Kuil haram : Mana peranan pihak berkuasa tempatan?

Kuil haram : Mana peranan pihak berkuasa tempatan?

ADAKAH Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan fungsi untuk memastikan rumah ibadat yang terbina sah mengikut lunas undang-undang memandangkan ia banyak dibina secara haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADALAH satu undang-undang mantap bahawa pemilik tanah yang berdaftar mempunyai hak yang tidak disangkal dalam hal berkenaan dengan kepentingan di atas tanah. Prinsip ini bukanlah suatu yang baharu tetapi telah lama diamalkan. Lebih-lebih lagi Malaysia mengamalkan Sistem Torrens bagi undang-undang tanah.

Isu pembinaan rumah ibadat yang dirobohkan atau diambil untuk tujuan pembangunan bukanlah perkara baharu. Sekitar tahun 2024, sebuah surau di Kampung Seri Keramat, Kuala Lumpur diarahkan roboh kerana pemaju ingin mengambil semula tanah tersebut bagi tujuan pembangunan.

Operasi merobohkan surau ini juga mendapat tentangan daripada penduduk dan jemaah sebelum jabatan agama negeri masuk campur bagi menyelesaikan isu ini. Surau tersebut juga mempunyai bekalan elektrik pada waktu perintah meroboh dikeluarkan tetapi ia tetap dirobohkan.

Kes pendudukan tanpa kebenaran atau pendudukan secara haram ini sering dilihat dengan pembukaan penempatan-penempatan setinggan di atas tanah kerajaan yang kemudiannya apabila kerajaan menjual tanah tersebut, penempatan ini dirobohkan. Tanah-tanah setinggan ini didiami, malah dikembangkan oleh penduduk sebelum kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan hak mereka atau pemaju memutuskan untuk membangunkan tanah tersebut. Ia telah, pernah dan sering berlaku.

Namun, tiada yang boleh menyangkal hak pemilik tanah sekiranya mereka ingin mengambil semula tanah.

Terdapat alasan yang kerap diberikan oleh penduduk haram ini kononnya pendudukan mereka direstui atau dibenarkan oleh pemilik tanah. Malah kononnya terdapat bekalan elektrik dan air di premis mereka.

Ini adalah alasan klasik dan mahkamah tinggi dalam kes Cahaya Ideal (M) Sdn. Bhd. lwn. Orang-Orang yang mengenali diri sebagai Ponga’ & yang lain jelas menyatakan ia bukanlah alasan untuk membenarkan pendudukan tidak sah ke atas sesuatu tanah.

Sebenarnya ia tidaklah terlalu sukar untuk memahami prinsip ini namun apabila ahli politik menggunakan alasan ini untuk memberikan justifikasi berkenaan pendudukan haram, ia boleh dianggap satu bentuk kejahilan kepada undang-undang.

Tuntasnya, dalam sifir mudah, undang-undang hanya mengiktiraf pemilik yang berdaftar atau pemilik tanah mempunyai hak ke atas hartanah yang berdaftar. Maka, orang lain yang tidak diberikan hak tersebut boleh dilabelkan sebagai penceroboh.

Apa sahaja alasan yang diberikan kononnya menduduki tanah tersebut beratus tahun juga tidak akan mengubah prinsip undang-undang yang tekal ini.

Isu berkenaan pendudukan haram ini tiada kaitan dengan pertembungan budaya, agama ataupun penghapusan terancang pihak kerajaan terhadap mana-mana kumpulan agama. Tidak sama sekali. Isu sebegini hanya melibatkan pelanggaran prinsip undang-undang mantap oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam keadaan ini, pemilik berdaftar tanah yang diceroboh tidak bertanggungjawab untuk mengeluarkan apa-apa kos ataupun pampasan untuk merobohkan atau memindahkan struktur binaan ini.

Malah dalam kes Lim Toong Yen lwn. Sasitharan K Govindan & yang lain, Yang Arif Ahmad Kamal Md. Shahid (Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu) memerintahkan supaya defendan dalam kes ini mengeluarkan, merobohkan atau meruntuhkan struktur kuil yang dibina secara haram di atas tanah plaintif. Ini menunjukkan pendirian undang-undang adalah jelas.

Kecanggungan yang timbul adalah apabila masih terdapatnya banyak rumah ibadat yang dibina di atas tanah yang tidak dimiliki pemilik rumah ibadat. Malah isu rumah ibadat termasuk kuil yang dibina dengan banyak tanpa kebenaran pemilik tanah ini berlaku di tengah-tengah ibu kota seperti Kuala Lumpur, menimbulkan persoalan mengapa pembinaan struktur ini boleh berlaku secara sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan anggapan pembinaan ini adalah sah dan dibenarkan oleh undang-undang.

Janganlah ada yang menghujahkan kononnya pembinaan sebarang rumah ibadat tidak dibenarkan. Hujahan sebegini hanya mencurah minyak ke api. Cuma ia perlu dilakukan di atas tanah yang dimiliki atau didaftarkan atas nama mereka termasuklah yang diperoleh secara wakaf.

PERANAN PBT

Dalam keadaan kebanjiran pembinaan rumah-rumah ibadat yang tidak sah ini, timbul persoalan sama ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan fungsi yang diberikan oleh undang-undang dalam pengawasan untuk memastikan sebarang struktur yang terbina adalah sah mengikut lunas undang-undang. Hakikatnya, pembinaan struktur sekecil-kecil ubahsuai rumah memerlukan pengesahan dan kelulusan PBT selaras dengan seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Lantaran itu secara idealnya pembinaan struktur yang besar, gah dan terbuka semestinya akan menarik perhatian PBT. Secara logiknya, PBT akan membuat semakan silang sama ada terdapat kelulusan ataupun tidak. Tetapi ini hanyalah secara ideal dan ini tentunya tidak berlaku dalam isu kuil berhampiran Jalan Masjid India yang tular sekarang ini.

Tuntasnya, mahu atau tidak, isu pembinaan struktur kuil yang didirikan di atas tanah yang bukan milik pemilik kuil harus ditangani dengan iltizam politik yang kukuh.

Kerajaan harus bersama-sama dengan lunas undang-undang dan menguruskan isu seperti ini di masa hadapan dengan berpandukan undang-undang dan moral.

Ia tidak boleh dibiarkan merebak menjadi virus yang boleh membawa kepada pertikaian perkauman dan agama.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN