Perkasa maqasid syariah melalui ICT

Perkasa maqasid syariah melalui ICT

MELALUI pemerkasaan ICT, Islam akan dilihat oleh masyarakat sebagai satu agama yang pragmatik dan praktikal dan berkesesuaian untuk setiap zaman dan peradaban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAM sebagai agama yang pragmatik dan progresif mempunyai ruangan tertentu di dalam menerima sesuatu penemuan teknologi terkini untuk diguna pakai sebagai alat pemerkasaan perlaksanaan syariah Islam. Maqasid syariah merupakan satu kayu ukur justifikasi bagi setiap hukum sama ada wajib, haram, makruh, sunat, halal, dan harus di dalam Islam. Tiga komponen asas Maqasid syariah ialah Dhoruriyyaat atau kewajipan, Haajiyaat atau keperluan, dan akhir sekali adalah Tahsiniyaat atau penambahbaikan.

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) merangkumi pelbagai jenis teknologi yang memudahkan komunikasi, pemprosesan maklumat, dan pengurusan data dalam pelbagai bentuk dan format. Hasil daripada perkembangan teknologi terkini digital, terdapat pelbagai kategori teknologi ICT seperti Internet Benda (Internet of Things), Kecerdasan Buatan (AI), Realiti Maya (VR), Pengkomputeran Kuantum (Quantum Computing) dan lain-lain.

Kesemua teknologi tersebut dicipta bagi memudahkan urusan manusia sehari-hari untuk tujuan tertentu. Allah berfirman di dalam Surah Luqman (20) yang bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran”.

Teknologi merupakan satu anugerah milik Allah yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang Dia inginkan, termasuk ICT. Walau bagaimana pun, secara teorinya aplikasi ini hanya boleh dilaksanakan apabila terdapat teknologi dan infrastruktur yang dapat menyokong pelaksanaannya.

DHORURIYAAT, HAAJIYAAT DAN TAHSINIYAAT
Pengharaman jenayah membunuh adalah salah satu contoh Dhoruriyaat bagi tujuan perlindungan kepada diri. Ia satu jenayah yang dianggap dosa besar di dalam Islam. Pemerkasaan Dhoruriyaat ini dengan ICT dapat dicapai dengan penggunaan Television Litar Tertutup atau CCTV yang mempunyai keupayaan mengenal pasti profil individu berdasarkan pengkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Aplikasi yang dibangunkan untuk CCTV ini juga berkemampuan untuk mengenal pasti paten kelakuan seseorang dengan teknologi Analitik Data Besar (Big Data Analytics). Segala input yang diperolehi oleh sistem ini akan disalurkan kepada Unit Peronda Berkumpulan bagi setiap kawasan bagi tujuan pemantauan dan pencegahan.

Haajiyaat boleh diertikan sebagai kesinambungan bagi setiap hukum yang termaktub di bawah Dhoruriyaat. Oleh demikian, Islam telah mewajibkan pelaksanaan hukuman Qisas (bunuh balik) kepada pelaku kes pembunuhan seperti mana diwajibkan di dalam Surah al Baqarah (178): Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan.

Pemerkasaan Haajiyaat menggunakan ICT dapat dimanifestasikan dengan adanya satu sistem digital yang dapat memastikan pesalah dapat diadili dengan adil dan saksama tanpa wujud unsur-unsur kezaliman kerana hukuman yang menanti pelaku adalah amat berat. Sistem digital tersebut perlu didokong oleh pangkalan data DNA yang dapat mewakili setiap individu secara tepat.

Pangkalan data ini akan didokong juga oleh satu peranti khusus yang mempunyai keupayaan AI yang dapat membuat analisa kepada sesuatu kes berdasarkan kepada paten yang diproses oleh teknologi Analitik Data Besar. Peranti itu akan menganalisa segala kemungkinan pada keadaan si pelaku, tempat kejadian, dan juga segala pemboleh ubah yang mungkin wujud di dalam kes homisid tersebut.

Tahsiniyaat boleh diertikan dengan bahasa awamnya ialah satu pendekatan bagi tujuan jangka panjang untuk memastikan Dhoruriyaat dan Haajiyaat dapat dilaksanakan secara holistik dan praktikal. Ia juga merupakan penambahbaikan bagi tujuan menambah keberkesanan di dalam segala hal, praktis, amalan, rutin, hukum di bawah Dhoruriyaat dan Haajiyaat. Tahsiniyaat berperanan untuk menyediakan wacana atau dasar secara pendidikan dan tarbiah.

Sebagai contoh, di dalam kes homisid, penekanan kepada nilai kemanusiaan ditekankan di dalam Islam. Firman Allah dalam Surah al Maa’idah (32): “bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya”.

Pemerkasaan Tahsiniyaat dengan ICT boleh dilaksanakan melalui aplikasi mudah alih (mobile app) dengan peranti pintar (smart device) yang berfungsi memantau kelakuan seseorang dan memberi peringatan kepada beliau tentang akibat dari tindakan tersebut.

Teknologi digital ini akan memantau dan terus memberi peringatan sekiranya seseorang itu cuba bertindak agresif sebagai respon kepada mana insiden yang melibatkan pihak kedua. Sistem tersebut akan bertujuan untuk mengalih perasaan marah serta menghindari beliau dari melakukan jenayah yang lain seperti pergaduhan yang mungkin membawa kepada kematian.

Sebagai kesimpulan, melalui pemerkasaan ini, Islam akan dilihat oleh masyarakat bukan Islam sebagai satu agama yang pragmatik dan praktikal dan berkesesuaian untuk setiap zaman dan peradaban. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah seliaan Kulliyyah Teknologi

Maklumat dan Komunikasi (KICT) telah menggarap pendekatan kreatif ini di dalam satu kursus wajib fakulti iaitu INFO 4304: ICT and Islam.

Pelajar-pelajar kursus ini didedahkan dengan pelbagai idea untuk memperkasakan syariah Islam melalui teknologi digital dan ICT agar penggunaan ICT dapat dimanfaatkan dengan baik dan dalam masa yang sama menjadi satu medan dakwah dan pengintergrasian teknologi dan Islam. – UTUSAN

PENULIS ialah Dr. Noor Hasrul Nizan Mohammad Noor, Pensyarah, Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Kampus Gombak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN