Raikan Aidilfitri dengan sederhana

Raikan Aidilfitri dengan sederhana

MENGAWAL perbelanjaan semasa Aidilfitri adalah penting untuk memastikan keseimbangan kewangan dan mengelakkan tekanan beban kewangan selepas perayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN semakin beransur pergi dan Syawal akan menjelma lagi. Aidilfitri adalah perayaan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Aidilfitri adalah hari kejayaan bagi umat Islam setelah sebulan berpuasa dan mengawal hawa nafsu serta menunaikan ibadah tertentu seperti menunaikan solat tarawih, di samping berinfak dan menunaikan zakat fitrah.

Ia bukan sahaja merupakan masa untuk bersyukur dan bersuka ria, di samping peluang untuk pulang beraya di kampung bersama sanak saudara, tetapi juga sering kali menjadi masa di mana perbelanjaan meningkat dengan amat ketara. Walaupun adalah penting untuk merayakan dan berkongsi kegembiraan dengan keluarga dan rakan, mengawal perbelanjaan semasa musim ini adalah penting untuk memastikan keseimbangan kewangan dan mengelakkan tekanan beban kewangan selepas perayaan.

Jika tidak berhati-hati dengan perbelanjaan menyambut hari raya, kita berkemungkinan besar akan terperangkap dalam bebanan hutang yang mengganggu emosi diri dan malahan keluarga.

Sewaktu raya, kita sering merayakannya sepanjang bulan Syawal dengan mengadakan rumah terbuka, pulang ke kampung, ada yang menukar perabot baharu, ada yang menukar kereta baharu dan lain-lain. Setidak-tidaknya, kereta perlu diselenggara, tayar perlu dipastikan di dalam keadaan baik untuk perjalanan balik kampung.

Secara amnya, perbelanjaan akan meningkat lebih dari bulan biasa. Justeru, beberapa panduan boleh digunakan untuk menghadapi raya pada kali ini dengan mengambil kira faktor “ukur baju di badan sendiri”.

Tetapkan Anggaran Bajet Perbelanjaan
Sebelum memulakan perbelanjaan untuk Aidilfitri, penting untuk menetapkan anggaran bajet yang munasabah. Ambil kira pendapatan, perbelanjaan sedia ada, dan perbelanjaan tambahan Aidilfitri yang perlu diberikan. Setelah menetapkan jumlah yang sesuai, berusaha untuk mengikuti kepada anggaran bajet tersebut.

Rancang Belanja Hari Raya Lebih Awal
Elakkan daripada membuat pembelian yang terburu-buru. Rancang belanja awal untuk barangan seperti pakaian raya, bahan makanan, dan duit raya yang akan diberikan. Kita juga digalakkan untuk membuat tabungan khusus bagi perbelanjaan seperti ini.

Hadkan Perbelanjaan untuk Pakaian Raya
Pakaian raya sering menjadi salah satu perbelanjaan terbesar semasa Aidilfitri. Tetapkan had yang munasabah untuk perbelanjaan pakaian raya dan cuba untuk tidak melebihi jumlah tersebut. Cuba untuk mempertimbangkan untuk membeli pakaian raya yang lebih sederhana atau menggunakan pakaian yang sedia ada. Yang penting pakaian yang digunakan pada hari raya adalah bersih dan tidak semestinya baharu. Kaum lelaki tidak mempunyai masalah dalam bab pakaian tetapi kaum wanita agak prihatin bab pakaian seperti mahu pakaian hari raya yang sedondon pada hari raya pertama, kedua atau ketiga. Jika mahu melakukan sedemikian, pastikan masih di dalam anggaran bajet yang telah ditetapkan.

Buat Senarai Belanja
Sebelum memulakan belanja, buat senarai yang terperinci mengenai barangan yang diperlukan. Ini membantu mengelakkan pembelian impulsif dan memastikan anda membeli hanya apa yang diperlukan. Pastikan untuk menyemak senarai belanja semasa berada di kedai untuk mengelakkan pembelian impulsif dan pembaziran.

Elakkan Berlebihan dalam Persiapan Rumah
Sering kali, perbelanjaan semasa Aidilfitri tidak terhad kepada pakaian dan makanan sahaja, tetapi juga kepada persiapan rumah seperti hiasan dan perabot baharu. Cubalah untuk mengawal perbelanjaan ini dan berfokus pada perkara yang benar-benar diperlukan. Kita perlu memahami konsep perbelanjaan menurut Dharuriyat, Hajiyat dan Tahsiniyat.

Perbelanjaan dharuriyat adalah perbelanjaan kepada keperluan asas, manakala perbelanjaan hajiyat adalah perbelanjaan yang akan memudahkan kita, sementara itu perbelanjaan tahsiniyat adalah perbelanjaan barangan mewah. Penuhi keperluan dharuriyat seperti makanan, tempat tinggal, pakaian, kesihatan, pendidikan yang perlu dikeluarkan setiap bulan tanpa gagal. Jika kita berbelanja sepenuhnya pada hari raya, kemungkinan kita tidak dapat memenuhi keperluan asas pada bulan akan datang.

Berpada-pada Menghias Rumah
Pada hari raya, kita sering menjemput sanak saudara dan rakan taulan untuk bertandang ke rumah. Jangan ragu-ragu untuk menggunakan bahan yang sedia ada untuk hiasan rumah dan kita tidak perlu untuk menggantikan langsir, perabot dan permaidani baharu. Cukup dengan bersederhana dengan menjadi sedikit kreatif tanpa perlu membelanjakan banyak wang.

Sediakan Dana Kecemasan
Walaupun kita berusaha untuk mengawal perbelanjaan sempena Aidilfitri, adalah bijaksana untuk menyediakan dana kecemasan untuk sebarang perbelanjaan tidak terduga atau keperluan mendesak selepas perayaan.

Utamakan Kebahagiaan Emosi dan Sosial
Ingatlah bahawa Aidilfitri adalah masa untuk berkumpul dengan keluarga dan rakan. Lebih daripada sekadar perbelanjaan, berikan keutamaan kepada kebahagiaan emosi dan sosial anda. Raikan perayaan yang bermakna tanpa menekan diri dengan perbelanjaan yang berlebihan.

Dengan mengikuti panduan-panduan ini, kita boleh mengawal perbelanjaan sempena Aidilfitri dengan lebih efektif, memastikan keseimbangan kewangan dan membolehkan kita menikmati perayaan dengan lebih tenang. Selamat menyambut Aidilfitri dan semoga perayaan ini membawa kebahagiaan dan keberkatan kepada anda dan keluarga. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali ialah Profesor, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Felo Penyelidik di Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Bendahari Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN