Semasa menulis semula catatan perjalanan ini, saya terlupa menyebutkan tentang dua tokoh penting yang saya telah wawancara. Jadi sebelum saya bercerita tentang Natrah di Amarika Syarikat, izinkan saya bercerita tentang mereka berdua ini.
Mereka berdua ini ada kaitan yang sangat hebat dengan sejarah Natrah. Tanpa mereka tiada kes mahkamah dan tiada kebangkitan orang Melayu atau dikenali sebagai Singapore Riot 1950.
Yang pertama adalah Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim. Beliau adalah peguam Che Aminah dalam kes Hak Penjagaan Anak (Natrah). Yang kedua adalah Puan Rosewita Ali (Buang) wartawan Utusan Melayu, yang bertemu Natrah yang memaparkan keadaan sebenar Natrah selama sembilan hari di gereja sebelum di bawa balik ke Belanda.
Permulaan kariernya Ahmad Ibrahim adalah nama besar bagi para pengamal undang-undang Inggeris. Beliau di gelar the common law walking ensiklopedia.
Beliau adalah pelajar terbaik undang-undang Inggeris Universiti Cambridge selama empat tahun berturut-turut. Kehebatan beliau mengalahkan mat salleh.
Sewaktu mengendalikan kes Natrah beliau berumur 30 tahun. Sewaktu bertemu, beliau adalah Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim, 73 tahun, Syeikh Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa. Jarak 43 tahun ini telah mewarnai hidup Prof Ahmad dengan perjuangan baru.
Pengalamannya mengendalikan kes Natrah dan melihat bagaimana Islam direndahkan apabila pernikahan sah Mansor-Natrah dibatalkan, benar-benar membuka matanya untuk meninggalkan undang-undang Inggeris yang dijuarainya itu kepada perjuangan mengangkat martabat undang-undang Islam yang dipandang remeh, dihina oleh undang-undang manusia.
Semasa bertemu beliau 36 tahun yang lalu, saya menanyakan soalan cepumas ini, adakah cara untuk mengelakkan Natrah dibawa balik ke Belanda?“ Ya ada dua cara. Satu sebelum kes dan kedua selepas kes. Masa sebelum kes – Che Aminah sepatutnya tidak perlu membawa Natrah ke Singapura. Selepas kes pulak – setelah menang kes pertama hak penjagaan anak, Che Aminah patut bawa balik terus Natrah ke Terengganu. Kalau hendak nikahkan mereka pun – nikahkanlah di Terengganu atau di luar Singapura! (LihatDewan Masyarakat, Mac 1989, halaman 15-16).
Kerana kesilapan Che Aminah, Natrah terpaksa balik ke Belanda?
Adakah Che Aminah bertanyakan Prof. Ahmad dahulu sebelum menikahkan mereka? “Tidak ada. Saya hanya tahu hal perkahwinan tersebut sehari selepas itu, dan saya pun terkejut! Kalau saya tahu saya boleh mengelakkan mereka berkahwin di Singapura atau pun menyuruh Che Aminah bawak balik ke Terengganu sahaja.”
Adakah Che Aminah agak terburu-buru menikahkan mereka? “Ya. Memang benar Che Aminah dan orang-orang lain yang terlibat dalam menikahkan mereka agak terburu-buru. Mereka tidak nampak soal perkahwinan ini boleh membuka ruang baru untuk Belanda memenangi kes ini. Mereka tidak nampak soal implikasi perkahwinan tersebut.”
Bagaimana implikasi perbicaraan Natrah dan kegagalan peguam untuk membelanya? “Sebagai peguam saya berpuashati walaupun kalah dalam perbicaraan ini. Tetapi sebagai seorang Islam saya berasa sangat kesal. Yang lebih sedih apabila orang-orang Melayu dan India Muslim banyak yang ditangkap dan kes mereka dibawa ke mahkamah tinggi atas tuduhan membunuh semasa rusuhan…tetapi oleh kerana sistem juri berat sebelah, semua yang dituduh kena hukum gantung atau penjara.”
Apakah punca rusuhan tersebut? Apakah kerana keputusan mahkamah yang dianggap berat sebelah? “Kalau dikatakan berat sebelah pun boleh, kerana hakim dan yang menuntut adalah orang Barat. Rusuhan tersebut berlaku mungkin kerana dua faktor – pertama keputusan yang dikatakan berat sebelah dan kedua orang Melayu memendam rasa marah kerana Natrah ditempatkan di gereja dan disuruh melutut pada patung. Api kemarahan mereka memuncak apabila keputusan hakim tidak berubah setelah dibuat rayuan selepas itu.”
Kekesalan beliau menjadikan beliau beralih bidang. “Kes ini mendorong saya secara peribadi untuk berusaha mengetengahkan undang-undang Islam. Banyak undang-undang di Singapura dan
Malaysia saya terlibat mendrafnya. Sebelum kes ini saya bekerja di pejabat Peguam Negara. Selepas kes ini saya berpindah bekerja dengan kerajaan mendrafkan undang-undang Islam dan dapat menubuhkan mahkamah Syariah Singapura. Saya cuba di Singapura, alhamdulilah ada hasilnya”.
Apabila berlaku pemisahan Singapura daripada Malaysia beliau telah menggubal Akta Undang-Undang Islam 1966 (AMLA Singapore) yang membolehkan wujudnya Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang berperanan menjaga komuniti Islam Singapura.
Apabila beliau berhijrah ke Malaysia beliau meneruskan perjuangan memartabatkan undang-undang Islam dengan membantu memperbaharui undang-undang dan menggubal undang-undang keluarga Islam di banyak negeri.
Jasa beliau yang terbesar ialah membantu memartabatkan kuasa mahkamah syariah melalui pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 yang bermakna keputusan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil dan tidak boleh dicabar.
Beliau kembali ke rahmatullah pada umur 83 tahun pada 18 April 1999.
Daripada sejarah Natrah, Allah takdirkan beliau menjadi pembela dan pejuang undang-undang Islam yang hebat yang tiada gantinya!
#Minggu hadapan: Wartawan Utusan Melayu Berjumpa Natrah di Gereja!
Puan Sri Fatini Yaacob ialah bekas Wartawan majalah DBP yang mewawancara Natrah di Nevada, Amerika Syarikat dan membuat penyelidikan sejarah ini (1988-1989). Beliau kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang diasaskan sebagai pemegang amanah Sejarah Natrah.









