QIRAAT ialah satu ilmu yang membincangkan tentang bacaan yang berbeza dalam sesuatu kalimah dan bacaan tersebut dinasabkan kepada imam qiraat yang membacanya.
Umum mengetahui terdapat ilmu qiraat dalam pembacaan al-Quran. Namun begitu secara mendalam ilmu ini tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat kecuali mereka yang menghafaz al-Quran dan bertalaqqi dengan guru-guru al-Quran.
Qiraat Tujuh dan Qiraat Sepuluh semuanya adalah mutawatirah dengan maksud boleh dibaca dalam solat.
Walaupun begitu sebahagian tempat hanya membenarkan bacaan Riwayat Hafs dari Imam Asim supaya tidak berlaku kekeliruan dalam masyarakat.
Qiraat yang diamalkan di negara kita dan kebanyakan dunia Islam ialah Riwayat Hafs dari Imam Asim. Di benua Afrika riwayat yang popular ialah Riwayat Warsy dan Qalun dari Imam Nafei.
Umat Islam di negara Somalia membaca al-Quran dengan Riwayat al-Duri dari Imam Abu Amru al-Basri.
Walaupun begitu, pengajian ilmu qiraat dengan keseluruhan riwayat dan imam telah berkembang pusat pengajian Quran di negara Mesir, Arab Saudi, Jordan dan lain-lain. Persoalannya, apakah semua qiraat ini diturunkan oleh Allah SWT? Perkara ini perlu dirujuk kepada bacaan Quran di zaman Nabi SAW.
Satu ketika Umar Ibn al-Khattab r.a mendengar Hisyam Ibn Hakim membaca surah Furqan dalam solat berlainan dengan bacaan yang diajar kepadanya oleh Rasulullah SAW. Umar r.a bersabar sehinggalah selepas solat, beliau bertanya kepada Hisyam siapakah yang mengajarkan kepada kamu surah ini?
Hisyam menjawab, “Rasulullah mengajarkannya kepadaku.” Umar r.a berkata, “Kamu menipu”. “Demi Allah sesungguhnya Rasulullah mengajar surah ini kepadaku.” Lalu Umar RA membawa Hisyam bertemu dengan Nabi SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mendengar lelaki ini membaca surah Furqan tidak seperti yang kamu ajar kepadaku.”
Rasulullah bersabda, “Lepaskannya wahai Umar. Baca wahai Hisyam.” Lalu Hisyam membacanya dan Rasulullah bersabda, “Begitulah al-Quran diturunkan.” Rasulullah bersabda, “Bacalah kamu wahai Umar.” Lalu Umar membacanya seperti yang Rasulullah ajar kepadanya dan sabda Nabi SAW, “Demikianlah al-Quran diturunkan.” Di akhirnya Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya al-Quran diturunkan dengan Tujuh Huruf, maka bacalah yang senang dan mudah di antaranya.” (al-Bukhari)
Makna huruf dalam hadis di atas bukan huruf hijaiyyah tetapi merujuk kepada lughah dalam bahasa arab seperti lughah Quraisy, Tamim, Huzail, Thaqif, Hawazin dan lain-lain.
Pendapat yang kuat berkaitan Tujuh Huruf ialah perubahan yang berlaku pada kalimah seperti mufrad dan jamak, muzakkar dan muannath, F’il madhi dan amr, taqdim dan ta’khir.
Objektif kepelbagaian bacaan ini adalah untuk meringan dan memudahkan umat Nabi SAW yang bertutur dengan berbagai jenis lahjah dan lughah dalam membaca al-Quran. Di samping itu ia juga adalah rahmat Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Imam Ibn al-Jazari menyatakan pendapat kebanyakan ulama sejak dahulu lagi bahawa masahif Uthmaniyyah yang dikumpulkan pada zaman Uthman Ibn Affan r.a, penulisannya mengandungi sebahagian Tujuh Huruf, juga bacaan terakhir Nabi SAW di hadapan Jibril a.s.
Masahif tersebut mengandungi perkara tersebut dan tidak ditinggalkan walau satu huruf. Seterusnya beliau menyatakan, kesahihan pendapat ini adalah jelas kerana banyak hadis dan athar yang masyhur menunjukan hal sedemikian.
Hadis ini juga menunjukkan kemuliaan al-Quran. Banyak wajah bacaan adalah satu kelebihan bukan seperti kalam manusia yang hanya mengandungi satu makna sahaja.
Khilaf dalam qiraat sebenarnya menyempurnakan lagi makna al-Quran dan tidak sesekali berlawanan makna antara qiraat. Oleh sebab itu salah satu syarat mentafsir al-Quran ialah menguasai ilmu qiraat.
Jika dilihat secara mendalam jenis khilaf dalam ilmu qiraat terbahagi kepada dua iaitu usul dan farsyu. Kedua-duanya diturunkan oleh Allah SWT.
Khilaf pada usul adalah seperti kalimah yang mempunyai huruf ya di akhir kalimah dibaca dengan fathah, imalah dan taqlil atau kalimah yang mempunyai huruf ra dibaca dengan tarqiq atau tafkhim.
Selain itu terdapat juga kalimah yang mempunyai huruf hamzah dibaca dengan tahqiq hamzah atau tashil hamzah.
Adapun ikhtilaf yang berkaitan farsyu seumpama kalimah yang dibaca dengan takhfif huruf zal dan terdapat Qurra yang membacanya dengan tasydid huruf zal. Kedua-dua khilaf sama ada usul atau farsy diturunkan oleh Jibril a.s daripada Allah SWT.
Kenapakah dinasabkan qiraat kepada imam-imam seperti qiraat Asim, qiraat Ibn Kathir dan lain-lain seolah merekalah yang mencipta qiraat tersebut? Jawapannya ialah disandarkan qiraat kepada imam adalah kerana mereka melazimi bacaan begitu dan mengajar bacaan tersebut kepada orang ramai.
Bukan mereka yang mewujudkan bacaan tersebut atau mereka menciptanya. Bacaan yang mereka ajarkan dan turunkan kepada generasi selepasnya sehinggalah sampai kepada kita hari ini adalah bacaan yang mereka ambil daripada guru-guru sebelumnya sampai sanad kepada Nabi SAW.
Mereka istiqamah dalam pengajaran dan ikhlas kepada Allah sehinggalah bacaan tersebut dinasabkan kepada mereka.
Pendapat Imam Sayuti dalam kitab Itqan menyatakan bahawa Ibn Aystah dan Ibn Abi Syaibah dari jalan Ibn Sirin berpendapat qiraat yang dibacakan Jibril a.s kepada Nabi SAW pada tahun terakhir baginda wafat adalah bacaan yang dibaca manusia pada ketika ini.
Ibn Asytah dari Ibn Sirin menyatakan bahawa, “Jibril a.s membentangkan kepada Nabi SAW setiap tahun di bulan Ramadan. Dan pada tahun Nabi wafat, dua kali dikhatamkan.” Mereka berpandangan qiraat tersebut adalah yang kita baca ketika ini.
Imam Baghawi juga menyatakan Zaid Ibn Thabit telah menyaksikan bacaan terakhir tersebut di mana ia juga diterangkan tentang ayat yang dinasakh dan ayat yang dikekalkan.
Zaid Ibn Thabit menulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dan membacanya di hadapan Nabi SAW untuk pengesahan.
Beliau juga mengajarkan bacaan tersebut kepada masyarakat ketika itu sehinggalah beliau meninggal dunia. Atas dasar itulah Abu Bakar berpegang kepada penulisan Zaid dan diikuti dengan Uthman Ibn Affan bagi menyalin mushaf.
Kesimpulannya dalam menilai mutawati qiraat ulama meletakkan tiga rukun iaitu sanad yang sahih, menepati bahasa arab dan menepati mushaf uthmaniyyah. Semua Qiraat Tujuh dan Sepuluh menepati rukun tersebut dan ia adalah wahyu yang Allah SWT turunkan kepada Nabi SAW.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia.










