Kembali kepada makna sebenar Aidilfitri

Kembali kepada makna sebenar Aidilfitri

AIDILFITRI merupakan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah, memperbaiki hubungan dengan sesama manusia dan menyebarkan rahmat kepada mereka yang memerlukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun, umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Ia bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol kejayaan setelah menunaikan ibadah puasa yang penuh makna, pengharapan kepada rahmat, reda dan keampunan dari Allah SWT.

Sambutan Syawal selama sebulan, maka dalam sebulan ini akan dimeriahkan dengan melalui penganjuran rumah terbuka. Amalan ini merapatkan dan mengeratkan silaturahim dan mengimarahkan hubungan baik bersama keluarga dan memakmurkan masyarakat.

Namun, semakin hari, cara kita menyambut Aidilfitri seolah-olah semakin jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Dengan budaya kebanyakan individu yang asyik dan leka dengan telefon bimbit, mahupun trend yang semakin popular di media sosial seperti ucapan hari raya dengan tarian dan iringan muzik.

Para gadis dan ibu juga beraksi yang kadang terlihat sehingga tidak menjaga batas kesopanan dan malu seorang Muslimah. Bukankah malu itu sebahagian dari iman? Ditambah pula dengan pergaulan yang tidak terkawal, yang juga mencemarkan maksud sebenar Aidilfitri dan kemuliaan perayaan ini, malah menjejaskan identiti Muslim sebenar.

Sebagai umat Islam, kita harus bertanya, adakah cara kita menyambut Aidilfitri sekarang ini selari dengan ajaran Islam? Atau adakah kita semakin hanyut dalam gelombang kecerdasan buatan (AI) dan hiburan tanpa batas yang melupakan nilai-nilai murni yang diajarkan junjungan kita Rasulullah SAW.
Aidilfitri bukan pesta hiburan, tetapi sebuah perayaan spiritual yang mengajak kita kembali kepada Allah dengan penuh rasa syukur dan rendah diri.

MEMELIHARA KESOPANAN, ADAB DALAM PERAYAAN
Islam sangat menitikberatkan kesopanan dan batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Malangnya, masyarakat Muslim semakin terikut-ikut dengan trend menari di media sosial tanpa mempedulikan batas agama dan budaya.

Fenomena ini dinormalisasi walaupun mencerminkan kelalaian terhadap ajaran Islam, malah menjejaskan maruah diri seorang wanita terutamanya.

Seeloknya, media sosial digunakan untuk menyebarkan mesej kebaikan, mempromosikan kesederhanaan dan menonjolkan nilai-nilai Islam yang sebenar.

Aidilfitri sepatutnya menjadi peluang untuk kita menyuburkan kasih sayang dalam keluarga, mengeratkan silaturahim, dan memperbanyakan amal ibadah. Tidak salah bergembira, tetapi biarlah dalam batas yang ditetapkan syarak.

Tambahan pula, dengan keadaan saudara Islam kita di seluruh dunia sedang bergelut dengan kesusahan dan sedang ditindas seperti di Palestin, Syria dan banyak lagi tempat lain, sedangkan kita berupaya menikmati juadah lazat dan pakaian baharu. Kita haruslah bersederhana dan ingat kepada mereka serta memberi dan berkongsi rezeki yang telah dikurnia.

Hal ini dijelaskan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir RA dan Nabi SAW bersabda: “ Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” (Sahih Muslim)

Sambutan Aidilfitri seharusnya menjadi medan untuk kita menzahirkan solidariti dengan mereka yang tertindas. Hulurkan sumbangan, sebarkan kesedaran dan panjatkan doa agar mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan. Inilah makna sebenar Aidilfitri sebuah perayaan yang bukan sahaja memberi kegembiraan kepada diri sendiri, tetapi juga kepada mereka yang memerlukan.

AGEN PERUBAHAN
Sebagai sebuah institusi yang berteraskan nilai-nilai Islam dengan agenda fikir ummah untuk kecemerlangan ummah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertanggungjawab mendidik generasi muda agar memahami dan mengamalkan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam menyambut perayaan. Warga UIAM mesti menjadi contoh dalam memastikan Aidilfitri disambut mengikut sunnah, bukan sekadar mengikut arus budaya popular yang melalaikan.

Daripada menghabiskan masa merencana gaya dan muzik untuk persembahan TikTok, mengapa tidak kita berkongsi tentang bab kefahaman ilmu dan adab?

Atau muatnaik kandungan penganjuran aktiviti kebajikan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik serta membantu tularkan produk oleh pengusaha kecil.

Daripada memuat naik ucapan dan mesej hari raya melalui video tarian TikTok di media sosial, mengapa tidak kita menyebarkan mesej kebaikan dan kesyukuran? Inilah peranan kita sebagai umat Islam menjadi duta kepada nilai-nilai murni yang dituntut dalam agama sebagaimana yang telah dipesan oleh junjungan Nabi kita.

MENELADANI SUNNAH RASULULLAH
Rasulullah memulakan hari 1 Syawal dengan solat dan bersedekah. Beliau menyebarkan kegembiraan melalui kata-kata dan perbuatan yang baik, dengan penuh adab dan menjaga tatasusila. Inilah peradaban yang sebenar dan contoh terbaik yang sepatutnya kita ikuti. Sebagai umat Islam, kita perlu kembali kepada ajaran asal Islam berpaksikan Tauhid dalam menyambut Aidilfitri kerana apabila Tauhid kukuh, ummah juga teguh.

Kita perlu menolak pengaruh budaya luar seperti ucapan hari raya serta tarian TikTok yang bertentangan dengan syariat dan memastikan perayaan kita membawa keberkatan, bukan sekadar keseronokan sementara.

Aidilfitri bukanlah pesta tetapi peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah, memperbaiki hubungan dengan sesama manusia dan menyebarkan rahmat kepada mereka yang memerlukan.

Semoga Aidilfitri kali ini menjadi titik perubahan untuk kita semua. Marilah kita meraikan dengan penuh makna, berpandukan ajaran Islam yang sebenar.

Rabbana Taqabbal Minna wa Minkum, semoga Allah menerima amal ibadah dan menjadikan kita umat yang lebih bertakwa. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.-UTUSAN

 

DR. Zurina Abd. Ghani ialah Pengarah Pusat Kepimpinan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN