Siapa mampu cabar Sanusi di Kedah? - Utusan Malaysia

Siapa mampu cabar Sanusi di Kedah?

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAYANYA bersahaja. Ketika bersama dengan rakyat beliau ialah sebahagian daripada rakyat. Tidak ada beza daripada segi penampilan mahupun pakaian.

Siapa pernah bayangkan seorang Menteri Besar hanya bermotosikal ke bazar Ramadan. Hanya berseluar track, berjersi bola dan selipar. Mundar-mandir seperti rakyat biasa dari gerai ke gerai sambil berhenti bertanya khabar atau rakyat meminta untuk bergambar.

Itulah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Menteri Besar yang dianggap oleh sebahagian daripada rakyat negeri itu sebagai Menteri Besar mereka. Yang benar-benar diangkat daripada kalangan mereka.

Menteri Besar yang dianggap mampu larut bersama kehidupan rakyat Kedah yang majoritinya adalah golongan yang bergantung hidup kepada laut, bendang, getah, kelapa sawit dan kebun. Golongan yang tidak kisah tentang pelaburan berbilion-bilion, tidak tahu apa itu keluaran dalam negara kasar (KDNK), apa itu dasar fiskal, FDI atau pelbagai terma ekonomi lain yang kompleks lagi berserabut.

Di sinilah Sanusi melarutkan dirinya bersama masyarakat yang lebih mengutamakan silaturrahim, mementingkan ‘kedekatan’ dan kekitaan. Yang boleh disapa, disalam malah dipeluk dan dibuat lawak tanpa ada protokol yang menghalang.

Latar belakang Sanusi yang berasal dari kawasan hulu dan bahasa hulu adalah bahasa ibundanya menjadikan beliau seorang Menteri Besar yang benar-benar jelmaan Kedah.

Berbanding Menteri Besar sebelum ini, walaupun mereka adalah anak jati Kedah, tetapi tidak mampu untuk benar-benar menguasai bahasa orang Kedah yang rencam dan pelbagai ragam.

Perkara sama disimpulkan oleh bekas Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga pakar propaganda politik, Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi iaitu Sanusi mempunyai sifat yang mudah, senang difahami, jelas dan kelihatan jujur.

Ciri-ciri kekampungan yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu katanya, meletakkan beliau dalam kelas ahli politik tempatan tersendiri dan agar sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pemimpin pembangkang di Kedah ketika ini, terutama dari Barisan Nasional (BN).

Budiman menyimpulkan Sanusi sebagai pemimpin kampung yang mudah didekati dengan jenaka lokal yang menambat hati serta faham kumpulan sasar iaitu rakyat yang diwakilinya.

Walaupun kerap juga mencetuskan kontroversi, tetapi bagi sebahagian rakyat Kedah, Sanusi ialah wakil mereka untuk menyuarakan apa yang terpendam sama ada langsung atau secara sinis. Termasuk dalam hal yang melibatkan bola sepak.

Sebab itu kata Dr. Budiman, sesiapa sahaja yang mahu melawan Sanusi perlu faham cara kerjanya dahulu.

“Kena buat audit branding tentang Sanusi. Barulah boleh lawan dengan dia. Kalau nak lawan dia, inilah yang perlu dibuat,” kata Budiman.

Sementara itu Bekas Ketua Pengarah Hal Ehwal Khas (JASA) yang juga satu ketika dahulu pernah menjadi Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir di Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zaharuddin Sani Sabri berkata, walaupun Sanusi dilihat sukar dicabar di Kedah, tetapi itu tidak bermakna beliau mampu kekal sebagai Menteri Besar.

Analisis beliau adalah, dalam sejarah Kedah, Menteri Besar selalunya akan digulingkan. Mereka tidak tewas dalam pilihan raya tetapi disingkirkan sama ada menggunakan kuasa dalaman atau pengaruh luar.

Menurut Dr. Zaharuddin, boleh imbau semula pada zaman Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifa dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Nama-nama itu semuanya digulingkan. Begitu juga dengan Datuk Seri Azizan Razak. Allahyarham juga nyaris digulingkan sehingga terkena serangan jantung.

“Berdasarkan rekod di Kedah, Menteri Besar selalunya digugurkan. Jadi apabila bercakap tentang Sanusi, ada dua persoalan iaitu sama ada beliau digugurkan atau kerajaan Pas Kedah kalah,” kata Dr. Zaharuddin.

Menjawab persoalan pertama kata beliau, adakah Pas sendiri akan terus menyokong Sanusi untuk kekal sebagai Menteri Besar negeri Jelapang Padi itu?

Katanya, jika dilihat kepada perkembangan masa kini, Menteri Besar Kedah itu telah diberikan pelbagai tekanan oleh Pas pusat.

“Ini adalah rahsia yang terbuka yang Pas kenakan tekanan agak keras terhadap beliau. Ini menimbulkan persoalan adakah Pas sendiri akan sokong Sanusi (untuk kekal jadi MB selepas ini),” kata beliau.
Berdasarkan senario ini katanya, Sanusi dilihat sebagai liabiliti kepada Pas kerana kelantangannya, tata kelola, isu peribadi dan dakwaan gagal dalam pentadbiran.

“Kalau difikirkan apa beza Sanusi dengan Menteri Besar Perlis (Mohd,. Shukri Ramli)? Bezanya walaupun Mohd, Shukri tidak mentadbir dengan elok, tetapi dari segi populariti ia tidak memusnahkan.

“Sebab itu, walaupun berlaku kes tangkapan rasuah terhadap keluarganya, beliau masih kekal (sebagai MB) dan orang tidak bercakap,” katanya.

Kedudukan Sanusi pula, walaupun dilihat kebal dan tidak mampu dicabar oleh mana-mana pemimpin pembangkang yang ada di Kedah ketika ini, tetapi itu bukan jaminan beliau akan kekal selamat.

Yang paling penting adakah beliau masih ada dalam perancangan Pas untuk pilihan raya umum yang akan datang?

“Jadi, apa perancangan pas itu sendiri? Sesuatu yang mungkin ramai tidak nampak, Afnan (Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga Ketua Pemuda Pas Pusat) akan dikembalikan ke negeri. Takiyuddin (Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) akan dikembalikan ke Kedah untuk parlimen.

“Kemungkinan besar Sanusi bukan sahaja akan digulingkan tetapi akan direhatkan terus,” kata Dr. Zaharuddin.

Pada masa sama kata beliau, pembangkang di Kedah yang diterajui BN juga ada masalah tersendiri iaitu tidak tahu mengambil kesempatan daripada isu yang timbul dalam pentadbiran Sanusi.

“Adakah kekuatan pembangkang sedia ada boleh gugat kerajaan Pas Kedah? Saya rasa boleh. Tetapi apa yang berlaku sekarang tidak menyengat. Seolah-olah tembak tidak tepat. Tembak bertalu-talu tetapi tidak tepat.

“Ada banyak bola tanggung tetapi gagal digunakan, smash tidak tidak tepat, tidak kena kepala atau badan, sebaliknya terkeluar,” katanya.

Kata Dr. Zaharuddin, jika pembangkang tidak ada kekuatan untuk ketengahkan kelemahan kerajaan pimpinan Sanusi sekarang, maka pengundi di Kedah akan jadi seperti Kelantan di mana mereka tidak kisah siapa yang memerintah.

“Pada pandangan peribadi saya, kehendak orang Kelantan dan Kedah hampir sama, iaitu mahukan elemen keagamaan. Kalau pembangkang hendak ke depan di Kedah, perlu ada elemen keagamaan,” katanya.

Sama juga seperti apa yang dikatakan oleh Dr. Budiman: “Akhirnya politik ini adalah tentang apa yang orang suka.”

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN