Menegur orang dengan peribahasa kerbau

Menegur orang dengan peribahasa kerbau

BANYAK peribahasa dikaitkan dengan kerbau dalam memperkaya kosa kata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA biasa mendengar peribahasa ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’. Sebenarnya, peribahasa itu juga menggunakan kerbau di tempat lembu. Maksudnya tetap sama iaitu orang lain mendapat nama dan pujian atas kerja dilakukan pihak lain.

Dalam kehidupan harian pula, lembu mungkin dilihat sebagai lebih jinak berbanding kerbau yang berkulit hitam dan bertanduk panjang. Tambahan pula, dalam kisah mitos dan purana Hindu, kerbau digambarkan sebagai binatang tunggangan bagi Yama iaitu malaikat yang mencabut nyawa manusia.

Sepanjang saya tinggal di Lorong B, Aulong Lama, Taiping, Perak (1972-1991), terdapat kandang lembu dan kerbau milik keluarga Punjabi-Sikh.

Lembu dan kerbau dibunuh secara besar-besaran pada 1978 akibat penularan penyakit kuku dan mulut (FMD). Semua pengalaman itu dimasukkan dalam cerpen bertajuk Ayya (Dewan Pelajar, Ogos 1992).

Pada Januari lalu, pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyarankan supaya Kerajaan Negeri Kedah mendaftarkan susu kerbau sebagai harta intelek di bawah kategori Petunjuk Geografi (GI).

Susu kerbau masam yang rasanya seperti yogurt pula antara hidangan tradisi orang Melayu di Terengganu.

Selain memperkenalkan semula susu kerbau dan susu kerbau masam kepada generasi muda, elok jugalah peribahasa dan pepatah lama berkaitan kerbau diperhatikan semula. Entah-entah generasi lama pun sudah terlupa dan tidak lagi menggunakannya dalam komunikasi harian.

Misalnya, peribahasa ‘kerbau berkandang, emas berpura’ tetap sesuai menjadi pegangan pada masa kini. Ia membawa makna, setiap benda atau perkara perlulah diletak di tempat masing-masing supaya selamat dan terpelihara. Kata ‘pura’ merujuk kantung kecil yang dulu digunakan untuk menyimpan wang dan barang kemas.

Peribahasa ‘kerbau bertanduk, rotan beronak’ sentiasa mengingatkan saya kepada slogan ‘suara rakyat, suara keramat’ yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dahulu.

Dalam peribahasa ini, kerbau merujuk golongan berkuasa dan berkedudukan tinggi. Sementara rotan mewakili rakyat jelata yang perlu bersatu supaya kuat dan memiliki onak (duri) sebagai perlindungan.

Tindakan memberi tugas dan kuasa kepada individu yang tidak layak juga disindir secara halus menerusi satu lagi peribahasa Melayu tradisional. Pepatah ‘kerbau diberi berpelana, kuda diberi berpasangan’ menunjukkan sikap ketua yang gagal bertindak secara rasional.

Salah satu peribahasa yang masih sering kedengaran ialah ‘kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya’. Tumpuan di sini bukanlah tentang kerbau yang dicucuk hidung dan diikat tali pada lubang hidung itu. Sebaliknya, kita mahu mengingatkan betapa penting berpegang pada janji.

Tentulah kita masih ingat frasa seperti ‘janji ditepati’ dan ‘janji dicapati’ yang popular dalam arena politik negara, tidak lama dahulu.

Pasti menarik jika pelbagai peribahasa berkaitan kerbau dimasukkan dalam karangan di sekolah dan dalam karya kreatif oleh pengarang tempatan. Lebih bagus sekiranya peribahasa dan pepatah yang sudah jarang digunakan itu dipopularkan semua oleh ahli politik semasa berucap di Dewan Rakyat.

Misalnya, ‘kerbau menanduk, kerbau pergi’ sesuai digunakan Yang Dipertua Dewan Rakyat apabila mahu menegaskan orang yang melakukan kesalahan perlu menerima hukuman setimpal.

Peribahasa ‘kerbau runcing tanduk’ merujuk orang yang terkenal dengan sikap jahat manakala ‘jangan buat kerbau tanduk panjang’ lebih halus berbanding memberi amaran kepada seseorang supaya jangan masuk campur urusan orang lain.

Kita mungkin biasa mendengar peribahasa ‘seekor kerbau bawa lumpur, semuanya terpalit’. Ia merujuk situasi di mana kesilapan atau kesalahan dilakukan seorang membawa malu atau kecelakaan kepada kumpulannya. Samalah seperti kes ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Peribahasa biasanya lahir daripada kebijaksanaan masyarakat dan berkait rapat dengan suasana kehidupan harian. Misalnya, apabila orang tua-tua menasihati supaya ‘kerbau jangan dimaling orang, ayam jangan dimusang’, bukan hanya merujuk kes kerbau dicuri atau ayam dimakan musang.

Sebaliknya, nasihat halus kepada golongan suami supaya menjaga isteri dengan baik agar tidak dinodai, dipikat atau dirampas lelaki lain.

Masyarakat Melayu tradisional juga memperkatakan betapa sukar menjaga anak perempuan supaya tidak melakukan apa-apa yang boleh mencemarkan nama keluarga. Peribahasa ‘kerbau sekawan boleh dikandang, manusia seorang tiada terkawal’ mewakili kebimbangan itu.

Satu lagi peribahasa berupa nasihat dan peringatan yang saya gemari ialah ‘laksana kerbau, di mana rumput hijau, di sana terkam’.

Ia tiada kaitan dengan peribahasa Inggeris berbunyi ‘the grass is always greener on the other side’. Sebaliknya, merujuk sikap orang yang tidak berhati-hati dan tidak berwaspada sebaik menemui atau hampir memiliki sesuatu yang diminati. Sebagai contoh, dua orang artis yang bukan suami isteri memilih untuk berdua-duaan di sebuah kondominium tanpa menyedari perbuatan mereka diperhatikan pihak berkuasa.

Kita tentu sudah amat biasa dengan peribahasa ‘seperti melepaskan anjing tersepit’ di mana usaha membantu orang dalam kesulitan membawa kecelakaan kepada diri kita pula.

Demikian juga satu peribahasa tradisional yang sudah hampir tidak digunakan iaitu ‘menolong kerbau ditangkap harimau’. Dapat dibayangkan betapa besar bencana diundang dalam situasi yang digambarkan.

Ternyata masyarakat masa dahulu menjadi pemerhati tekun terhadap alam sekitar dan kehidupan haiwan di persekitaran. Memandangkan kerbau juga banyak dipelihara orang kampung, maka tindakan binatang itu turut dijadikan kiasan.

Misalnya, peribahasa ‘seperti kerbau menanduk anak dengan kaparan tanduk, bukan dengan hujung’. Perkataan ‘kaparan’ merujuk bahagian yang tidak tajam.

Maka, masyarakat lama telah perhatikan tindakan kerbau dewasa menggunakan bahagian tepi tanduk untuk menanduk anaknya. Lalu dijadikan kiasan untuk menasihati ibu bapa supaya apabila menegur atau menghukum anak-anak, jangan sampai mencederakan mereka secara fizikal atau emosional.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN