Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memberitahu, tiada peruntukan dan perundangan subsidiari berhubung pendakwaan dalam kesalahan mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI).
Menurut kenyataan itu, tiada peruntukan dalam Akta Kawalan Padi Beras 1994 (Akta 522) yang membolehkan dikenakan tindakan undang-undang berhubung perbuatan itu. Justeru ramai tertanya-tanya, adakah undang-undang negara ini tidak mencukupi untuk menangani isu seperti ini kerana menurut KPKM tiada tindakan boleh diambil?
Tambahan lagi berkait isu ini dinyatakan tindakan mencampurkan beras tempatan dan import berlaku sejak 1970-an lagi selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), bukannya baru berlaku ketika pentadbiran kerajaan sekarang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dapatan itu diperoleh hasil kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal 2024. Kajian itu merumuskan tujuan campuran adalah memenuhi cita rasa pengguna tempatan serta untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran.
Beras adalah terjumlah kepada maksud barangan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 sebagaimana di bawah Seksyen 2 akta itu termasuk kapal, kapal udara, kenderaan, haiwan, tumbuhan dan hasil tanaman dan semua jenis harta alih.
Tujuan akta ini digubal untuk menggalakkan amalan perdagangan yang baik dengan melarang dagangan palsu atau mengelirukan dalam pembekalan barang-barang dan perkhidmatan.
Jika pengilang menjual beras import namun ada campuran beras tempatan dan melabelkannya sebagai beras import dan tidak menepati Seksyen 6(d), akta ini berkaitan dengan perihal dagangan.
Perihal dagangan
Tanpa menjejaskan seksyen 8, suatu perihal dagangan adalah petunjuk, sama ada secara langsung atau tidak, dan yang diberikan dengan apa-apa cara, mengenai mana-mana perkara berkenaan apa-apa barang: jenis atau nama, kuantiti, panjang, lebar, tinggi, luas, isi padu, muatan, berat, saiz atau ukuran; kaedah pembuatan, pengeluaran, pemprosesan atau pemulihan keadaan.
Perihal Kandungan pula; kelayakan bagi maksud, kekuatan, prestasi, gerak-geri, atau ketepatan; standard ketulenan barang yang dibuat daripada logam berharga; apa-apa ciri ciri fizikal atau teknologi yang tidak termasuk dalam perenggan terdahulu; tarikh habis tempoh barang; pengujian oleh mana-mana orang dan keputusannya; kualiti selain ditetapkan dalam perenggan terdahulu; kelulusan oleh mana-mana orang; tempat atau tarikh pembuatan, pengeluaran, pemprosesan atau pemulihan keadaan; orang yang membuat, mengeluarkan, memproses atau memulihkan keadaan barang. Maka ia melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta ini iaitu:
Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000; atau
Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Dalam pembekalan makanan juga penglabelan adalah penting bagi pengguna melihat apakah kandungan makanan yang dibeli.
Penglabelan yang tidak benar, mengelirukan dan tidak tepat membuatkan pengguna ditipu, dikelirukan dalam memilih makanan dan juga isu-isu keselamatan pengguna sekiranya terdapat alahan bagi memilih makanan yang salah dan terkeliru dengan label yang dibenarkan.
Dalam perkara ini, ia dikawal di bawah Akta Makanan 1983. Beras tertakluk di bawah Seksyen 2 akta ini: ‘Makanan’ meliputi setiap barang yang dikilang, dijual atau diberi gambaran untuk digunakan sebagai makanan atau minuman untuk kegunaan manusia.
Di bawah seksyen sama maksud label dinyatakan di bawah akta ini antara lain meliputi apa-apa tag, jenama, tanda, benda bergambar atau perkara perihalan lain bertulis, bercetak, berstensil, bertanda, bercat atau dicap pada apa-apa makanan atau dilekatkan pada apa-apa makanan. Sekiranya label beras terdapat maklumat palsu dan mengelirukan maka ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16.
Mana-mana orang yang menyedia, membungkus, melabel atau menjual apa-apa makanan dengan cara palsu, mengelirukan atau memperdayakan dengan sifat, jenis, nilai, bahan, kualiti, komposisi, merit atau keselamatan, ketulenan atau berat di bawah akta ini melakukan suatu kesalahan dan boleh dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Jika ada penjual membuat representasi yang mengelirukan,penipuan atau palsu dalam barangan mereka maka pihak berkuasa boleh mengambil tindakan.
Di bawah Seksyen 10 menyatakan tiada seorang pun boleh membuat representasi palsu atau mengelirukan antaranya berkenaan daripada jenis, standard, kualiti, gred, kuantiti, komposisi, gaya atau model tertentu. Dalam seksyen ini, ‘kuantiti’ termasuklah panjang, lebar, tinggi, luas, isi padu, muatan, berat dan bilangan.
Hukuman kesalahan ini adalah seperti berikut:
Jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM500,000.
Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250, 000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Jika kesalahan berterusan, pesalah hendaklah, sebagai tambahan kepada penalti di bawah subseksyen (1), boleh didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Walaupun tiada peruntukan di bawah Akta Kawalan Padi Beras 1994 (Akta 522) namun terdapat tindakan alternatif yang boleh diambil kerajaan melalui penguasaan undang-undang dalam menjaga kualiti dan kuantiti makanan terutama beras makanan ruji rakyat.
Kepentingan awam haruslah diberikan keutamaan berbanding kepentingan pengilang. Jika dibiarkan tanpa sekatan maka pengilang akan mengambil kesempatan dan rakyat menjadi mangsa kerakusan pengilang yang hanya mahu mengaut keuntungan. Seperti perumpamaan hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.











