Jadi pengguna yang bijak membeli, bijak berbelanja

Jadi pengguna yang bijak membeli, bijak berbelanja

MASYARAKAT pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan, dan menggunakan kuasa pengguna mereka secara bijaksana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM peredaran ekonomi yang semakin mencabar hari ini, isu pengurusan kewangan bukan lagi perkara enteng dan remeh. Ia telah menjadi salah satu tonggak utama dalam membina masyarakat yang cekap, seimbang dan berdaya tahan dari segi ekonomi.

Literasi kewangan, secara ringkas, merujuk kepada keupayaan seseorang memahami konsep asas kewangan dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Ini termasuk kebolehan merancang perbelanjaan, mengurus hutang, menyimpan, melabur, bersedekah dan membuat keputusan kewangan dengan bijak.

Malangnya, kajian menunjukkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum memuaskan. Ramai yang masih berbelanja melebihi kemampuan, tidak mempunyai simpanan kecemasan dan mudah terpengaruh dengan gaya hidup konsumerisme yang melampau terutamanya untuk golongan muda.

Pengguna yang mempunyai tahap literasi kewangan yang tinggi bukan sahaja mampu bertahan dalam situasi ekonomi tidak menentu, bahkan boleh merancang masa depan dengan lebih teratur. Pengguna juga akan lebih kritikal dalam membuat keputusan pembelian, bijak menilai godaan promosi, dan tidak mudah terperangkap dengan taktik pemasaran yang mengelirukan.

Pengguna yang mempunyai literasi kewangan akan peka terhadap harga pasaran dan tidak teragak-agak menggunakan hak mereka sebagai pengguna, termasuk membuat aduan kepada pihak berkuasa apabila berlaku pelanggaran seperti pencatutan atau harga yang tidak munasabah.

Undang-undang seperti Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan (AKHAP) 2011 memainkan peranan penting dalam memastikan harga barang keperluan tidak dinaikkan secara tidak munasabah. Inisiatif seperti Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pula memberikan jaminan harga terkawal pada musim perayaan.

Pengguna juga boleh memanfaatkan saluran aduan rasmi seperti talian 1800-886-800 dan aplikasi EzAdu KPDN bagi melaporkan sebarang isu berkaitan harga dan hak pengguna. Namun begitu, keberkesanan undang-undang ini sangat bergantung kepada tahap kepekaan dan tindakan proaktif daripada pengguna sendiri.

Membina ketahanan kewangan bermula dari diri sendiri. Ia tidak semestinya melibatkan jumlah wang yang besar, sebaliknya memerlukan disiplin dan ilmu asas. Antara langkah awal yang boleh diambil termasuk: menyediakan bajet bulanan, menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan, mengelakkan hutang tidak perlu serta merancang pembelian berdasarkan keperluan sebenar. Pengguna boleh menggunakan formula 50:30: 20 (50 keperluan: 30 kehendak dan 20 simpanan dan pelaburan) di dalam perancangan belanjawan atau mengadaptasi nisbah menurut situasi semasa.

Formula 50:30:20 adalah kaedah mudah untuk mengurus bajet kewangan peribadi secara seimbang dan berkesan. Mengikut formula ini, 50 peratus daripada pendapatan bulanan diperuntukkan untuk keperluan asas seperti sewa rumah, bil utiliti, makanan dan pengangkutan. Seterusnya, 30 peratus digunakan untuk kehendak atau perbelanjaan gaya hidup seperti hiburan, makan luar, langganan digital dan pembelian bukan keperluan. Manakala 20 peratus terakhir disimpan atau digunakan untuk pelaburan dan pembayaran hutang. Pendekatan ini membantu individu mengawal perbelanjaan, mengelakkan hutang berlebihan dan membina simpanan masa depan secara konsisten.

Pengguna juga perlu menitikberatkan keperluan untuk mempunyai tabung kecemasan. Tabung kecemasan adalah satu keperluan asas dalam perancangan kewangan yang sering diabaikan oleh ramai orang. Ia bertindak sebagai pelindung kewangan apabila berlaku perkara tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan, kemalangan, kos perubatan atau kerosakan kenderaan. Pakar kewangan menyarankan agar setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan dalam tabung ini. Tanpa tabung kecemasan, seseorang mudah terpaksa berhutang atau menggunakan simpanan jangka panjang apabila berlaku krisis seumpama Covid-19, sekali gus menjejaskan kestabilan kewangan jangka masa panjang. Membina tabung kecemasan perlu dijadikan keutamaan sebelum mula melabur atau berbelanja besar.

Dalam pengurusan kewangan, penting untuk membezakan antara aset dan liabiliti. Aset ialah sesuatu yang menambah nilai atau menjana pendapatan seperti rumah yang disewakan, pelaburan, simpanan atau emas. Dalam kata ringkas, aset akan mendatangkan wang ke dalam poket anda. Sebaliknya, liabiliti ialah komitmen yang mengurangkan wang dari poket seperti hutang pinjaman peribadi, kad kredit atau kereta yang menyusut nilai. Ramai orang keliru apabila menganggap rumah kediaman atau kereta sebagai aset, sedangkan ia sebenarnya liabiliti kerana ia tidak menjana pendapatan malahan kita perlu mengeluarkan wang untuk membayar ansuran, petrol, belanja penyelenggaraan dan lain-lain perbelanjaan. Memahami perbezaan ini membantu seseorang membina kekayaan dengan lebih berkesan dan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.

Pengguna muslim perlu juga untuk merancang tentang keperluan untuk menunaikan kewajipan untuk menunaikan haji. Ia memerlukan perancangan kewangan yang rapi. Kos semasa haji boleh mencecah puluhan ribu ringgit, dan adalah amat penting untuk pengguna memulakan simpanan haji seawal mungkin. Antara cara terbaik adalah dengan membuka akaun Tabung Haji dan mendaftar giliran secepat mungkin. Disiplin menyimpan secara bulanan secara automatik dengan potong gaji boleh memudahkan proses untuk mencapai objektif menunaikan ibadah haji. Menabung awal juga memastikan kita untuk tidak perlu bergantung pada subsidi dan mempercepatkan giliran jika dapat membayar penuh kos haji.

Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, hanya pengguna yang celik kewangan dan berpengetahuan akan mampu menghadapi cabaran dengan lebih yakin. Literasi kewangan bukan sekadar pilihan, tetapi suatu keperluan untuk menjamin kestabilan hidup individu, keluarga dan seterusnya masyarakat secara keseluruhan.

Masyarakat pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan, dan menggunakan kuasa pengguna mereka secara bijaksana. Inilah masanya untuk kita membina pengguna yang bukan sahaja bijak membeli, tetapi juga berdaya tahan menghadapi segala kemungkinan. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali ialah Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Bendahari, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN