Belia belanja berlebihan semata-mata untuk Aidilfitri?

Belia belanja berlebihan semata-mata untuk Aidilfitri?

KESEDERHANAAN lebih dihargai sama ada dari segi kewangan mahupun nilai emosi yang dikongsi bersama keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali menjelang Aidilfitri, suasana kemeriahan negara mula berubah wajah. Pusat membeli belah mula dipenuhi dengan pengunjung, jualan dalam talian meningkat dan media sosial dihujani dengan kepelbagaian warna-warni persiapan menjelang Aidilfitri.

Dalam keterujaan menyambut lebaran, wujud satu fenomena yang semakin menonjol dalam kalangan anak muda hari ini iaitu budaya konsumerisme dan materialisme yang berakar daripada pengaruh media sosial, tekanan sosial dan keinginan untuk tampil ‘sempurna’ dalam kalangan rakan sebaya.

Namun, sejauh manakah trend ini membawa manfaat atau semakin menjadi tekanan sosial?

Dalam era digital ini, Aidilfitri bukan sahaja dilihat sebagai satu perayaan, malah semakin menjadi simbol status dalam kalangan belia. Pakaian raya berjenama, telefon pintar edisi terkini, pakaian raya yang sempurna, kenderaan mewah untuk balik kampung, semuanya menjadi elemen ‘wajib’ bagi sesetengah di antara mereka demi memenuhi naratif sosial bahawa sambutan raya mestilah “nampak hebat”.

Lebih membimbangkan, ada yang sanggup berbelanja secara berlebihan, meminjam wang, malah menggunakan kad kredit hingga ke had maksimum semata-mata untuk menampung gaya hidup sementara ini.

Selain itu, salah satu pemangkin utama budaya ini ialah perbandingan sosial. Ia berlaku apabila individu menilai kehidupan mereka berdasarkan apa yang dilihat oleh mereka dalam kehidupan orang lain, terutamanya melalui media sosial.

Dalam tempoh perayaan, ramai belia antara golongan muda seperti ini berasa seronok memuat naik gambar keluarga di kediaman mewah, sajian raya yang istimewa, atau jumlah duit raya yang diterima mahupun yang ingin diberi.

Walaupun ia mungkin dilakukan sekadar berkongsi kegembiraan, ia turut memberi kesan kepada mereka yang tidak berkemampuan. Tanpa disedari, timbul rasa tidak cukup, tidak layak, dan tidak berjaya.

Hal ini secara tidak langsung telah mewujudkan perbandingan sosial dalam kalangan masyarakat sehingga boleh mencetuskan emosi negatif seperti rasa rendah diri, tekanan, dan kemurungan terutamanya dalam kalangan golongan belia yang sedang melalui proses pembentukan identiti diri.

Budaya konsumerisme yang keterlaluan bukan sahaja menjejaskan kewangan, malah turut menggugat kesejahteraan mental. Ramai antara golongan belia mengalami tekanan perasaan akibat berasa tidak berupaya untuk berada dalam kelompok rakan-rakan yang kelihatan lebih mewah. Ada juga yang mula menjauhkan diri daripada keluarga atau masyarakat kerana merasa malu dengan penampilan yang lebih sederhana.

Dalam jangka masa panjang, tekanan ini boleh mencetuskan masalah kesihatan mental seperti anxiety, tekanan serta berasa terasing daripada komuniti mereka. Lebih merisaukan, ada belia yang cuba menyembunyikan keadaan sebenar dengan memaparkan gaya hidup yang palsu di media sosial, menyebabkan mereka hidup dalam kepalsuan yang akhirnya memakan diri sendiri.

Kembali Kepada Nilai Asal Aidilfitri: Sederhana Itu Indah
Aidilfitri bukan tentang siapa paling bergaya. Ia adalah perayaan kemenangan rohani selepas sebulan menahan nafsu, masa untuk memohon maaf, mengerat silaturahim, dan menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan.

Sebagai belia yang celik teknologi dan berpendidikan, penting untuk kita mendidik diri supaya lebih bijak dan matang dalam membuat pilihan. Nilai sederhana, syukur, dan empati harus dikembalikan dalam setiap aspek perayaan.

Antara langkah yang boleh diambil oleh belia untuk kembali menghayati semangat sebenar Aidilfitri ialah dengan merancang perbelanjaan secara bijak. Aidilfitri tidak menuntut kemewahan untuk dirai dengan bermakna. Malah, dalam kebanyakan keadaan, kesederhanaan lebih dihargai sama ada dari segi kewangan mahupun nilai emosi yang dikongsi bersama keluarga.

Selain itu, belia juga perlu lebih kritikal dalam menilai kandungan yang dilihat di media sosial. Apa yang dipaparkan di media sosial tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar kehidupan seseorang. Perkongsian kandungan yang kelihatan sempurna kebarangkalian hanya mewakili sebahagian kecil daripada kehidupan sebenar yang penuh dengan cabaran.

Oleh itu, media sosial seharusnya dijadikan sumber inspirasi dan perkongsian positif, dan bukannya sebagai penentu nilai diri atau tekanan untuk menandingi orang lain.

Lebih penting lagi, belia disarankan untuk memberi keutamaan kepada nilai-nilai murni yang menjadi amalan aidilfitri. Aktiviti seperti menziarahi keluarga, menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama, membantu ibu menyediakan juadah raya, atau meluangkan masa berbual dengan adik-beradik merupakan detik-detik yang akan dikenang sepanjang hayat.

Kenangan seperti ini jauh lebih berharga berbanding barangan material seperti kasut atau beg tangan berjenama yang mungkin hanya memberi kepuasan sementara.

Budaya konsumerisme dan materialisme dalam kalangan belia sememangnya semakin mengakar, terutama ketika musim perayaan. Namun, kita masih berpeluang untuk mengubah naratif seperti ini menjadi lebih baik. Jadikan Aidilfitri satu perayaan yang kembali kepada nilai kemanusiaan dan kebersamaan. – UTUSAN

DR. Nor Azrul Mohd. Zin ialah pensyarah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN