Pengukuhan nilai H.E.M.A.T dalam pengurusan bencana

Pengukuhan nilai H.E.M.A.T dalam pengurusan bencana

NILAI H.E.M.A.T yang diperkenalkan perkhidmatan awam dilihat menawarkan panduan praktikal serta memperkukuhkan sistem pengurusan bencana yang holistik dan dinamik. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA kini memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) iaitu musim hujan utama yang sinonim membawa kepada bencana banjir khususnya di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, timur Johor, Sabah dan Sarawak. Setakat ini, sembilan negeri mengalami banjir dan lebih 150,0000 rakyat terkesan meliputi pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam menghadapi cabaran menguruskan bencana, perkhidmatan awam memainkan peranan penting dalam memastikan ia dilaksanakan dengan lancar merangkumi keseluruhan kitaran pengurusan bencana iaitu pencegahan, kesiagaan, tindak balas dan pemulihan.
Dalam hal ini, nilai-nilai pegawai awam iaitu H.E.M.A.T. (hijrah tata kelola, empati rakyat, minda pekin, apresiasi inovasi dan telus tadbiran) diperkenalkan perkhidmatan awam dilihat menawarkan panduan praktikal. Dalam masa sama untuk memperkukuhkan sistem pengurusan bencana yang holistik dan dinamik.

HIJRAH TATA KELOLA
Pengurusan bencana yang baik memerlukan penggemblengan menyeluruh daripada seluruh cabang perkhidmatan awam.

Sewaktu bencana melanda, tanggungjawab utama untuk memastikan koordinasi menyelamat dan pemberian bantuan adalah cekap. Di peringkat lapangan, ia diterajui pegawai daerah selaku pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah yang membuat keputusan-keputusan serta menyelaras tindakan semua pihak daripada sebelum, semasa dan sehingga selepas bencana.

Pegawai awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan perkhidmatan barisan hadapan yang utama dalam memastikan keselamatan nyawa dan membantu mangsa terjejas.

Koordinasi usaha menyelamat dalam membantu mangsa bencana yang terjejas melalui penggemblengan aset logistik secara bersama melancarkan segala perancangan.

Selain logistik, keterlibatan pelbagai agensi di pusat pemindahan sementara (PPS) kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berperanan memastikan kebajikan dan keperluan mangsa terpelihara.

Selain memastikan ketenteraman awam, pegawai awam sentiasa memainkan peranan menjaga keselamatan harta benda dan menyampaikan sebarang maklumat terkini kepada mangsa terjejas.

Keterlibatan masyarakat yang prihatin melalui saluran bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disambut baik selaras dengan konsep pendekatan menyeluruh (whole of nation) dengan penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) oleh PDRM.

Selepas berakhirnya bencana, proses pemulihan dan pembangunan semula adalah amat penting dan memerlukan komitmen menyeluruh segenap lapisan perkhidmatan awam.

Memaknai aspirasi Madani, Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 17 Mac 2023 memutuskan menggerakkan Pasukan Sukarelawan Pegawai Awam yang kini dikenali sebagai Skuad Ihsan Madani meliputi pelbagai kementerian, jabatan, agensi dari segenap pangkat dan jawatan.

EMPATI RAKYAT
Dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, pegawai awam harus menyelami kesukaran yang dihadapi rakyat agar penyampaian perkhidmatan menepati keperluan mangsa banjir.

Peranan pegawai awam utamanya memastikan PPS terurus dengan segala kemudahan yang memenuhi keperluan mangsa terutama golongan tertentu seperti pesakit, kurang upaya, wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta kementerian, jabatan serta agensi yang terlibat perlu memastikan bantuan seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI), pertanian bagi penanaman semula, pembaikan semula rumah dan sebagainya dilaksanakan dengan segera agar mangsa dapat memulakan kembali kehidupan seperti sebelumnya.

MINDA PEKIN
Pengamalan sifat cermat dalam menguruskan dana awam amat kritikal dalam situasi bencana bagi mengelakkan pembaziran, konflik, percanggahan dan pertindihan. Pegawai awam perlu mengoptimumkan sumber yang sedia ada untuk memberikan manfaat maksimum kepada mangsa terjejas dalam pemberian bantuan kewangan, pemulihan sosioekonomi dan sokongan psikososial bagi memastikan mereka dapat bangkit semula dengan lebih baik.

APRESIASI INOVASI
Memperkasa pengurusan bencana dengan teknologi dan pendekatan baharu amat penting. Bagi memudahkan pemantauan situasi bencana semasa, perkongsian maklumat antara agensi dan memastikan kelancaran tindak balas bencana membolehkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membangunkan papan pemuka pengurusan bencana dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan untuk memanfaatkan Sistem Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM).

Sistem yang berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) ini merupakan satu nilai tambah memanfaatkan sistem sedia ada yang dibangunkan secara dalaman. Ia sekali gus membuka ruang meneroka bidang teknologi baharu dalam mendigitalkan pengurusan bencana di seluruh negara yang berpotensi mengurangkan kos operasi.

Selain daripada itu, Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang dibangunkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tujuan pemantauan dan amaran awal banjir kini beroperasi di 33 buah lembangan sungai utama negara. Hasilnya memberi impak positif dalam memberikan amaran awal banjir kepada pelbagai pihak seperti agensi tindak balas dan penduduk. Program PRAB dibangunkan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun (2015 hingga 2025).

TELUS TADBIRAN
Umum mengetahui konsep nilai H.E.M.A.T. melengkapi aspirasi Malaysia Madani. Dalam rangka pemulihan dan pembangunan semula selepas bencana, nilai ini menepati rukun ihsan dan daya cipta.

Penerapan nilai H.E.M.A.T. melalui tiga prinsip iaitu memudahkan, menyesuaikan dan menyegerakan merupakan pegangan sesuai dengan kerangka pembangunan semula yang mendukung nilai inovasi dan efisien ke arah kemapanan pembangunan semula infrastruktur baharu dengan penggunaan teknologi terkini seperti teknologi hijau serta pendekatan mesra alam.

Malaysia Madani turut menekankan nilai kemanusiaan dan kebersamaan. Dalam konteks pengurusan bencana, perkhidmatan awam bertindak sebagai penggerak utama dengan memastikan tiada komuniti yang ketinggalan.

Dalam hal ini, pegawai awam bertanggungjawab mendidik masyarakat mengenai kesan-kesan bencana alam serta kepentingan mengurangkan risiko melalui tindakan pencegahan dan kesiagaan.

Sejak 2020 sehingga 2024, Nadma dengan kerjasama strategik pelbagai pihak telah menyantuni 146,089 peserta daripada pelbagai peringkat komuniti melalui program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang bertujuan memperkasakan rakyat agar lebih bersedia dan mampu bertindak dengan pantas dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana pada masa hadapan selaras dengan peranan mereka sebagai responden awal.

Agenda reformasi perkhidmatan awam yang didukung nilai-nilai H.E.M.A.T. dalam konteks pengurusan bencana menunjukkan komitmen sektor ini dalam membina masyarakat yang selamat, sejahtera dan mampan.-UTUSAN

TAN Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN