PELANTIKAN Naib Canselor (NC) bagi universiti awam (UA) di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Menteri Pendidikan Tinggi, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Menurut Seksyen 4A AUKU, pemilihan NC dibuat berdasarkan cadangan Jawatankuasa Pemilih, selepas rundingan dengan Lembaga Pengarah Universiti (LPU). Walau bagaimanapun, keputusan muktamad tetap berada di tangan menteri, yang berhak untuk melantik, menamatkan, atau memperbaharui kontrak NC tanpa memerlukan persetujuan Senat Universiti atau pihak universiti sendiri.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kelewatan pelantikan NC baharu atau penyambungan kontrak telah menjadi isu yang membimbangkan di institusi pengajian tinggi.
Oleh itu, wujud keperluan mendesak untuk menilai semula mekanisme pemilihan NC dan mempertimbangkan model pemilihan yang lebih inklusif serta berasaskan meritokrasi. Pemilihan dan pelantikan NC perlu disegerakan bagi memastikan tempoh penggiliran yang sesuai, sekaligus membolehkan penyerahan tugas yang sistematik serta menjamin kelangsungan dasar dan strategi institusi.
Cadangan Penambahbaikan
PINDA AUKU BAGI KOMPOSISI LPU
Keahlian LPU dicadangkan terdiri daripada individu yang dicalonkan oleh Canselor/Tuan Yang Terutama/Sultan/Majlis Raja-Raja berdasarkan kepakaran dalam akademik, pentadbiran, kewangan, dan pembangunan pendidikan tinggi.
Komposisi dicadangkan:
Canselor universiti: Menjamin nilai akademik dan integriti institusi.
Dua ahli akademik: Kepakaran dalam pendidikan tinggi dan penyelidikan.
1 ahli pentadbiran kerajaan: Memahami dasar pendidikan negara.
1 ahli perbendaharaan: Memastikan pengurusan kewangan universiti yang cekap.
1 ahli pembangunan negeri: Menghubungkan universiti dengan pembangunan setempat.
Dua ahli dicalonkan Majlis Raja-Raja (seorang sebagai Pengerusi): Menjamin keberkecualian dan tadbir urus bebas politik.
1 ahli persatuan akademik: Memastikan suara dan kebajikan akademik dipertimbangkan dalam tadbir urus universiti.
Pindaan ini bertujuan mengelakkan dominasi kuasa politik, memastikan keputusan strategik lebih profesional dengan mewakili pelbagai pemegang taruh, serta meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan universiti.
Pemilihan 360 Darjah
Model pemilihan 360 darjah memastikan keputusan lebih inklusif, telus, dan berasaskan merit dengan mewakili semua pemegang taruh universiti.
15% pihak kementerian: Menyelaraskan kepimpinan universiti dengan dasar pendidikan negara.
15% kakitangan bawahan: Menjamin keterlibatan staf pentadbiran dalam pemilihan kepimpinan.
40% ahli akademik: Memastikan kepimpinan selaras dengan visi akademik dan penyelidikan.
20% pelajar: Mengiktiraf peranan pelajar dalam menentukan kepimpinan universiti.
5% alumni: Memberi perspektif jangka panjang terhadap hala tuju institusi.
5% wakil industri: Memastikan hubungan universiti dengan sektor pekerjaan dan industri kekal relevan.
Model ini mengurangkan dominasi politik, meningkatkan kepercayaan komuniti universiti, serta memastikan kepimpinan yang berkualiti, berwibawa, dan berorientasikan kecemerlangan akademik serta industri.
Wujudkan Panel Pemilihan yang Telus dan Inklusif
Panel pemilihan yang merangkumi pelbagai pemegang taruh memastikan proses pemilihan lebih objektif, bebas, dan berasaskan merit, mengelakkan dominasi satu pihak serta meningkatkan kepercayaan warga universiti.
Wakil alumni: Membawa perspektif jangka panjang dan pengalaman luar universiti.
Persatuan akademik: Memastikan pemilihan sejajar dengan kepentingan staf akademik.
Akademi sains (sosial dan teknologi): Menilai calon berdasarkan keupayaan kepimpinan dalam akademik dan penyelidikan.
Senat universiti: Menjaga integriti akademik dan dasar universiti.
LPU: Memastikan kesinambungan tadbir urus universiti.
Dua wakil kementerian yang berkredibiliti: Menyelaraskan pemilihan dengan dasar pendidikan tinggi tanpa campur tangan politik.
Panel ini akan memastikan pemilihan Naib Canselor lebih telus, profesional, dan berpandukan kepentingan universiti secara holistik.
Penilaian Prestasi NC Secara Berkala
Penilaian berkala memastikan kepimpinan NC dinilai secara objektif berdasarkan pencapaian dan keberkesanan dalam mentadbir universiti.
Laporan prestasi komprehensif: Mengukur keberkesanan dasar dan inisiatif universiti.
Maklum balas staf akademik dan pentadbiran: Menilai impak kepimpinan terhadap operasi universiti.
Pandangan pelajar: Memastikan polisi dan inisiatif kepimpinan memberi manfaat kepada kebajikan serta pembangunan akademik mahasiswa.
Dengan mekanisme ini, penyambungan kontrak NC dibuat berdasarkan prestasi sebenar, bukan atas pertimbangan politik atau kepentingan individu, sekaligus memastikan keberkesanan dan kestabilan institusi.
Perkenal Sistem Pengundian Dalaman
Universiti boleh melaksanakan pengundian dalaman untuk membolehkan komuniti akademik menyuarakan pendapat terhadap calon NC, sekaligus memastikan keputusan lebih mencerminkan keperluan institusi. Pengundian dalaman memberi ruang kepada komuniti akademik untuk terlibat secara langsung dalam pemilihan Naib Canselor, memastikan keputusan lebih demokratik, telus, dan mencerminkan keperluan sebenar universiti.
Tingkat keterlibatan akademik: Staf dan pelajar mempunyai suara dalam menentukan kepimpinan universiti.
Pemilihan berasaskan merit: Calon dipilih berdasarkan kelayakan, bukan kepentingan politik atau individu.
Tingkat kepercayaan dan sokongan warga universiti: Kepimpinan yang dipilih melalui proses inklusif lebih dihormati dan mendapat sokongan penuh untuk melaksanakan visi universiti.
Kelewatan pelantikan Naib Canselor memberi implikasi besar terhadap kelangsungan dan kecemerlangan universiti awam.
Oleh itu, reformasi dalam proses pemilihan perlu dilaksanakan dengan menekankan pemilihan 360 darjah bagi memastikan pemilihan kepimpinan dibuat secara telus, demokratik, dan berasaskan merit. Dengan mekanisme yang lebih sistematik dan telus, universiti awam dapat mengekalkan daya saing serta mencapai kecemerlangan di peringkat nasional dan global. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Fauzilah Salleh ialah Presiden Persatuan Staf Akademik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) & Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










