KPM ambil langkah tangani isu keselamatan, kesihatan mental pelajar - Utusan Malaysia

KPM ambil langkah tangani isu keselamatan, kesihatan mental pelajar

FADHLINA Sidek (tengah) bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan bergambar bersama guru SJKT pada Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot Madani dan Program Kalvi Madani di SJKT Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewajibkan semua pentadbir sekolah menambah baik dan melaksanakan garis panduan pengurusan sekolah selamat dan polisi perlindungan murid tanpa sebarang kompromi susulan insiden pelajar jatuh dari bangunan sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek selain itu berkata, intervensi melalui saringan kesihatan mental pelajar juga akan turut diaksanakan.

“Fakta berbeza untuk setiap kes yang berlaku. Tetapi, kita telah ambil langkah drastik dan melihat keseluruhan isu ini. Isu kesihatan mental juga menjadi keutamaan kita ketika ini.

“Pengupayaan kaunselor-kaunselor sekolah juga kita beri perhatian dan jika ada tanda-tanda ini (masalah psikologi), kaunselor sekolah mesti membuat intervensi dengan segera,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden pelajar jatuh bangunan sehingga menyebabkan kematian yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini, termasuk kes terbaharu yang berlaku di Ipoh, Perak, semalam.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot Madani dan Program Kalvi Madani Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Jalan Yahya Awal di sini, hari ini.

Menurut Fadhlina, semua pentadbir sekolah diingatkan untuk meningkatkan tahap keselamatan di peringkat sekolah, khususnya keselamatan pelajar.

“Ibu bapa diminta untuk bersama mendukung isu kesihatan mental dengan memerhati keadaan anak-anak dan mengambil langkah intervensi bagi memastikan isu ini sentiasa diberikan keutamaan.

“Kita komited memastikan isu-isu yang terkait dengan keselamatan ini terus diberikan keutamaan. Langkah-langkah diambil ini akan dipantau semua pihak dan komuniti terkait dengan sekolah demi memastikan keselamatan sekolah ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN