TAHUN 2025 merupakan tahun penting bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menentukan hala tuju pendidikan negara untuk fasa seterusnya melalui pelan pendidikan baharu 2026-2036 yang dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
Ia disejajarkan dengan set kurikulum baharu sebagai panduan penyampaian ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran untuk membentuk hampir 5 juta murid secara kompetitif dan komprehensif di 10,233 sekolah seluruh negara.
Di samping hasrat kerajaan mewajibkan pendidikan sekolah menengah melalui penggubalan undang-undang, KPM tetap akan meneruskan kaedah pendidikan secara holistik melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tanpa menoleh lagi ke belakang iaitu bukan lagi berasaskan peperiksaan dan pencapaian ranking semata-mata.
Ketua Pengarah Pendidikan, AZMAN ADNAN berkongsi fokus KPM khususnya pada tahun 2025 di bawah enam asas reformasi pendidikan negara dengan lapan perkara yang tidak boleh dikompromi. Ikuti wawancara bekas guru Bahasa Melayu itu bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bersama jurugambar, FAIZ ALIF ZUBIR.
SEDIA SAMBUT MURID SEKOLAH
MINGGUAN MALAYSIA: Apa tumpuan Kementerian Pendidikan (KPM) sempena sesi persekolahan baharu tahun ini?
AZMAN: Terdapat 10,233 sekolah di seluruh negara dalam proses memastikan kesiapsiagaan dan persiapan untuk membuka sesi persekolahan. Maka, KPM memastikan kemudahan asas seperti kerusi, meja, buku teks, jadual waktu diurus dengan baik dan Insya-Allah, hari ini dan esok (16 dan 17 Februari 2025) mengikut sesi kalendar akademik, kami harap tiada isu berbangkit berkaitan kesediaan pihak sekolah memulakan sesi persekolahan.
Lagipun, KPM sudah membuat pelbagai sesi libat urus di semua peringkat seperti Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua sekolah.
TIADA PDP MINGGU PERTAMA
Mekanisme pelaksanaan sesi persekolahan tahun ini bagaimana?
KPM masih lagi menggunakan pendekatan sama dengan tahun lalu, yang mana minggu pertama tidak bermula dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran.
Tetapi, ia akan diisi dengan pelbagai aktiviti yang matlamatnya menarik minat murid hadir ke sekolah, menyesuaikan diri dengan ekosistem pendidikan khususnya murid Tahun 1 yang baru masuk ke sekolah rendah begitu juga murid yang baru masuk ke Tingkatan 1 di sekolah menengah.
Banyak program akan diisi pihak sekolah melibatkan murid dan pihak berkepentingan. Jika ada aktiviti berkaitan psikomotor melibatkan agensi lain, maka, mereka dijemput ke sekolah. Paling penting, murid nampak sekolah ini tempat menarik dan menyuntik semangat hadir pada hari seterusnya.
Minggu kedua dan seterusnya pula?
Selepas minggu pertama selesai, barulah kami memulakan proses PdP kerana sudah tiada ‘gangguan’ dari segi tempoh masa untuk kami melengkapkan kurikulum sekolah sepanjang tahun.
Paling penting, bagaimana setiap aktiviti bersifat menyeronokkan dan murid bersedia dari aspek emosi dan sosial untuk berada di sekolah. Tidak lupa juga pengurusan sekolah sudah lengkap seperti barisan kepimpinan, proses pertukaran guru, penempatan guru baharu dan sebagainya. Insya-Allah semua diurus dengan sebaiknya.
ENROLMEN
Jumlah kemasukan murid sekolah ada peningkatan?
Jumlah keseluruhan murid yang akan berada di semua sekolah mulai hari ini dan esok hampir 5 juta. Sekolah rendah dan menengah rendah melibatkan 2.8 juta, manakala sekolah menengah 2.09 juta.
Kemasukan murid di sekolah adalah bersandarkan kepada kadar kelahiran berbeza setiap tahun. Inilah yang akan menentukan jumlah kemasukan murid ke sekolah.
SEKOLAH BAHARU
Berapa banyak sekolah baharu yang akan dibuka tahun ini?
Bermula esok, ada dua sekolah baharu akan dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, Hulu Langat dan SK Denai Alam. Pun begitu, banyak lagi sekolah baharu akan dibuka sepanjang tahun ini.
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)
Ramai pihak yang masih membantah kaedah KPM menggunakan kaedah penilaian berdasarkan PBD?
Kena faham, dalam sistem pentaksiran terdiri daripada dua sifat iaitu akademik dan bukan akademik kerana kami mahu menggilap murid secara seimbang dari aspek emosi, rohani dan intelek.
Jika sistem dahulu hanya berlandaskan sistem peperiksaan sahaja, yang mana seseorang boleh menguasai silibus dan dibuktikan melalui jawapan kertas peperiksaan dan akhirnya memperoleh gred A+. Kita perlu memperlihatkan keseimbangan dalam pentaksiran.
Pentaksiran dilaksanakan secara berterusan dalam bilik darjah dan mekanismenya pelbagai seperti lisan, tulisan, projek, kerja rumah dan sebagainya. Di sinilah kami boleh nilai dan lakukan penambahbaikan kepada kemahiran murid sepanjang tahun. Tetapi, kami tidak kesampingkan peperiksaan kerana di dalam PBD juga ada ujian akhir sesi akademik.
Pentaksiran bukan bersifat akademik pula berkaitan Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum (PAJSK) yang mana ada ujian SEGAK (Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan) dan BMI (indikasi bagi mengetahui berat badan ideal berdasarkan ketinggian) untuk menjadikan murid lebih cergas.
Jika tidak, kami syor supaya mereka terlibat dengan aktiviti melibatkan psikomotor selain kegiatan luar bilik darjah dalam penyertaan mereka seperti pertandingan berbahas, pidato, unit beruniform dan lain-lain. Maka, ia bersifat lebih holistik.
SEKOLAH SATU SESI
Bagaimana persediaan pelaksanaan sekolah satu sesi menjelang 2030? Bilik darjah cukup atau sekolah masih berdepan isu sesak?
Sekolah di seluruh negara sebanyak 10,233 dan sekolah dua sesi ada 1,238, manakala satu sesi pula 8,995. Maknanya, tumpuan dalam tempoh lima tahun ini pada 1,238. Banyak faktor mengapa sekolah terlibat masih dalam dua sesi kerana berkait dengan pertumbuhan di kawasan sekitar.
Contohnya, di Pasir Gudang, Kulai, Cyberjaya dan Seri Kembangan yang mana sekolahnya padat. Maka, sukar menjalankan persekolahan satu sesi.
Pendekatan kami adalah membina sekolah baharu, namun, mengambil masa tiga tahun untuk siap. Tetapi, ada juga perancangan jangka pendek dengan membuat kabin yang selesa yang boleh tahan selama 15 tahun dan bina bangunan baharu untuk kurangkan kesesakan. Sepanjang lima tahun ini, ada 261 sekolah dalam pembinaan bangunan tambahan dan 103 sekolah baharu sedang dibina.
Mampukah dicapai?
Insya-Allah. Banyak lagi inisiatif lain untuk atasi sekolah padat dan kami sentiasa berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pastikan perancangan perumahan mereka laksana selari dengan perancangan kami.
REFORMASI PENDIDIKAN
Apa fokus KPM tahun ini?
KPM masih tumpu kepada reformasi dan penambahbaikan yang kami laksana iaitu berkaitan prasekolah, intervensi untuk memperkukuh kurikulum pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital dan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Kesemua ini bertujuan supaya reformasinya bersifat lebih progresif dan tahun ini juga ada lapan perkara yang tidak boleh kami kompromi dalam usaha mereformasikan sistem pendidikan.
Apakah lapan perkara itu?
Isu keciciran yang terbahagi kepada dua keadaan iaitu murid yang keluar daripada sistem pendidikan dan keciciran pembelajaran melibatkan literasi, numerasi di sekolah peringkat rendah sehingga menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran sampai ke Tingkatan 5 dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain itu, berkaitan kepimpinan pendidikan madani yang mana asas kepada semua sekolah ialah pengetua dan guru besar. Maka, kami akan memperkukuh kedua-dua kedudukan ini melalui latihan bersesuaian melalui agensi berkaitan seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Razak School of Government.
Tahun ini, kami mendapat peruntukan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghantar guru di peringkat daerah dan negeri untuk mengikuti kursus kepimpinan di luar negara.
Kami juga menekankan kepada peningkatan profesional semua guru dalam pendidikan digital seperti kecerdasan buatan (AI). Kami mahu guru kompeten dalam aspek ini.
Selanjutnya adalah reformasi sekolah yang mana kami melihat sekolah melalui tiga kategori iaitu sekolah yang 100 peratus perlu dibantu untuk dipertingkat, sekolah aspirasi yang memang ada kekuatan, tetapi pegun dan sekolah inspirasi iaitu mereka yang sudah berada pada tahap yang boleh diberi autonomi untuk menjaga sendiri dan menjadi pemboleh ubah kepada sekolah lain.
Tidak lupa juga berkaitan pengukuhan literasi dan numerasi yang mana kami akan teruskan saringan awal seperti tahun lalu kepada murid Tahun 1 dan memulihkan mereka. Kami juga terus utamakan kesejahteraan guru yang menjadi penentu kepada segalanya dan cara memperkukuh generasi madani dalam kalangan murid.
Jadi, kami mahu murid faham dengan prinsip generasi madani yang bersifat universal dan pemahaman terhadap Rukun Negara.
Ada pelbagai aktiviti seperti program 60 Minit, Kem Generasi Madani dan alumni yang akan membantu melatih murid lain dan memperkukuh ekosistem melalui peranan mereka. Di akhirnya, kami harap hampir 5 juta murid sekolah akan menjadi generasi madani.
Akhir sekali, berkaitan pentaksiran antarabangsa yang mana kami komited menyertai semua pentaksiran antarabangsa seperti Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM), Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.
Walaupun negara lain sudah mula tidak mengikuti pentaksiran ini, namun, kami bukan melihat kepada pencapaian murid semata-mata, tetapi, daripada penyertaan dan keputusan murid ini yang akan membantu kami melihat sistem dan komponen mana yang perlu ditambah baik.
KUASAI 3M
Berapa ramai murid yang masih belum menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira)?
Seramai 122,000 murid tidak menguasainya, namun selepas tiga bulan kami melakukan intervensi, seramai 48,000 yang melepasinya dan akan buat lagi intervensi kepada mereka yang tidak berjaya.
Sekarang, kami sudah melihat data berkaitan murid yang masih belum kuasai 3M dan kami akan perkukuh sebab ada juga kes mereka tidak lepas kerana isu berkaitan pembelajaran dan selepas diuji, kami akan masukkan dalam kelas pendidikan khas.
Ada program khusus untuk 3M?
Ya, kami ada Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) merupakan sokongan pengajaran sekolah untuk murid Tahun 2 dan ke atas kerana ada sebahagian daripada kelompok ini yang belum menguasai 3M. Penglibatannya bukan murid sahaja, tetapi, guru dan ibu bapa.
KECICIRAN
Adakah adil meletakkan murid sebagai keciciran pembelajaran sedangkan dasar pendidikan masih belum mewajibkan prasekolah? Adakah lebih adil jika murid tercicir dikategorikan selepas Tahun 4?
Benar, tetapi ada baik dan buruknya. Kalau dikatakan keciciran mesti bermula Tahun 4, namun, murid pula adalah pelbagai kelompok malah ada yang berprestasi tinggi yang mana umur tiga dan empat tahun sudah boleh membaca dan ada lambat membaca.
Jadi, bagi saya tiada isu kerana yang kami nilai adalah kemahiran asas dalam membaca seperti mengenal abjad, susun suku kata, bina ayat mudah, boleh menggunakan pensil dengan betul. Ini semua untuk peringkat Tahun 1 dan selepas itu, barulah kami meningkatkannya menggunakan Kaedah Ansur Maju.
TIDAK HADIR SPM
Bagaimana dengan isu lebih 8,000 calon SPM tidak hadir semua kertas peperiksaan bertulis?
Sesiapa pun akan cakap jumlah ini angka besar, tetapi, mereka ini daripada kohort 447,000 calon berdaftar.
Daripada lebih 8,000 tidak hadir ini, 6,000 calon adalah calon sekolah dan 2,000 calon persendirian. 6,000 calon ini yang tumpuan kami. Menteri pendidikan pun banyak kali sebut punca mereka tidak hadir yang antaranya bekerja, gaya hidup, sakit, meninggal dunia dan sebagainya.
Namun, KPM akan cuba sedaya upaya pastikan murid tidak terjebak dan jadikannya keutamaan dalam hidup. Mereka perlu hadir ke sekolah, dapat kemahiran dan ini yang menjadi senjata untuk mereka teruskan kehidupan.
Sebab itu, banyak inisiatif kami laksana untuk tangani isu keciciran seperti berjumpa ibu bapa, ziarah, bantuan dan banyak lagi namun tetap ada sebahagian mereka tidak hadir ke sekolah. Tetapi, masyarakat sudah mula lihat keperluan membantu KPM menangani isu ini kerana kami tidak boleh melakukannya sendiri. Jika ibu bapa tidak melihat sebagai keutamaan, bermasalahlah.
PELAN PENDIDIKAN BAHARU
Apa tumpuan Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 akan menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang akan berakhir tahun ini?
Seawal dua tahun lalu kami sudah memulakan kerja rintis melihat pelan yang menjadi kesinambungan pelan terdahulu.
Kami melihat dari segi keberkesanan pelan pembangunan pendidikan yang sedia ada, laksana pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, perbincangan berfokus dengan pelbagai kumpulan berkaitan segmen yang perlu untuk memastikan pelan ini signifikan dengan keperluan negara.
Sekarang pelannya masih berjalan dan banyak sesi libat urus, perbincangan dan sudah memperoleh banyak input. Insya-Allah, pada sukuan keempat nanti, kami akan lancarkan pelan baharu. – Mingguan Malaysia










