Bank tidak kebal: Perang tarif ‘goncang’ sektor perbankan negara

Bank tidak kebal: Perang tarif ‘goncang’ sektor perbankan negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG tarif antara dua gergasi ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China membawa gelombang kejutan yang luas kepada ekonomi global.

Sejak ia meletus sekitar 2018, pentadbiran Presiden Donald Trump mula mengenakan tarif terhadap barangan import dari China, Mexico, Argentina, Korea Utara dan negara dagang yang lain, kesannya terus meresap masuk ke dalam sistem kewangan, perdagangan, pelaburan dan keyakinan pasaran.

Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias konflik ini. Apa lagi apabila perang tarif yang diumumkan Trump di awal 2025 bakal memberi kesan berganda ke atas lebih 180 buah negara dan wilayah.

Apa yang sering digambarkan sebagai isu antara AS dan China sebenarnya mewujudkan kesan domino yang jauh lebih kompleks. Menurut laporan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2023, perang tarif menjejaskan lebih 2 peratus daripada keseluruhan aliran dagangan global, dengan pelaburan langsung asing (FDI) turut mencatatkan penyusutan di beberapa negara membangun termasuk Malaysia iaitu sekitar RM40.4 bilion pada 2023 berbanding RM75.4 bilion pada tahun (2022), penyusutan sebanyak 46 peratus.

Di samping itu, laporan IMF menunjukkan ketegangan antara blok-blok ekonomi yang diketuai AS dan China menyebabkan penurunan sebanyak 12 peratus dalam perdagangan antara blok-blok tersebut sejak 2022.

Projek FDI antara blok ekonomi juga menurun sekitar 20 peratus berbanding projek dalam blok yang sama. Ini menunjukkan perpecahan ekonomi global semakin jelas, dengan implikasi yang ketara terhadap kestabilan kewangan dan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.​

Dalam konteks Malaysia, impaknya mula terasa apabila syarikat-syarikat eksport utama dalam sektor elektronik, perkilangan dan logistik mengalami penyusutan pesanan dari luar negara.

Apabila eksport terjejas, aliran tunai syarikat akan terganggu, sekali gus menjadi titik mula yang memberi kesan rantaian kepada sektor perbankan.

Bank-bank komersial tempatan yang menyediakan kemudahan kredit kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapati permintaan terhadap pembiayaan merosot, manakala kadar ketidakupayaan bayaran balik (NPL) menunjukkan peningkatan.

Bank Negara Malaysia, Bloomberg, Reuters dan S&P Capital IQ dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Pertama 2023 menyatakan sektor perbankan mula menunjukkan tanda-tanda tekanan dalam portfolio kredit perdagangan dan PKS akibat gangguan rantaian bekalan global.

Nisbah pinjaman terjelas PKS meningkat kepada 3 peratus berbanding 2.9 peratus pada Disember 2022. Malah, penganalisis turut menjangkakan PKS akan berdepan pilihan sukar kerana berkemungkinan akan menyerap kos barangan siap seperti elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit serta getah yang meningkat, menanggung pengurangan margin atau menaikkan harga jualan kepada pasaran. Kesannya turut berkait rapat dengan dasar fiskal yang perlu dimainkan kerajaan sebagai langkah rangsangan ekonomi dalam mengimbangi kesan tarif AS.

Nilai ringgit yang menyusut juga turut bertindak balas terhadap ketidaktentuan global. Pada 2024, ringgit menyusut lebih 2.5 peratus berbanding dolar AS, sebahagiannya disebabkan aliran keluar dana asing dari pasaran modal Malaysia.

Kelemahan ringgit menambah kos pembiayaan luar negara untuk bank dan pelanggan korporat, di samping meningkatkan risiko dalam urus niaga pertukaran asing yang dilakukan institusi perbankan.

Krisis geopolitik dan dasar monetari AS yang menekan membawa aliran keluar modal asing yang mendorong pelabur asing cenderung menjual pegangan ekuiti dan bon Malaysia untuk melabur dalam aset AS yang menawarkan pulangan lebih tinggi.

Buktinya pada awal Februari 2023, pelabur asing menjual RM380.8 juta ekuiti Malaysia selepas pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), menyebabkan pengurangan ringgit dalam pasaran tempatan dan menyebabkan ringgit menyusut 0.3 peratus kepada RM4.2587/AS$. Sentimen pasaran ini dijangka terus berlaku dan memberi impak kepada pergerakan nilai matawang berikutan pengumuman tarif AS.

MALAYSIA NEGARA PILIHAN
Namun begitu, di sebalik cabaran ini, terdapat juga peluang yang boleh dimanfaatkan sektor kewangan. Salah satu kesan sampingan perang tarif ialah fenomena pengalihan perdagangan yang memberikan peluang kepada penciptaan kekayaan dalam kalangan mitra dagang.
Apabila syarikat multinasional mula mengalihkan operasi pembuatan mereka dari China ke negara alternatif bagi mengelak tarif AS, Malaysia turut berpotensi untuk muncul sebagai destinasi pilihan.

Data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan dalam tempoh tujuh tahun, pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan meningkat kepada RM188 bilion (2023), berbanding hanya RM54 bilion (2017), peningkatan drastik melebihi 200 peratus.

Senario ini memberi peluang kepada institusi kewangan tempatan menjadi rakan strategik kepada pelabur-pelabur ini dengan menawarkan pembiayaan projek, pinjaman perniagaan, serta perkhidmatan perbankan perdagangan.

Dalam tempoh jangka panjang, jika bank berjaya menstrukturkan semula portfolio pembiayaan ke arah menyokong industri baharu pasca konflik, maka mereka bukan sahaja dapat meminimumkan kesan semasa, tetapi turut menjamin pertumbuhan masa hadapan yang lebih baik.

Sungguhpun begitu, perlu ditegaskan kejayaan ini bergantung kepada keupayaan institusi kewangan menyesuaikan strategi operasi. Pengurusan risiko perlu ditingkatkan, terutamanya dalam memantau pendedahan kepada sektor-sektor eksport yang rentan.

Inovasi produk kewangan seperti pembiayaan lindung nilai (hedging), pinjaman berasaskan prestasi dan penyelesaian digital untuk menghadapi ketidaktentuan prestasi kewangan global. Bank perlu mengambil pendekatan lebih berhati-hati tetapi tidak boleh terlalu konservatif.

Bagi kerajaan pula, dasar monetari dan fiskal yang bersifat menyokong harus diteruskan. Insentif kepada pelabur asing perlu diiringi dengan reformasi struktur kewangan, agar Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan yang kompetitif dan stabil.

Pelaburan asing yang masuk hasil insentif kerajaan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan sektor perbankan melalui peningkatan permintaan pembiayaan dan perkhidmatan kewangan.

Pada 2023, FDI bernilai RM188.3 bilion merangsang aktiviti kredit terutamanya dalam sektor pembuatan dan infrastruktur, sekali gus memperkukuh asas modal bank. Ia dibuktikan dengan nisbah kecukupan modal (CAR) sektor perbankan Malaysia yang kekal stabil pada 15.9 peratus.

Selain itu, keyakinan pelabur asing juga memperluas pasaran kewangan tempatan dan menggalakkan inovasi dalam produk kewangan.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Shahsuzan Zakaria ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN