KITA sebenarnya mewarisi pelbagai revolusi sejak 200 tahun lalu ke arah kemajuan serta kepesatan ekonomi global.
Kata revolusi menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah perubahan sesebuah kerajaan, sistem politik atau sistem sosial yang dilakukan secara radikal dan kekerasan seperti rusuhan atau pemberontakan bersenjata yang boleh merujuk Revolusi Perancis (1789-1799), Revolusi Amerika (1775-1783), Revolusi Bolshevik (1917), Revolusi Turkiye Muda (1908), Revolusi China (1911-1912), Revolusi Kuba (1953-1959), Revolusi Iran (1978-1979) dan Revolusi Syria (2011).
Ia juga membawa maksud perubahan menyeluruh dan mendadak terutama dari segi cara berfikir, bertindak dan sebagainya. Ia termasuklah Revolusi Hijau iaitu gerakan untuk meningkatkan hasil tanaman negara yang sedang membangun menerusi teknologi pertanian moden dengan meneliti kesuburan tanah, penggunaan jentera, kawalan penyakit dan lain-lain.
Pernah suatu ketika, Malaysia turut meraikan revolusi mental. Ia digerakkan secara besar-besaran oleh Presiden pertama Indonesia, Soekarno (1956) agar rakyat negara itu menjadi manusia baharu yang berhati putih, bersemangat rajawali serta berjiwa ‘api’ yang menyala-nyala. Ini demi membentuk Indonesia yang cemerlang dan mendunia.
Indonesia yang ketika itu berharap dapat membangunkan jiwa rakyat yang merdeka, mengubah cara pandang masyarakat bernegara, fikiran, sikap serta budaya supaya berorientasi kepada tingkat kemajuan dan aspek modenisasi bangsa.
Di Malaysia, Tan Sri Senu Abdul Rahman, seorang pemimpin Melayu unggul dan juga merupakan duta pertama Malaya ke Indonesia, yang turut berperanan meluaskan agenda revolusi mental terhadap pemikiran Melayu khususnya dalam konteks nasionalisme dan perjuangan kemerdekaan. Rancangan Revolusi Mental (1970) dihasilkan beliau bersama-sama dengan 11 orang lagi penulis serta dibukukan oleh Datuk Ali Ahmad, Hamzah Alang, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Prof. Datuk Dr. Taib Osman.
Buku ini diterbitkan dan dicetak sebanyak 3,000 naskhah pada 1971. Penerbitan ini merupakan cara Pemuda untuk menyedarkan orang Melayu mengenai masa hadapan mereka dalam negara yang baru mencapai kemerdekaan ketika itu.
Revolusi setiap negara memiliki naratifnya tersendiri. Sebagai masyarakat Malaysia yang moden dan lahir daripada rempah-ratus sejarah yang panjang dan unik, sudah tentu paksi perpaduan serta kemampanan dan keterangkuman yang merupakan tema bagi Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN, sebagai paksi yang akan terus meletakkan rakyat Malaysia sebagai penyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran dunia dalam pelbagai bidang termasuklah pada era kini bagaimana revolusi digital sedang melanda generasi Malaysia, ASEAN dan dunia khususnya menerusi Malaysia 5.0 bersedia sebagai peneraju ekonomi digital.
JEJAK DIGITAL
Dalam era digital yang semakin berkembang, kesedaran terhadap jejak digital menjadi semakin penting. Jejak digital merujuk kepada data atau maklumat yang dihasilkan melalui interaksi seseorang di internet, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Jejak ini boleh terbahagi kepada jejak digital aktif dan pasif.
Jejak digital aktif merangkumi maklumat yang dikongsikan secara sedar oleh pengguna, seperti hantaran media sosial, komen di blog dan e-mel. Sebaliknya, jejak digital pasif adalah data yang dikumpulkan tanpa pengetahuan pengguna, termasuk alamat protokol internet (IP), lokasi geografi dan sejarah pelayaran internet.
Dalam dunia yang semakin kompetitif, jejak digital yang baik boleh memberikan kelebihan dalam membina reputasi profesional serta membuka peluang kerjaya. Sebaliknya, jejak digital yang negatif boleh menjejaskan imej seseorang dan menyukarkan mereka mendapatkan peluang pekerjaan. Oleh itu, penting bagi setiap individu untuk mengurus jejak digital mereka dengan bijak dan bertanggungjawab.
Menyedari kepentingan keselamatan dalam talian, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian serta mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan siber.
Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah lebih proaktif dengan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 yang menggariskan tiga tanggungjawab utama platform media sosial, iaitu menjamin keselamatan pengguna, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan menyekat akses kepada kandungan berbahaya. RUU ini telah diluluskan di Parlimen dan dirangka untuk menangani jenayah siber secara menyeluruh, termasuk yang melibatkan eksploitasi kanak-kanak.
Dalam menghadapi revolusi dunia digital, masyarakat perlu mempunyai kecekapan dalam memahami persekitaran, mengenali kesan interaksi dalam talian serta membangunkan keyakinan untuk menggunakan media sosial secara berhemah. Peningkatan kesedaran ini amat penting dalam membentuk masyarakat yang celik digital dan bertanggungjawab.
Kesedaran mengenai penyalahgunaan media sosial merangkumi pembangunan kecekapan digital yang melibatkan pemahaman terhadap persekitaran media sosial di mana sesuatu peristiwa berlaku, mengenal pasti kesan yang dirasakan daripada konteks media sosial terhadap pemerhati, merasionalkan pemprosesan maklumat media sosial serta mempunyai keyakinan untuk berinteraksi dengan media sosial secara bertanggungjawab (Muthuswamy & Varshika, 2023).
Tambahan pula, kepelbagaian budaya dalam penggunaan media sosial memainkan peranan penting dalam pengurusan maklumat dan komunikasi. Latar belakang budaya yang berbeza mempengaruhi cara individu berinteraksi dengan teknologi digital. Justeru, memahami perspektif pelbagai budaya dapat membantu organisasi dalam menguruskan pasukan yang lebih efektif dalam persekitaran global.
Oleh itu, semua pihak perlu proaktif bekerjasama dalam memastikan persekitaran dan budaya digital yang pintar, selamat, bertanggungjawab serta memberi manfaat kepada semua. Pantau secara berkala dan jangan kongsi maklumat privasi yang boleh mengancam keselamatan diri, keluarga serta masyarakat.
Revolusi telah melewati detiknya ke arah kemakmuran sejagat dan untuk itu, kita harus lebih berwaspada terhadap revolusi era alpha ini yang menuntut kecaknaan lebih tajam selain memiliki ilmu untuk menjadi lebih cerdas dengan digital.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).










