RAMADAN adalah bulan penuh keberkatan dan kemuliaan, yang mana umat Islam berlumba- lumba memperbanyakkan ibadah, mendidik diri dengan kesederhanaan dan meningkatkan kepedulian sosial.
Namun, satu ironi berulang saban tahun apabila sebahagian masyarakat Islam di Malaysia terbuai oleh hawa nafsu ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan terlupa nilai kesederhanaan yang dianjurkan agama. Akhirnya, keterujaan memilih hidangan membawa kepada pembaziran.
Pada tahun lalu sahaja, dianggarkan hampir 90,000 tan makanan terbuang sepanjang Ramadan. Selain daripada itu, satu laporan mendedahkan peniaga bazar di Selangor membuang sekitar 1,326.06 tan makanan yang tidak terjual dalam tempoh 18 hari sepanjang umat Islam berpuasa.
Selain itu, menjelang malam-malam terakhir Ramadan, tumpuan sebahagian besar masyarakat lebih kepada persiapan Syawal dan boros dalam berbelanja. Sedangkan, waktu tersebut sepatutnya dimanfaatkan untuk bermunajat kepada Ilahi.
Di Malaysia, fenomena ini sudah menjadi satu kebiasaan. Pusat membeli-belah menjadi tumpuan dan dipenuhi lautan manusia. Masing-masing sibuk membeli pakaian, langsir, perabot serta pelbagai keperluan raya seolah-olah Aidilfitri tidak lengkap tanpa barangan yang baharu. Kuih raya pula dibeli atau dibuat dalam kuantiti yang banyak, seumpama perayaan ini pesta makan tanpa had.
Lebih membimbangkan, budaya ini mendorong segelintir individu untuk berhutang demi memastikan sambutan hari raya mereka kelihatan sempurna di mata ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.
Keadaan bertambah buruk lagi dengan kemudahan ‘beli dulu, bayar kemudian’ yang ditawarkan pelbagai platform membeli-belah digital. Kegilaan berbelanja ini terus didorong tanpa mengambil kira kesan jangka panjang terhadap kelestarian kewangan peribadi.
Gaya hidup ini menjadi cerminan yang kita semakin jauh tersasar dari objektif atau maqasid syariah dan roh Ramadan, bulan muhasabah serta penyucian diri. Ia digantikan dengan pesta konsumerisme yang tiada penghujung.
HAYATI MAKNA SEBENAR RAMADAN
Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar serta dahaga, tetapi merupakan madrasah spiritual dan sosial yang mendidik, membentuk disiplin serta kepedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
Nilai ini selari dengan konsep maqasid syariah, yang menitikberatkan pemeliharaan kehidupan (hifz al-nafs) dan pemeliharaan harta (hifz al-mal) secara berhemah.
Namun, apabila tumpuan lebih terarah kepada kemeriahan Syawal dengan berbelanja secara berlebihan, tanpa disedari, kita sebenarnya menghakis hikmah sebenar Ramadan.
Budaya konsumerisme dan pembaziran dalam persiapan raya juga menggambarkan kelalaian terhadap tanggungjawab sosial kepada golongan yang memerlukan.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 27: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.”
Ayat ini jelas menegaskan pembaziran bukan sahaja ditegah oleh agama, malah boleh membawa kebinasaan. Lebih parah lagi, apabila kita ghairah berbelanja demi memuaskan nafsu dan mengabaikan hak golongan miskin serta asnaf. Tindakan ini mengakibatkan prinsip keadilan sosial dan ihsan dikhianati.
KEWANGAN SOSIAL ISLAM
Kewangan sosial Islam mampu menjadi penyelesaian dalam membendung budaya konsumerisme.
Pertama, kewangan sosial Islam mendorong masyarakat untuk mengutamakan infak dan sedekah. Jika kita mampu berbelanja ratusan atau ribuan ringgit untuk baju dan kuih raya, kita juga mampu untuk memperuntukkan sejumlah yang sama bagi membantu fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal.
Bersedekah bukan sekadar membersihkan harta tetapi juga berupaya menyucikan jiwa, seiring dengan konsep maqasid syariah yang mana kita dituntut untuk memelihara kesejahteraan masyarakat secara kolektif.
Kedua, masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan kewangan sosial Islam dalam menunaikan kewajipan berzakat secara lebih efektif.
Zakat fitrah diwajibkan sebagai simbol penyucian diri dan solidariti sosial. Ia memastikan golongan memerlukan turut merasai nikmat meraikan Aidilfitri. Namun, kewajipan ini tidak terhenti di sini. Islam juga menuntut kita menyalurkan zakat harta kepada asnaf, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab pengagihan kekayaan yang adil.
Dalam hal ini, institusi perbankan Islam boleh memainkan peranan penting dengan menyediakan platform yang lebih sistematik lagi mudah diakses bagi urusan pembayaran dan pengagihan zakat, wakaf serta sedekah. Melalui kerjasama dengan majlis agama negeri, pusat zakat dan badan kebajikan, institusi perbankan Islam mampu berfungsi sebagai perantara dalam memastikan setiap sumbangan kepada golongan sasaran dapat diagihkan dengan lebih berkesan.
Ketiga, kewangan sosial Islam berupaya menyemai sikap bersederhana (wasatiyyah) dalam berbelanja.
Salah satu cara untuk mengawal keinginan berbelanja secara impulsif ialah dengan menggunakan konsep ‘tambah ke troli’. Pengguna berpeluang menyimpan barang yang ingin dibeli ke dalam troli maya terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Tindakan ini membolehkan kita mengambil masa untuk berfikir sama ada sesuatu pembelian itu satu keperluan atau sekadar memenuhi kehendak nafsu sendiri.
Bank-bank Islam boleh memperkenalkan kempen kesedaran kewangan Ramadan bagi membantu pelanggan mengurus perbelanjaan dengan lebih bijak. Kempen ini boleh dilaksanakan melalui platform digital dan aplikasi kewangan Islam yang menggalakkan tabungan sebelum berbelanja seperti ‘simpan sekarang, beli kemudian’ berbanding pengamalan hutang atau ‘beli sekarang, bayar kemudian’ yang semakin berleluasa.
Akhir sekali, kewangan sosial Islam mampu mendorong masyarakat membantu peniaga kecil melalui perbelanjaan beretika.
Jika ingin membeli barangan keperluan raya, amatlah digalakkan agar membeli daripada peniaga kecil dan golongan asnaf. Ini memandangkan golongan ini menyara kehidupan melalui hasil jualan perniagaan.
Kebanyakan daripada mereka adalah ibu tunggal serta keluarga yang berpendapatan rendah, mengambil peluang di bulan Ramadan untuk menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan secara kecil-kecilan.
Menyemai sikap ‘membeli sambil menderma’ bukan sahaja dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan ini, tetapi juga dapat melaksanakan prinsip ta’awun (tolong-menolong).
Institusi kewangan Islam boleh memperkukuh peranan ini dengan menyediakan pembiayaan Islam mikro kepada usahawan kecil, terutama golongan asnaf dan ibu tunggal. Inisiatif ini berupaya membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing tanpa terjerat dengan bebanan hutang.
Ayuh jadikan Ramadan dan Syawal kali ini sebagai satu peluang untuk memperbaiki amalan kewangan, mengamalkan kesederhanaan dan memperkukuh kesejahteraan sosial melalui instrumen kewangan sosial Islam yang selari dengan prinsip keadilan serta kebersamaan.-UTUSAN
DR. Syarah Syahira Mohd. Yusoff ialah adalah Penolong Profesor di Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











