CADANGAN agar sejarah semua etnik di negara ini dimasukkan ke dalam buku teks sekolah rendah sebagai cara memupuk perpaduan negara supaya menjadi erat lagi utuh, sesungguhnya adalah langkah separa sahaja. Ini kerana ia sesekali tidak lengkap, yakni sekadar bersifat satu sisi yang kesannya tidak optimum.
Cadangan itu boleh dianggap tindakan spontan yang tidak pun difikirkan dengan sedalam-dalamanya. Justeru, ia tidak boleh diterima sebagai satu-satunya cara untuk memupuk perpaduan negara yang lebih baik.
Untuk perpaduan negara yang sedemikian, lebih-lebih lagi untuk dilestarikan bagi jangka panjang, kita hendaklah mengambil langkah berani untuk mencari kaedah paling afdal. Untuk ini, langkahnya hendaklah yang bersifat struktur.
Dengan ini, ia hendaklah mengambil kira susunan terbaik untuk menggerakkan perpaduan negara ke arah itu. Sehubungan struktur ini, ia tidak lain tidak bukan adalah sistem persekolahan yang terdiri daripada satu aliran sahaja.
Sebenarnya inilah sebaik-baiknya sistem untuk pendidikan. Ia bukan sahaja diamalkan oleh segenap negara di dunia. Juga ia satu-satunya sistem pendidikan yang berjaya memupuk perpaduan negara dari pelbagai sisi. Antara terpenting ialah anak bangsa mempamer jati diri kebangsaan yang bukan sahaja kental. Lebih penting lagi yang serupa pada setiap seorang tanpa kekecualian.
Ini memang pasti berlaku kerana acuannya bukan sahaja sama, juga hanya satu-satu itu sahaja. Ini dapat dilihat pada anak bangsa yang terhasil daripada sistem persekolahan satu aliran sahaja di merata tempat di seluruh dunia. Kesemua mereka mendukung jati diri kebangsaan, untuk identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Dengan kata lain, sistem pendidikan satu aliran sahajalah yang mampu melahirkan anak bangsa yang berpadu dalam mempamer dan mendukung nasionalisme negara dengan jitunya. Antara kejituan itu ialah perkongsian sejarah, kebudayaan dan bahasa yang disepakati bersama-sama.
Sistem pendidikan kita yang membenarkan pelbagai aliran, didapati tidak berjaya melahirkan anak bangsa yang kesemuanya bersekali dalam memiliki jati diri kebangsaan yang serupa. Dalam hal ini, masih terdapat warganegara yang tidak mengetahui bahasa negara dengan baik, meskipun setelah sekian lama tertubuhnya negara.
Selain ini, terdapat juga warganegara yang tidak mengetahui cara hidup etnik Melayu-Islam sebagai golongan asal selain majoriti dan dominan di bumi Melayu-Islam yang mereka datangi. Ini memberi kesan buruk kepada penghayatan kebudayaan negara yang mengangkat warisan watan sebagai tunjangnya.
Begitu juga halnya dengan sejarah negara sebagai bumi Melayu-Islam yang tidak diketahui dengan baik sehingga terdapat warganegara yang membawa naratif semu (tidak benar). Antaranya etnik Melayu-Islam bukan golongan asal, mereka juga datang ke negara ini sama seperti etnik lain, antaranya Cina.
Semua ini, yakni masalah dalam bahasa, kebudayaan dan sejarah negara, tidak dapat dinafikan berpunca daripada sistem pendidikan yang lebih banyak memecah-belahkan daripada menyatupadukan. Ia begitu kerana wujudnya pelbagai aliran di dalamnya yang sepatutnya ada satu sahaja.
Sehubungan ini, sistem persekolahan satu aliran sahaja bukan hanya setakat mampu mengangkat, juga berupaya merealisasikan satu petua penting yang sangat tinggi kimahnya (nilai) untuk perpaduan negara. Ia tidak lain tidak bukan tentang kanak-kanak yang belajar bersama-sama sewaktu kecil akan terus begitu ketika dewasa nanti. Inilah sebenarnya sebaik-baik petua untuk bersatu padu dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
Dengan ini, anak bangsa kita pasti akan bergabung sebagai satu unit untuk mempamer selain mendukung jati diri kebangsaan yang serupa. Antara yang penting ialah fasih berbahasa negara, peka kepada sensitiviti etnik Melayu-Islam dan menghayati sejarah negara sebagai bumi Melayu-Islam.
Inilah nasionalisme Malaysia yang sepatutnya ada pada setiap anak bangsa kita. Malangnya ia tidak sebegitu. Sebaliknya yang wujud ialah nasionalisme etnik masing-masing, yang kadang-kadang kuat sekali sehingga bersifat sangat cauvinis.
KEMBALI KE PANGKAL JALAN
Untuk perpaduan negara menjadi erat lagi utuh, semua pihak wajib berkorban untuk balik ke pangkal jalan setelah sesat di hujungnya. Dalam hal ini, kita harus berjiwa besar untuk mengakui sistem pendidikan yang sedia ada, tidak berjaya melahirkan anak bangsa yang betul-betul bersatu padu dalam pengertian yang sebenar-benarnya.
Ia bermakna warganegara Malaysia yang setiap seorang daripadanya, wajib memiliki identiti nasional bagi negara Malaysia dan identiti budaya bagi rakyat Malaysia yang serupa antara satu sama lain. Dengan kata lain, semua warganegara wajib berkongsi identiti nasional dan budaya yang sama. Untuk ini, ia sangat memerlukan satu acuan sahaja dan bukannya pelbagai seperti sekarang.
Sebenarnya sistem pendidikan kita mewajibkan semua institusi pendidikan kerajaan menggunakan kurikulum nasional. Namun demikian, terdapat perbezaan amat ketara pada nasionalisme Malaysia yang mahu dipupuk itu. Dengan kata lain, tidak ada perkongsian nasionalisme Malaysia yang serupa yang sama-sama diangkat oleh anak bangsa kita.
Ketiadaan ini antaranya tidak dapat disangkal disebabkan penggunaan bahasa pengantar yang berbeza. Ini kerana bahasa boleh mempengaruhi pemikiran. Ini didapati benar dalam bidang linguistik pada topik linguistik determinisme/relativisme. Ia merujuk kepada sistem sesuatu bahasa, yang boleh dengan kuatnya mempengaruhi cara manusia memahami kehidupan.
Hal ini begitu nyata kelihatan pada anak bangsa kita yang belajar dalam aliran berlainan itu. Sebaliknya ia tidak kelihatan pun pada anak bangsa di negara lain yang belajar dalam satu aliran yang sama, yakni yang menggunakan satu bahasa pengantar sahaja, lebih-lebih lagi sewaktu usia muda.
Sudah tiba masanya untuk memupuk perpaduan negara dengan lebih erat lagi utuh, khususnya dalam berkongsi identiti nasional dan budaya, bersekali nasionalisme Malaysia yang juga sama, kita wajib mempunyai sistem pendidikan satu aliran sahaja.
Dengan ini, bahasa Melayu hendak berupa bahasa pengantar tunggal. Dalam pada ini, bahasa etnik lain boleh terus wujud dalam bentuk komponen sahaja dan tidak boleh lagi dalam bentuk sekolah penuh.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










