DALAM landskap geopolitik kontemporari yang semakin kompleks dan dinamik, isu keharmonian ummah muncul sebagai salah satu agenda teras dalam wacana serantau, khususnya dalam kerangka Persidangan ASEAN 2025.
Malaysia, dengan pendiriannya sebagai negara membangun yang mengamalkan dasar luar proaktif dan konstruktif memposisikan ‘diri’ sebagai pemain utama dalam memacu agenda perpaduan dan kestabilan umat Islam di rantau Asia Tenggara.
Pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) yang diangkat Malaysia bukan sekadar retorik politik, tetapi diinstitusikan melalui pelbagai mekanisme konkrit seperti penubuhan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) yang berperanan sebagai badan pemikir bagi mempromosikan naratif Islam yang inklusif, progresif dan relevan dengan konteks masyarakat majmuk.
Transformasi digital yang melanda dunia turut membawa dimensi baharu dalam wacana keharmonian ummah.
Ruang siber yang tanpa sempadan menjadi medan pertembungan pelbagai ideologi, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius mengenai penyebaran ekstremisme, Islamofobia dan maklumat palsu yang boleh mengancam kestabilan sosial.
Menyedari hakikat ini, Malaysia mengambil inisiatif proaktif dengan mencadangkan Penubuhan Pasukan Petugas Keselamatan Siber ASEAN sebagai mekanisme serantau untuk mengharmonikan dasar dan operasi keselamatan siber.
Cadangan ini dilihat sebagai respons pragmatik terhadap ancaman siber yang semakin sofistikated, termasuk serangan terhadap infrastruktur kritikal, pencurian data dan penyebaran propaganda radikal.
Persidangan Serantau ASEAN mengenai Keselamatan Siber yang dianjurkan baru-baru ini menjadi platform penting untuk membincangkan cabaran-cabaran ini secara holistik.
Duta Besar Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Nava Rani al-Bakri Devadason, menegaskan pendekatan keselamatan siber perlu melampaui aspek teknikal dengan memberi perhatian serius kepada dimensi kemanusiaan.
“Kita perlu melihat keselamatan siber dari perspektif yang lebih luas dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk komuniti, golongan wanita dan generasi muda,” ujarnya.
Pandangan ini selari dengan kerangka Strategi keselamatan siber ASEAN yang ingin mengintegrasikan elemen pembangunan kapasiti, pendidikan digital dan kerjasama awam-swasta.
Dalam konteks ekonomi digital ASEAN yang diunjurkan mencecah AS$1 trilion (RM4.4 trilion) menjelang 2030, menyebabkan isu keselamatan siber menjadi semakin kritikal.
Pertumbuhan pesat transaksi digital dan pengenalan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) turut membuka ruang kepada jenayah siber yang lebih terancang.
Korea Selatan, menerusi Duta Besarnya, Lee Jang Keun, menawarkan kerjasama erat dengan ASEAN melalui inisiatif seperti Perisai Siber ASEAN yang bertujuan melatih bakat muda dalam bidang keselamatan siber.
Program pertandingan penggodaman ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform pembinaan kapasiti, tetapi juga memperkukuh rangkaian profesional keselamatan siber serantau.
Di peringkat domestik, Malaysia menunjukkan komitmen tinggi melalui pelbagai langkah transformatif.
Penubuhan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global seperti BlackBerry mencerminkan pendekatan menyeluruh negara dalam menangani ancaman siber.
Kementerian Komunikasi turut giat melaksanakan program literasi digital yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat dari pelajar sekolah hingga warga emas.
Pendekatan ini penting untuk memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara inklusif sambil meminimumkan risiko yang wujud.
PENDEKATAN ISLAM
Dalam menghadapi cabaran ekonomi digital, pendekatan Malaysia berlandaskan prinsip al-mizan (keseimbangan) antara pembangunan teknologi dan pemeliharaan nilai harus diperkenalkan.
Program literasi digital yang dilaksanakan haruslah mengambil kira konsep tarbiyah (pendidikan menyeluruh) dalam Islam, dengan menekankan aspek amanah dan mas’uliyyah (tanggungjawab) dalam penggunaan teknologi.
Penekanan terhadap pendidikan siber untuk generasi muda juga begitu selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW tentang tanggungjawab mendidik anak agar sesuai dengan zamannya.
Pada masa sama, Malaysia perlu terus memperkukuh pendekatan Islam dalam keselamatan siber melalui penggubalan panduan etika digital berteraskan nilai-nilai Islam.
Inisiatif seperti pembangunan fiqh siber yang komprehensif boleh menjadi sumbangan penting Malaysia kepada dunia Islam. Kerjasama dengan institusi-institusi Islam serantau seperti Majlis Agama Islam Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) perlu dipergiat untuk menyelaraskan pendekatan keselamatan siber dari perspektif Islam.
Ke hadapan, ASEAN perlu memperkukuh kerangka kerjasama sedia ada dengan mengintegrasikan pendekatan keselamatan siber dalam semua aspek integrasi serantau, dari perdagangan digital hingga pendidikan.
Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) keselamatan siber, serta program pertukaran kepakaran antara negara anggota dapat menjadi pemacu utama dalam membina ekosistem digital yang lebih berdaya tahan.
Kepimpinan Malaysia dalam memacu wacana keharmonian ummah dan keselamatan siber di ASEAN mencerminkan visi jangka panjang negara untuk mewujudkan masyarakat digital yang seimbang, makmur dan selamat.
Pendekatan holistik yang menggabungkan diplomasi serantau, pembangunan kapasiti dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan akan menentukan kejayaan ASEAN dalam menavigasi cabaran kompleks era digital.
Transformasi ini bukan sekadar tentang mengukuhkan pertahanan siber, tetapi lebih penting lagi, tentang membina masa hadapan bersama yang berasaskan nilai-nilai inklusiviti, toleransi dan kestabilan serantau.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










