitahu Nabi Muhammad SAW: “Aku meminta kepada Tuhanku tiga perkara, maka Dia mengabulkan dua daripadanya dan menolak satu. Aku meminta kepada Tuhanku agar tidak membinasakan umatku dengan tahun kelaparan, maka Dia mengabulkannya. Aku meminta kepada-Nya agar tidak membinasakan umatku dengan tenggelam, maka Dia mengabulkannya. Aku meminta kepada-Nya agar tidak menjadikan perbalahan (permusuhan) sesama mereka maka Dia tidak memberikannya kepadaku). (Riwayat Muslim)
PERPECAHAN
Jadi, sebab utama kepada pembinasaan penduduk Gaza adalah perpecahan akidah dan politik dalam kalangan puak-puak umat Islam. Inilah yang menyebabkan kebanyakan pemerintah negara-negara Arab dan Islam berdiam diri terhadap pembunuhan beramai-ramai ini kerana mereka melihat mangsa-mangsa tersebut berbeza dari segi akidah, pandangan politik dan wala’ (kesetiaan).
Umat Islam memerlukan kesepaduan dan perpaduan dalam mendepani pelbagai isu. Musuh Islam benar-benar mengetahui perpaduan umat Islam adalah suatu lambang kemenangan.
Disebabkan itu, perkara yang dapat melemahkan umat Islam dengan menggunakan kaedah ‘pecah dan perintah’. Seterusnya diberikan dan dihidangkan ke atas umat Islam perkara berunsurkan kebendaan sehinggalah kita takut kepada mati, sehinggalah musuh Islam tidak akan takut dan gerun kepada umat Islam.
Ini adalah seperti yang dikhabarkan oleh Nabi SAW: Akan tiba masanya di mana bangsa-bangsa kafir akan mengerumuni kamu sebagaimana orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan mereka. Lalu seorang sahabat bertanya, Adakah kerana bilangan kita sedikit pada waktu itu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak, bahkan kamu pada waktu itu ramai, tetapi kamu seperti buih di atas arus sungai. Dan Allah akan mencabut rasa takut (gerun) terhadap kamu dari dada musuh-musuh kamu dan Dia akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahn’. Seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah ‘wahn’ itu? Baginda menjawab: Cinta kepada dunia dan takut akan kematian. (Riwayat Abu Daud)-UTUSAN
PENULIS ialah Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










