MUTAKHIR ini, isu berkenaan kuasa belia kembali panas dan semakin meledak dalam kalangan anak muda. Sepantas kilat ia membakar semangat darah muda yang sentiasa membara, malah ada pula yang memilih untuk turun ke jalanan.
Sesungguhnya isu-isu belia amat dekat di hati saya dan sering dibincang serta dikongsikan dalam penulisan. Hal ini bukan sekadar disebabkan saya sendiri seorang pemuda, tetapi lebih penting lagi kerana melihat dan menyaksikan isu serta masalah berkaitan orang muda di sekeliling saya.
Lebih-lebih lagi, apabila memegang jawatan sebagai Penyelaras Belia Serantau Asia-Pasifik bagi program Pusat Kepakaran Serantau di Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU), saya banyak terlibat dengan hal-hal berkaitan belia di dalam dan luar negara.
Bertepatan dengan kepakaran kami, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) banyak menerima lawatan daripada kumpulan-kumpulan anak muda dari pelbagai negara luar dengan tujuan mendalami hal-hal berkaitan perihal kemampanan daripada pihak kami.
Setelah menjalankan tugas melayan mahasiswa-mahasiswa dari Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia beberapa hari sebelumnya, Selasa lalu saya menerima sekumpulan lagi tetamu dari Indonesia. Kali ini, mereka terdiri daripada kumpulan pelajar sekolah menengah dan universiti dari pelbagai daerah di Indonesia. Mereka bergabung di bawah program yang dinamakan Pemuda Mendunia.
Lawatan mereka ke UIAM bertujuan mempelajari secara lebih terperinci tentang kajian kemampanan serta aktivisme belia. Para peserta turut membuat pembentangan projek untuk dinilai secara holistik oleh juri berkemahiran dalam bidang kemampaman daripada UIAM dengan harapan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat di sana.
Seperti kebiasaannya, ketika memberi ucapan tentang isu kemampaman dan pemerkasaan belia sebelum mula mengadili pembentangan, saya mengambil peluang berinteraksi, bertukar-tukar pandangan serta belajar perkara-perkara baharu daripada tetamu-tetamu yang mengunjungi kami.
Bercakap tentang aktivisme belia, saya sering melontarkan soalan tentang apakah tindakan terbaik yang harus diambil oleh para mahasiswa dalam memperjuangkan hasrat mereka untuk mengubah keadaan supaya ia menjadi kenyataan, lantas dapat memanfaatkan masyarakat.
Haruskah kita memilih untuk bertindak secara proaktif, berhemah serta mengorak langkah secara bijaksana? Atau adakah kaedah seperti desakan atau tindakan berbentuk kekerasan terbukti lebih berkesan bagi mencapai matlamat yang dihasratkan?
Seterusnya, saya merujuk cogan kata mereka iaitu ‘Memperkasa pelajar sepanjang hayat’. Kita perlu saling memperingatkan tentang amanah yang ada di bahu kita untuk melaksanakan tanggungjawab utama ketika ini iaitu menuntut ilmu.
Ilmulah yang akan memperkasakan dan memartabatkan diri, malah tanggungjawab menuntut ilmu tidak akan terhenti sebaik sahaja lulus daripada universiti dan memasuki alam kerjaya. Sebaliknya, kita harus pelbagai bidang yang berbeza sepanjang hayat.
Tidak boleh dinafikan tatkala diri sedang dibakar semangat yang panas membara, kita boleh tersasar dalam membuat pilihan.
Suasana sekeliling boleh mengaburkan pandangan sehingga kita merasakan perjuangan secara agresif itulah yang mesti didahulukan, bukan sahaja memaksanya ke atas orang lain.
Kita seakan-akan tenggelam dalam ilusi serta terpisah daripada realiti kehidupan nyata. Ironinya, semangat yang membara itu tidak pula menjadi pemangkin yang menjadikan kita insan pertama melakukan perubahan seperti mana yang dituntut untuk dilakukan oleh pihak lain.
Justeru, kita perlu sentiasa berpijak di bumi yang nyata serta belajar memahami realiti kehidupan sebenarnya. Saya selalu mengingatkan diri bahawa langkah pertama ke arah perubahan yang diperjuangkan harus dimulakan oleh diri kita sendiri dan bukannya sekadar mendesak ia dilakukan oleh pihak lain.
Malang sekali, ramai dalam kalangan pelajar sains politik sebagai contoh dipaksa oleh rakan sebaya untuk terlibat dalam aktiviti memberontak dan bermain politik, kononnya kerana malulah jika belajar sains politik tetapi tidak ingin berpolitik. Walhal, mereka hanya ingin belajar tentangnya, bukan turut mencemarkan tangan sendiri.
Kita harus sedar dalam kehidupan bermasyarakat, harus menghormati keperluan jumhur dan hak orang lain di sekeliling.
Kita sebagai orang muda umumnya kurang kesabarannya dan sering kali pendek akal dalam mengatur langkah. Kita sering bertindak sebelum berfikir panjang. Sudah terantuk baru tengadah.
Sebaliknya, semangat darah muda harus dimanfaatkan secara bijaksana. Pada masa sama, benih-benih kesabaran perlu ditanam dalam jiwa agar tindakan kita menjadi seimbang dan berhemah.
Langkah yang salah boleh mengakibatkan kita jatuh ke dalam krisis berpanjangan seperti di Libya.
Apabila ketidaksabaran rakyat mengatur langkah dalam usaha menjatuhkan diktatornya, Muammar Gaddafi, berakhir dengan kehancuran negara itu secara keseluruhannya.
Akhirnya, segala keselesaan dan kemewahan yang mereka nikmati sebelum itu hilang dalam sekelip mata. Paling menyedihkan, kanak-kanak yang tidak berdosa paling terkesan dan menderita akibat daripada ketamakan orang dewasa yang tidak sabar ingin menjatuhkan autoriti.

KELEBIHAN RAMADAN
Esok, kita akan menyambut hari pertama bulan Ramadan dengan penuh kesyukuran. Dalam menunaikan ibadah berpuasa, kita dituntut untuk mengamalkan kesabaran yang tinggi dalam melakukan semua perkara.
Inilah peluang terbaik untuk melatih diri bersabar dalam menghadapi segala perkara. Amalan di bulan yang mulia ini mengajar kita menahan nafsu diri bukan sahaja daripada makan dan minum tetapi juga daripada melakukan perkara buruk seperti berbohong, memfitnah, bermusuhan, tidak beramanah dan sebagainya.
Malang sekali, ada yang sekadar mengamalkan sifat-sifat baik ini sepanjang sebulan sahaja dan tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Semoga kita semua dibukakan hati untuk bermuhasabah diri serta mengambil iktibar sempena bulan Ramadan yang mulia ini agar dapat menjaga tingkah laku, tutur kata serta menanam sifat sabar dalam diri sepanjang hayat.
Selamat menyambut bulan Ramadan, semoga segala urusan ibadah kita dipermudahkan, diterima dan diberkati Allah.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










