INTAN terus menakhodai perkhidmatan awam negara

INTAN terus menakhodai perkhidmatan awam negara

DITUBUHKAN sejak 65 tahun lalu, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dilihat sebagai pusat rujukan dan pakar dalam menginterpretasikan setiap ilmu pengurusan kepada hampir 2.3 juta kakitangan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN sesebuah negara dalam dunia yang pancaroba ini, bertali pusat dengan keunggulan perkhidmatan awam. Perkhidmatan awam merupakan nadi penggerak segala detik pengurusan negara.

Dari sekecil noktah hinggalah sebuku laporan lengkap semuanya diasaskan oleh setiap jari jemari pegawai yang bergelar penjawat awam – jawatan yang menjadi idaman setiap anak watan negara.

‘Langkah kanan’ anak watan ini diadun, dicanang, dirumus, ditransformasi sehingga menjadi seorang pemimpin yang berkaliber yang mampu mencorak sebuah organisasi yang suram, suam dan penuh dengan kekusutan ke alam kegemilangan.

Usaha yang berwawasan dan tersusun ini hanya mampu diperlengkapkan dan dimantapkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Batu asas dipacak di bangunan kecil di Port Dickson pada September 1959 sebagai langkah awal memartabatkan sektor awam negara. Batu asas yang menjadi garis panduan kepada pegawai-pegawai awam dalam membawa suvarnabhumi (semenanjung emas) ke arah pentadbiran yang cekap, telus dan berintegriti.

Pelbagai ilmu dan kaedah yang lebih profesional dan bertaraf antarabangsa menjadi indikator dalam melahirkan pegawai awam yang berketerampilan.

Program latihan berkualiti yang diinspirasikan, dikategorikan sebagai suatu wadah dalam Malaysia mewarnai persada antarabangsa ke arah menjadi Malaysia sebagai sebuah negara membangun.

Keperluan dalam menyediakan pegawai-pegawai kerajaan yang makin ramai keanggotaanya dan yang dahagakan ilmu pengurusan serta pentadbiran awam yang bertaraf tinggi telah membuka tirai kepada penubuhan INTAN di Jalan Elmu, Kuala Lumpur pada Jun 1972.

Seterusnya cawangan-cawangan INTAN mula ‘dilahirkan’ mulai 1983, mengikut zon. Di zon utara, Kampus Wilayah Utara (INTURA) di Sungai Petani, di zon Timur pula Kampus Wilayah Timur (INTIM) di Kemaman, Terengganu manakala Kampus Wilayah Selatan dinamakan dengan gelaran IKWAS di Kluang, Johor.

Keprihatinan kerajaan dalam mentransformasikan sektor awam telah membuka ruang dalam pembinaan kampus utama INTAN, di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Kini, kampus utama ini menjadi gedung ilmu yang mewasiatkan pelbagai adunan ilmu pentadbiran dan pengurusan awam.

Kerajaan juga tidak meleraikan sebegitu sahaja,bumi di bawah bayu dan bumi kenyalang. Pada 1999, Kampus Sarawak (INSARA) di Kota Samarahan ditubuhkan manakala sang bayu dapat dihirup di Kampus Sabah (INSABAH), Kota Kinabalu. Dari Perlis ke Sabah kini dilengkapi dengan INTAN yang menjadi permata sektor awam negara.

65 tahun menyaksikan kelahiran sebuah institusi kerajaan yang bergelar INTAN sebagai pustaka bersejarah dalam mencorak dan melahirkan modal insan yang berupaya membangunkan negara.

Dengan mendukung aspirasi hampir 2.3 juta kakitangan awam, INTAN dilihat sebagai pusat rujukan dan pakar dalam menginterpretasikan setiap ilmu pengurusan awam.

INTAN menjadi sebuah organisasi yang menjadi harapan setiap rakyat Malaysia dalam memastikan setiap kakitangan awam yang bertugas disegenap pelosok negara menjadi warga kerja yang berdisiplin, berintegriti, berpengetahuan dan menjadi rakan taulan ketika mereka berurusan di kaunter-kaunter perkhidmatan.

Berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat, tempoh 65 tahun ini mematangkan INTAN sebagai sebuah pusat latihan perkhidmatan awam yang bersistematik.

Pelbagai ilmu kepimpinan dan gaya pengurusan sama ada dari pendita tempatan mahupun pemimpin luar negara digarap dan diwahyukan kepada para pegawai awam yang sentiasa mendahagakan ilmu baharu.

Program dan kursus jangka pendek dan jangka panjang yang diklasifikasikan sebagai lima bintang sentiasa menjadi pilihan. Ini menjadikan INTAN sebagai tapak semaian sektor awam negara.

Kelahiran tokoh-tokoh awam yang berupaya menghayati naluri setiap penduduk Malaysia dapat dilihat di setiap sektor awam. Kini perkhidmatan sektor awam dipercayai dan disenangi oleh setiap rakyat Malaysia, asasnya adalah INTAN.

Namakan sahaja mana-mana sektor awam atau kementerian di negara kita, tiada satu pun yang dipinggirkan oleh INTAN.

Sektor pertanian, psikologi, kesihatan, seni kreatif, pendidikan, kewangan, pengurusan kuarantin haiwan dan banyak lagi sub sektor kerajaan dalam sistem perkhidmatan awam menjadi anak murid INTAN.

INTAN sebagai ‘tok guru’ yang bertauliah mampu mencurahkan ilmu demi kemakmuran negara. Pelbagai teknik mudah yang mampu difahami, ditaburkan kepada para peserta kursus agar perkhidmatan awam menjadi penerus kegemilangan negara tercinta ini.

 

SELARI PEREDARAN ZAMAN

Kepesatan dunia teknologi dengan kecerdasan buatan (AI), tidak pernah melumpuhkan langkah-langkah INTAN. Kepersiapsagaan INTAN dapat dilihat dalam kursus dan sistem pengurusan kursus.

Sistem Pengurusan dan Informasi Digital (DTIMS), pendaftaran seminar dan bengkel dalam talian (i- EMG), E- Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) serta pangkalan data dalam talian menjadi saksi utama pendigitalan telah lama menjadi pegangan para pemimpin pengurusan tertinggi di INTAN.

Lautan digital tidak pernah dibiarkan sebegitu sahaja, ia diharungi dan dinahkodahkan dengan pelbagai kursus dalam melahirkan para pegawai awam yang mahir digital.

Pelbagai kursus dilontarkan dan dijadikan sebagai asasi dalam mendigitalkan sektor awam. Kelahiran pakar pendigitalan negara adalah bertunjangkan ilmu yang diwarisi daripada para pakar digital di INTAN.

Kerelevanan INTAN sentiasa dikaji oleh pemimpinnnya. Kajian kepuasan pelanggan dijadikan sebagai rujukan. Hasil kajian jelas menunjukkan INTAN mendapat skor purata penilaian 6.60 dalam semua bidang.

Misalnya, penilaian penyampaian pencapaian kursus pada tahun 2023, menunjukkan INTAN mendapat 6.71 skor iaitu skor lebih daripada skor minima 5.5 pada skala 1 hingga 7.

Jelas, INTAN sentiasa menyediakan kursus-kursus yang bertepatan dan seiring dengan peredaran zaman dan memenuhi keperluan para pesertanya. Kajian berterusan sentiasa dijalankan agar kualiti dan mutu latihan yang ditawarkan adalah setaraf dengan aspirasi Madani dalam mentransformasikan perkhidmatan awam negara.

Kelahiran INTAN sebagai peneraju dalam melahirkan para pegawai perkhidmatan awam merupakan salah satu initipati kegemilangan dan kemakmuran Malaysia.

INTAN akan terus mengibarkan sayapnya dalam membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju, progresif dan berdaya saing dalam acuan kita sendiri dengan melahirkan lebih ramai kakitangan awam yang berwawasan dan memaknai konsep madani. INTAN senantiasa akan kekal sebagai nakhoda perkhidmatan awam negara.-UTUSAN

T. Elansegaran adalah Pensyarah Akademik dari Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN