DI tengah-tengah rimba konkrit Kuala Lumpur yang megah berdiri, tersembunyi sebuah kampung lama yang sarat dengan sejarah dan nostalgia. Kampung Baru, bak permata berharga di celah-celah gedung pencakar langit, menjadi saksi bisu perjalanan masa.
Namun, di sebalik keindahan dan keunikan itu, tanah yang seharusnya menjadi lambang kekayaan warisan bangsa, kini terbelenggu dalam simpulan permasalahan pewarisan, kekangan kewangan dan harapan yang kadangkala kelihatan mustahil.
Tanah Kampung Baru yang merupakan bumi berakar tunjang nilai dan tradisi kini diuji oleh arus pembangunan dan ketamakan manusia.
Sebagai seorang peguam yang pernah diamanahkan untuk membantu keluarga sendiri mencari jalan pembangunan, pengalaman peribadi ini membuka mata akan betapa kompleksnya isu di Kampung Baru. Setiap lot tanah membawa cerita tersendiri, setiap waris menyimpan impian yang berbeza dan setiap halangan menjadi cerminan cabaran yang dihadapi oleh ramai pemilik tanah di sini.
Di sebalik ketenangan Kampung Baru, tersembunyi liku-liku cabaran yang membelenggu impian pembangunan. Pewarisan tanah ibarat simpulan yang terikat kemas, menghalang cahaya kemajuan daripada menyinar. Tanah-tanah ini, yang diwarisi turun-temurun, terus terkunci tanpa kepastian kerana pemilik asal telah pergi tanpa sempat melengkapkan amanah.
Impian untuk melihat tanah keluarga dibangunkan menjadi mercu tanda kemajuan seringkali terbentur pada dinding ketidaksefahaman dan kekangan. Ada yang mahukan pembangunan segera, ada pula yang menuntut lebih daripada yang mampu ditawarkan. Di sebalik semua itu, cinta terhadap warisan ini tidak pernah pudar.
Pengalaman lalu mengajar pembangunan Kampung Baru bukan sekadar soal batu dan simen, tetapi soal hati, jiwa dan sejarah. Ia memerlukan pengorbanan, kesabaran dan kebijaksanaan untuk meniti jambatan antara warisan dan kemajuan. Dalam setiap cabaran, terbit keinginan untuk mencari jalan penyelesaian agar Kampung Baru terus berdiri megah, bukan sebagai simbol masa lalu, tetapi sebagai lambang masa hadapan yang gemilang.
Harga tanah yang dituntut, kadangkala setinggi langit, menjadi bayang-bayang yang menutup cahaya kemajuan. Didorong harapan menjadi jutawan segera, ada yang lupa akan nilai sebenar tanah warisan ini, bukan hanya pada ringgit dan sen, tetapi pada akar budaya yang terpahat kukuh. Janji-janji politik menambah luka, memberikan harapan yang terlalu indah, namun sering kali jauh dari realiti.
Dalam menelusuri isu pembangunan Kampung Baru, aspek perundangan tidak dapat diketepikan. Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733) menjadi instrumen penting dalam merangka masa hadapan kawasan ini. Di bawah Akta ini, pembangunan dibolehkan dengan bayaran premium nominal yang memudahkan pemilik tanah dan pemaju, sekali gus membuka peluang pembangunan berskala besar.
Tambahan pula, syarat pembangunan yang membenarkan pembinaan bangunan tinggi menjadi pemangkin untuk menjadikan Kampung Baru sebagai pusat moden yang setanding dengan kawasan lain di Kuala Lumpur, tanpa menjejaskan status tanah Rizab Melayu. Selain itu, akta tersebut membenarkan pembangunan dijalankan secara ‘en-bloc’, yang merujuk kepada penjualan kolektif sebidang tanah atau beberapa lot tanah dalam satu kawasan secara serentak.
Konsep ini membolehkan pembangunan semula dilaksanakan tanpa perlu mendapat persetujuan setiap pemilik tanah secara individu. Di Singapura, model ini berjaya mentransformasikan kawasan lama menjadi pembangunan moden melalui Akta Penjualan Tanah Kolektif, yang hanya memerlukan persetujuan majoriti yakni sekitar 80 peratus pemilik.
Namun, di Kampung Baru, pelaksanaan model ‘en bloc’ jauh lebih mencabar. Kampung Baru yang berstatus tanah Rizab Melayu diuruskan di bawah Akta 733 memberikan kuasa kepada Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) untuk menyelaras dan memajukan kawasan ini. PKB berperanan juga sebagai pemudah cara dalam menguruskan persetujuan pemilik tanah, menawarkan bayaran premium nominal dan memastikan pembangunan mengekalkan status Rizab Melayu.
Cabaran utama adalah pewarisan tanah yang kompleks dengan terlalu ramai waris, kekangan kewangan pemilik untuk melantik peguam serta tuntutan harga yang tidak realistik. PKB diberi kuasa untuk membantu menguruskan halangan ini, tetapi memerlukan kerjasama penuh pemilik tanah.
Berbanding Singapura yang mempunyai sistem pentadbiran tanah lebih tersusun, Kampung Baru memerlukan pendekatan holistik dengan kerangka undang-undang yang jelas, insentif yang menarik dan komitmen semua pihak. Dalam kekusutan yang melingkari Kampung Baru, masih ada sinar harapan yang mampu menerangi jalan ke hadapan.
TIDAK MUSTAHIL
Penyelesaian bukanlah satu mimpi yang mustahil, tetapi memerlukan satu usaha kolektif, keikhlasan dan kesungguhan. Pusat sehenti pentadbiran tanah perlu diwujudkan, menjadi pelita kepada waris-waris yang hilang arah dalam birokrasi.
Penilaian hartanah yang profesional harus dilaksanakan bagi memastikan setiap inci tanah dinilaikan dengan adil dan saksama. Insentif pembangunan pula menjadi daya tarik kepada pemilik tanah. Rundingan terbuka perlu dianjurkan bagi mencapai muafakat dan akhirnya kerjasama erat dengan badan-badan seperti PKB dan agensi kerajaan harus dianyam setiap benangnya agar disusun rapi membentuk corak pembangunan yang indah dan bermakna.
Pembangunan Kampung Baru bukan sekadar soal bangunan tinggi atau pulangan lumayan, ia adalah soal jiwa, soal warisan dan soal masa hadapan. Jika langkah-langkah ini diambil dengan penuh hikmah dan keikhlasan, Kampung Baru akan terus berdiri megah, bukan hanya sebagai monumen kenangan, tetapi sebagai simbol kemajuan yang berakar pada warisan Melayu yang abadi.-UTUSAN
PENULIS adalah seorang peguamcara dan peguambela yang beramal di Kuala Lumpur serta anak jati Kampung Baru.










