Jangan tutup mata, terus bantu henti kebiadaban Israel

Jangan tutup mata, terus bantu henti kebiadaban Israel

UMAT Islam di seluruh dunia harus terus bersuara dan berjuang untuk kebebasan Palestin daripada kekejaman Israel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI lagi Israel mencabuli perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Hamas dan Israel yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu dengan tempoh selama 42 hari.

Serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac dilaporkan mengorban dan mencederakan lebih ratusan rakyat Palestin.

Masyarakat Islam boleh melaksanakan beberapa usaha dan tindakan murni rentetan kebiadaban dan pencabulan yang dilakukan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Pertama, menzahirkan keprihatinan dan solidariti terhadap rakyat Palestin. Masyarakat Islam perlu peduli dan prihatin terhadap nasib yang menimpa saudara seakidah di bumi Palestin serta bersikap empati terhadap musibah dan kezaliman yang menimpa mereka.

Antara sifat orang mukmin yang dinyatakan Nabi Muhammad SAW ketika saudara seakidah ditimpa musibah adalah seluruh orang Islam juga akan turut terkesan dengan penderitaan yang dialami.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang beriman dalam berkasih sayang, kecintaan dan simpati seperti tubuh badan yang satu iaitu apabila salah satu anggota badan berasa sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan ditimpa demam”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kedua, sokongan melalui doa dan kerohanian. Doa merupakan salah satu bentuk dukungan kerohanian yang paling utama dalam Islam. Doa juga merupakan senjata yang ampuh bagi umat Islam sebagaimana yang disebutkan dalam banyak kisah para nabi dan orang soleh.

Sejarah merakamkan kisah Nabi Ibrahim AS yang berdoa ketika hendak dibakar dalam api. Doanya bermaksud: “Cukuplah Allah sebagai Penolong kami, dan Dia adalah sebaik-baik Pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)”. (Riwayat al-Bukhari)

Lantas, Allah SWT mengkabulkan doa Nabi Ibrahim tersebut yang digambarkan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya)”. (Surah al-Anbiya’: 69-70)

Masyarakat Islam boleh memperbanyakkan doa untuk kesejahteraan, keselamatan daripada kekejaman dan kemenangan rakyat Palestin dalam memperjuangkan kebebasan serta keadilan dalam konteks Palestin.

Selain itu, masyarakat Islam boleh juga melakukan secara individu atau kolektif amalan solat hajat, bacaan qunut nazilah dan seumpamanya dalam usaha melaksanakan amalan berbentuk kerohanian.

Ketiga, menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan. Kewangan merupakan faktor penting dalam membekalkan rawatan, makanan dan membangunkan sesebuah negara.

Masyarakat Islam perlu saling bersatu dalam membantu untuk misi bantuan kemanusiaan melalui memberi sumbangan kewangan kepada rakyat Palestin yang berada dalam serba kekurangan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mana hamba tersebut membantu saudaranya”. (Riwayat al-Tirmizi)

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kaum ‘al-Asy’ariyyin’, apabila mereka kekurangan makanan untuk keluarga mereka di medan perang atau di Madinah, mereka akan mengumpulkan apa sahaja yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian, mereka akan membahagikan makanan itu secara sama rata antara mereka dalam satu bekas. Sesungguhnya mereka adalah daripada aku dan aku adalah daripada mereka”. (Riwayat al-Bukhari)

TABUNG DANA
Berdasarkan hadis di atas menjelaskan bahawa digalakkan untuk menubuhkan tabung atau dana takaful bagi mengumpul sumbangan kewangan untuk rakyat Palestin yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan segera.

Oleh itu, masyarakat Islam di luar Palestin perlu menghantar pelbagai bentuk bantuan seperti bekalan makanan, minuman, ubat-ubatan, pemulihan hospital, katil pesakit, ambulan, tempat tinggal sementara, pakaian musim sejuk serta bekalan tenaga, elektrik dan air bersih yang perlu diutamakan serta disegerakan untuk meringankan penderitaan.

Demikianlah tindakan pantas yang boleh diusahakan dan dilakukan oleh seluruh masyarakat Islam terhadap kebiadaban, kekejaman serta kezaliman jenayah genosid yang dilakukan Israel terhadap umat Islam di bumi Palestin.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN