SESETENGAH pihak, khususnya daripada kalangan etnik Cina menganggap isu sandwich ham dan keju itu sebagai perkara kecil. Antaranya tidak perlu pun diperbesar-besar, lebih-lebih lagi oleh etnik Melayu-Islam. Ini amat salah.
Ini kerana pihak tersebut setelah sekian lama tinggal di bumi Melayu-Islam ini masih tidak dapat, apatah berjaya, memahami pelbagai perkara utama daripada perspektif etnik Melayu-Islam sebagai tuan rumah.
Dengan kata lain, pihak ini langsung tiada, di samping tidak pun menyedari keperluan untuk berkongsi hati dan jiwa etnik Melayu-Islam dalam isu makanan ringan itu sebagaimana kejadian terbaharu, di samping beberapa yang berlaku sebelum ini.
Sehubungan ini, sensitiviti Melayu-Islam tidak pun merupakan sesuatu yang penting, apatah lagi yang teramat mustahak bagi pihak berkenaan yang turut menghuni bumi Melayu-Islam ini.
Sensitiviti ialah keadaan mudah dan cepat tersinggung terhadap sebilangan perkara yang diperkata dan dilakukan, sehingga boleh menyebabkan pihak berkenaan marah dan lain-lain yang seumpamanya.
Dalam pada ini, ia sangat penting untuk membina dan mengekalkan perhubungan sesama manusia, baik yang peribadi sifatnya mahupun yang lain-lain, termasuklah yang profesional.
Dengan adanya sensitiviti, ia bukan sahaja membolehkan kita menjadi lebih sedar tentang perasaan sendiri. Lebih penting lagi ialah terhadap pihak berkenaan.
Dengan ini, sensitiviti membolehkan kita bertindak balas secara lebih wajar. Justeru untuk mengelakkan salah faham dan yang lebih penting lagi ialah konflik, khususnya yang terbuka.
Sebenarnya sensitiviti juga adalah kebolehan kita memahami sesuatu itu dengan lebih baik untuk memproses perasaan sendiri. Dengan ini, ia sesungguhnya bukan sahaja menyumbang tetapi memperlihatkan kecerdasan pada tahap yang tinggi.
Dengan tiadanya sensitiviti dalam isu sandwich ini oleh pihak ini yang rata-ratanya datang daripada etnik Cina, ia bukan sahaja menunjukkan tiada ruangan pemahaman, logik, kesedaran, penaakulan, pembelajaran dan seumpamanya yang kesemuanya positif pada pihak ini untuk bertindak dengan lebih pintar.
Jauh lebih penting lagi ialah tiadanya pengetahuan perasaan. Ia adalah kebolehan memahami, menggunakan serta mengurus perasaan sendiri dalam pelbagai cara positif.
Antaranya termasuklah menunjukkan simpati, tidak pun empati, berkomunikasi dengan mangkus, selain mengatasi masalah dan mengelakkan konflik.
Sepatutnya yang sangat perlu diketengahkan ialah empati mendalam terhadap perasaan etnik Melayu-Islam yang amat tersinggung akibat isu sandwich.
Di samping ini, perlu juga ada kesedaran tinggi, iaitu kesediaan etnik Cina untuk mengakui kesalahan besar yang telah berlaku. Ini penting untuk menyesalinya dan bukan sesekali cuba mencari dalil, malah menegakkan benang basah.
Sebenarnya etnik Melayu-Islam di negara ini adalah kelompok yang paling bertimbang rasa, iaitu selalu sedia memaafkan, selain sangat rasional, yakni bertindak dengan logik pada setiap masa. Ini terbukti dengan tiadanya kejadian yang tidak diingini daripada mereka apabila sensitiviti Melayu-Islam dicabar.
Namun begitu, mereka juga manusia biasa yang ada had kesabarannya. Oleh itu, janganlah sesekali mencabar lagi sehingga boleh menyebabkan mereka bertindak dalam cara yang tidak boleh dijangka sesiapa pun.
Soalan penting dalam perkara ini, adakah etnik Cina begitu ‘lurus bendul’, malah ‘bebal’ sekali sehingga langsung kehilangan naluri perasaan, tidak peka dan tidak ada sebarang simpati kepada etnik Melayu-Islam.
Tindakan mereka itu merupakan kejahilan semata-mata atau sengaja tidak mahu menghormati etnik Melayu-Islam atas beberapa sebab tertentu. Antaranya prasangka kuat dan lain-lain seumpamanya yang negatif.
Oleh itu, segala peristiwa sensitiviti ini bukan sesekali kerana betul-betul jahil. Sebaliknya ia dilakukan dengan penuh pengetahuan, yakni cukup disedari akan tindak balas selain akibatnya.
Sekiranya begitu, etnik Cina sengaja mahu ‘cari pasal’, iaitu memang berniat untuk menimbulkan keadaan tidak normal yang pasti ditentang kuat etnik Melayu-Islam. Antaranya amarah yang pasti bangkit daripada etnik Melayu-Islam, selain mengganggu keharmonian yang boleh menggugat perpaduan negara yang sebenarnya rapuh.
BERUBAH
Apa-apa jua dorongannya, etnik Cina wajib berubah segera untuk menjadi sensitif, malah amat senstitif terhadap segala entiti Melayu-Islam. Ini kerana pertama-tamanya mereka tinggal di bumi Melayu-Islam.
Oleh itu, sangat penting untuk etnik Cina menjalani kehidupan di negara ini dengan mematuhi beberapa keperluan, malah kemestian. Pertamanya dengan selalu menunjukkan sensitiviti Melayu-Islam pada agama Islam, bahasa Melayu, budaya, warisan Melayu serta yang lain-lain.
Sebenarnya keperluan ini adalah fitrah wajib bagi mereka yang mendatangi sesuatu tempat baharu. Sehubungan ini, mereka harus sedia berintegrasi ke dalam struktur sosial kelompok yang didatangi.
Mereka akan dianggap baik sekiranya bersikap di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sebaliknya mereka yang ingkar untuk berintegrasi akan terus kekal dikenali sebagai pendatang, khususnya pada mentaliti mereka. Inilah yang secara umumnya kelihatan berlaku pada etnik Cina di Malaysia.
Panggilan pendatang yang sangat tidak disukai mereka sebenarnya masih relevan. Ini kerana mereka terus-terusan berkelakuan seperti orang asing, yakni bukan pun dari Malaysia, tetapi dari tanah asal lain.
Hal ini jelas sekali pada diri mereka yang didapati gagal mempamerkan jati diri kebangsaan yang kental dengan jitunya.
Antaranya termasuklah soal sensitiviti etnik Melayu-Islam. Ia sangat penting dan bukan sesekali perkara kecil. Oleh itu, ia wajib diberikan perhatian serius lagi mendesak. Dengan ini, etnik Cina hendaklah secara serius mula membina kebolehan untuk melihat selain memahami perasaan etnik Melayu-Islam.
Sebenarnya setiap insan sedikit sebanyak mempunyai kebolehan ini. Ia didapati lebih bagi sesetengah orang berbanding dengan yang lain. Apa-apa jua, ia kemahiran yang memang boleh dibina.
Oleh sebab amat kurang, malah tiada langsung pada etnik Cina Malaysia, ia wajib dibina secepat mungkin. Ia boleh dimulakan dengan sensitiviti budaya, yakni kesedaran perbezaan dan persamaan sosiobudaya antara etnik Melayu-Islam dengan etnik Cina. Ini penting agar etnik Cina setelah mengetahuinya dapat berfungsi bukan sahaja dengan baik, juga pintar di bumi Melayu-Islam ini.
Dengan ini, etnik Cina diharapkan mempunyai sensitiviti Melayu-Islam yang tinggi untuk menghormati halangan pemakanan dalam Islam, di samping yang lain-lain.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










