Cina Kampung di Kelantan pertahan jati diri

Cina Kampung di Kelantan pertahan jati diri

GALERI Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) menyimpan pelbagai maklumat tentang sejarah dan budaya unik komuniti Peranakan Cina Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA berpeluang menyertai hari keluarga anjuran Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) di Galeri PPCK, Tanah Merah, Kelantan pada 17 Januari lalu.

Walaupun pernah membaca beberapa buku dan artikel di jurnal mengenai komuniti ini, saya amat teruja apabila rakan penerbit, Koh Yok Hwa mengajak saya ke sana.

Sebagai permulaan, saya amat berminat untuk mengetahui konsep dan makna ‘peranakan’ yang digunakan apabila merujuk kepada komuniti berkenaan.

Ramai tidak tahu bahawa istilah itu turut merujuk individu bukan Melayu dan bukan Orang Asli yang lahir di negara ini.

Dalam kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Peranakan Cina merujuk keturunan hasil perkahwinan orang Melayu dengan orang Cina dari negara China. Manakala, Cina Peranakan merujuk kepada orang Cina yang dilahirkan di negara ini.

Kita biasa mendengar tentang komuniti Jawi Peranakan iaitu hasil kahwin campur antara orang Melayu dengan India. Huraian terperinci tentang komuniti Jawi Pekan yang turut digelar mamak dan keling boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

Dari segi istilah dalam kamus, peranakan merujuk kepada keturunan yang terhasil daripada perkahwinan orang tempatan (Melayu) pada masa dahulu dengan kaum yang datang dari negara China atau India.

Secara teori, komuniti Chetti Melaka merupakan Peranakan India kerana lelaki India pada zaman sebelum kedatangan Portugis telah berkahwin dengan wanita Melayu tempatan.

Akan tetapi, komuniti itu yang bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu lebih dikenali sebagai Chetti (bukan ceti) berbanding Peranakan India.

Komuniti Baba dan Nyonya di Melaka pula sering digelar Peranakan Cina.

Menerusi rencana di ruangan ini pada 16 Disember 2023, saya memetik hujah Teo Bak Kim dalam buku He Lan Jie Kou Xi Yang Xie (2000) yang menegaskan komuniti Baba bukan terhasil daripada perkahwinan dengan wanita Melayu tempatan.

Bagaimana pula dengan komuniti Peranakan Cina di Kelantan? Adakah mereka juga seperti Baba Nyonya di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang mengamalkan asimilasi budaya, pakaian, bahasa dan makanan orang Melayu?

Peluang berbual dengan pengerusi PPCK, Lim Kham Hong di Galeri PPCK membantu saya memahami identiti dan jati diri komuniti berkenaan secara lebih tepat.

“Kaum Cina sudah bermastautin di Kelantan sejak ratusan tahun dahulu. Pada masa itu, lelaki Cina yang datang dari China tidak berkahwin dengan wanita Melayu beragama Islam. Sebaliknya, mereka berkahwin dengan wanita keturunan Siam,” beliau menjelaskan.

Maka, ternyata konsep ‘peranakan’ ini tidak sama seperti Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Malah, Kham Hong menegaskan bahawa salah satu objektif PPCK ialah memastikan komuniti mereka mengekalkan tradisi, agama dan bahasa nenek-moyang.

Menurutnya, bahasa yang digunakan komuniti Peranakan Cina adalah gabungan kosa kata Melayu, Siam dan Hokkien. Memandangkan kaum minoriti ini tinggal di tengah masyarakat Melayu di Kelantan, maka berlaku akulturasi bahasa, budaya, pakaian, makanan dan sebagainya.

“Walaupun bergaul dengan orang Melayu dan Siam, budaya Cina dan agama Buddha yang diwarisi daripada nenek-moyang tidak pernah hilang atau ditinggalkan,” Kham Hong menegaskan.

Galeri PPCK juga membuka peluang untuk saya mengenali secara lebih mendalam aspek sejarah, budaya dan jati diri komuniti Peranakan Cina di Kelantan.

Bahan-bahan di rumah yang diubah suai menjadi sebuah galeri ini sangat lengkap dan terperinci. Dipamerkan maklumat sejarah kedatangan gelombang pertama orang Cina ke Asia Tenggara sekitar 1405 diikuti gelombang kedua mulai 1500. Penerangan dalam bahasa kebangsaan, Inggeris dan Cina memudahkan maklumat difahami semua pelawat dari dalam dan luar negara.

Saya turut berpeluang berbual panjang dengan Pengerusi MCA Kelantan, Chua Hock Kuan semasa program hari keluarga di Galeri PPCK.

“Kaum Cina di Kelantan hanya tiga peratus tetapi peranan dan sumbangan komuniti ini amat nyata dalam semua bidang. Rata-rata Peranakan Cina belajar di sekolah Cina tetapi tidak menghadapi masalah untuk menguasai bahasa kebangsaan, khususnya dialek Kelantan,” kata Hock Kuan yang sangat fasih berbahasa Melayu sepanjang perbualan kami.

Maklumat yang dipamerkan di Galeri PPCK menyebut, ada tiga kumpulan komuniti Cina di Kelantan yang dapat dibezakan dari segi sejarah dan budaya.

Pertama, Cina Kampung (Peranakan Cina Kelantan) yang paling awal berhijrah dari wilayah Fujian, China serta wujud asimilasi dan akulturasi dengan budaya orang Melayu dan Siam.

Kedua, Cina Bandar yang dipercayai datang ke Kelantan selepas British campur tangan dalam pemerintahan negeri pada 1909. Kebanyakan mereka bukan datang terus dari negara China, sebaliknya dari negeri-negeri lain di Malaya dan Singapura.

Ketiga, Cina Pulai iaitu komuniti Hakka yang terlibat dalam perlombongan emas di Kampung Pulai, Gua Musang. Secara kebetulan, saya dan Kok Hwa turut berkunjung ke Kampung Pulai sebelum ke Tanah Merah.

Hasil perbualan dengan Kham Hong dan Hock Kuan serta penulis seperti Sujata Wee Sock Yam membantu saya memahami komuniti Peranakan Cina di Kelantan secara lebih dekat.

Agak menarik bagaimana mereka dapat bercampur-gaul dengan masyarakat Melayu tanpa sebarang masalah. Malah, ramai orang Peranakan Cina terlibat dalam persembahan wayang kulit, dikir barat, menora, mak yong dan main puteri.

Namun, sebagaimana diakui dan ditegaskan rata-rata individu yang saya temui di Galeri PPCK, komuniti ini tetap berpegang teguh pada budaya, adat, amalan, agama, jati diri dan bahasa asal.

Misalnya, mereka tidak berpura-pura tidak makan daging babi. Sebaliknya,dipastikan tidak dilakukan secara terbuka di depan orang Melayu. 

Toleransi dua hala antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di Kelantan memang sudah saya saksikan sejak kali pertama berkunjung ke negeri itu pada Mac 2012.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN