Pandai sahaja tidak cukup keranaperlu bersaing dengan teknologi

Pandai sahaja tidak cukup kerana perlu bersaing dengan teknologi

SEORANG pekerja, khususnya anak muda perlu meningkatkan kemahiran sedia ada atau menambah kemahiran baharu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun 2025 dijangka sebagai tahun untuk bergerak pantas dan berlari seiring dengan perkembangan dalam sains dan teknologi. Manusia kini tidak hanya bersaing sesama sendiri bagi mendapatkan tempat, bahkan terpaksa bersaing pula dengan kecerdasan buatan (AI).

Realiti ini pahit, namun terpaksa ditelan. Anak-anak muda semakin sukar mendapat pekerjaan yang setara dengan kepandaian mereka.

Satu masa dahulu, mendapat tawaran belajar di universiti dirai seisi kampung kerana tidak ramai yang mendapat peluang tersebut. Kini, belajar di peringkat tertiari menjadi satu kemestian bagi yang ingin mendapat pekerjaan dalam sektor profesional dan lain-lain. Justeru, lambakan anak-anak muda yang pandai pada masa kini menjadi pemandangan biasa.

Dengan tempat pekerjaan yang diingini terhad, masih ramai yang belum mendapat pekerjaan, terperangkap dalam pekerjaan yang tidak sepadan kemahiran atau menceburi dalam segmen pekerjaan tidak formal.

Terperangkap dalam keadaan ini, anak muda adakalanya tidak dapat memenuhi tahap gaji idaman. Lebih malang jika gaji yang diterima bukan sahaja tidak dapat menampung kos sara hidup semasa, bahkan menyebabkan mereka sukar membayar semula pembiayaan pendidikan.

PENINGKATAN GAJI, TANGANI INFLASI
Bagaimanapun, permulaan 2025 ini dilihat memberi perubahan bagi sebahagian pekerja Malaysia yang terlibat dalam peningkatan gaji. Kumpulan pekerja yang sebelum ini tertakluk kepada gaji minimum RM1,500 akan menerima gaji baharu sebanyak RM1,700 bermula 1 Februari dan 1 Ogos bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Manakala kumpulan pekerja sektor awam menikmati peningkatan gaji baharu bermula Disember 2024 menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Peningkatan gaji juga dijangka akan meningkatkan inflasi, selain daripada rancangan penstrukturan semula beberapa komoditi utama.

Bagaimanapun ia adalah satu langkah yang perlu diambil pihak kerajaan untuk meningkatkan kuasa membeli sebahagian masyarakat agar mereka dapat menikmati taraf hidup lebih baik dan menyusun semula perbelanjaan negara secara strategik.
Oleh yang demikian, sangat penting bagi masyarakat kekal membuat perbelanjaan berhemah walaupun menikmati peningkatan gaji. Elakkan daripada membuat hutang yang tidak perlu. Dalam masa sama, kekal positif untuk meneroka peluang memiliki aset seperti rumah mampu milik.

WUJUD EKONOMI ADIL
Sebenarnya, usaha untuk meningkatkan gaji tidak boleh hanya digerakkan oleh satu pihak sahaja, iaitu kerajaan melalui tindakan memperkanunkan undang-undang. Ini kerana campur tangan secara berlebihan boleh mengakibatkan suasana ekonomi yang tidak adil kepada pelbagai pihak.

Sebagai contoh, peningkatan gaji minimum tanpa langkah seiring untuk memperbetul tingkat gaji sektor pekerjaan yang lain boleh menyebabkan jurang gaji antara pekerja separuh mahir dengan pekerja berkemahiran rendah semakin mengecil.

Keadaan ini seterusnya akan menyukarkan usaha meningkatkan gaji graduan berdasarkan tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman.

Kesan yang mungkin lebih buruk ialah apabila anak muda mula merasakan tahap pendidikan tertiari tidak lagi memberikan mereka kelebihan apabila gaji permulaan tidak banyak berbeza dengan gaji minimum yang dikanunkan.

Suasana begini dikhuatiri mengakibatkan ramai anak muda enggan menyambung pelajaran kerana akan terbeban dengan kos pengajian dan gaji yang tidak setimpal. Sedangkan, pendidikan tertiari sangat penting dalam pembentukan pekerja berkemahiran tinggi yang menyokong aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Bahkan Islam menuntut ilmu kerana ia memberi kelebihan kepada manusia. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, “…nescaya Allah SWT meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat” (Surah Al-Mujadilah).

USAH MALU UBAH GAYA HIDUP
Dalam hal mereformasikan gaji, majikan dan pekerja sebenarnya mempunyai peranan masing-masing yang tersendiri. Bagi seorang pekerja, khususnya anak muda, perlu meningkatkan kemahiran sedia ada atau menambah kemahiran yang baharu.

Kemahiran yang baik dan terkini akan meningkatkan produktiviti. Produktiviti pula menjadi satu timbal balas adil kepada majikan untuk menaikkan kadar upah kepada pekerja.

Menafikan imbalan wajar kepada pekerja yang menyumbang produktiviti tinggi pula adalah satu bentuk kezaliman. Sedangkan zalim itu satu perbuatan yang dilarang dalam Islam kerana mencetuskan ketidakseimbangan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Takutlah kamu akan berbuat zalim kerana perbuatan zalim itu menyebabkan kegelapan kelak di hari kiamat” (Hadis Sahih Muslim).

Semakin ramai individu pandai dalam pasaran pekerjaan, namun tidak ramai yang berjaya mengaplikasikan ilmu dalam pekerjaan.

Takut melakukan kesilapan dan tiada motivasi untuk berkreativiti menyebabkan produktiviti pekerja hanya mendatar.

Sedangkan kepandaian yang dimiliki hendaklah dipraktikkan dalam tugasan pekerjaan.

Pepatah arab menyebut ‘ilmu tanpa amal, ibarat pohon tak berbuah’. Ini bermakna, pekerja harus berani mengambil risiko, mencadangkan buah fikiran segar dan menyuarakan pandangan dalam menyelesaikan setiap tugasan.

Walaupun menikmati peningkatan gaji, individu harus mempunyai gaya hidup yang sederhana.

Usah malu untuk mengubah gaya hidup ke arah lebih lestari dan sihat. Individu juga disaran untuk hidup pada tahap satu di bawah kemampuan kewangan yang sebenar.

Masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap gaji pekerja Malaysia khususnya anak muda sejajar dengan aspirasi sebuah negara maju.

Penetapan gaji minimum tidak menangani kos sara hidup sebenar sebaliknya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan masalah lebih mendasar.

Tahap gaji pekerja Malaysia masih rendah. Justeru usaha kerajaan ke arah reformasi gaji yang lebih baik perlu disokong semua pihak.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN