BANYAK yang diperkatakan mengenai lawatan kerja pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke London, United Kingdom (UK), dari 15 hingga 19 Januari atas jemputan rakan sejawatannya, Keir Starmer.
Paling menonjol pastilah kejayaan Malaysia menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi digital, selepas Anwar dan delegasi mengadakan beberapa siri pertemuan dengan 31 kapten industri terkemuka di UK.
Selain itu, melalui beberapa pertemuan dengan ketua-ketua syarikat, potensi eksport yang dijana dalam tempoh lima tahun akan datang pula direkodkan sebanyak RM500 juta meliputi produk peralatan dan komponen pesawat.
Bagaimanapun, satu aspek yang tidak banyak diperkatakan ialah ucapan Anwar di London School of Economics (LSE) pada 17 Januari lalu yang membuka lembaran baharu dalam wacana global tentang peranan Malaysia di tengah perubahan geopolitik dunia.
Jarang sekali seorang Perdana Menteri Malaysia diberi penghormatan untuk berucap di institusi ternama seperti LSE dan sebelum ini di beberapa institusi ternama lain seperti Universiti Azhar, Mesir, yang semuanya diiktiraf sebagai pusat pemikiran intelektual global.
Peluang ini bukan sahaja mencerminkan pengiktirafan terhadap kedudukan Anwar sebagai pemimpin berwawasan, tetapi juga meletakkan Malaysia dalam peta antarabangsa sebagai negara yang relevan berhubung wacana geopolitik dan ekonomi dunia.
Bertajuk, Keunggulan Adaptif: Strategi Global Malaysia dalam Era Ketidaktentuan, ucapan ini menggariskan intipati, harapan, implikasi dan kepentingan strategi Malaysia dalam menangani cabaran dunia yang semakin kompleks.
Dengan menyampaikan idea-idea bernas di pentas ini, Anwar mengukuhkan imejnya sebagai seorang pemimpin global yang progresif dan berprinsip.
Dalam ucapannya, Anwar mengakui dunia kini berada dalam era penuh perubahan dan ketidaktentuan, dicirikan oleh pertembungan kuasa besar dan transformasi struktur ekonomi global.
Beliau menekankan, peraturan sedia ada yang tidak adil serta disalah guna, namun terdapat peraturan yang penting untuk menjamin keamanan dan kemakmuran global yang harus dipertahankan dengan adil.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kebangkitan politik populis dan era pasca kebenaran, yang mana fakta sering kali diketepikan. Soalannya, menurut beliau, ialah sama ada demokrasi mampu berfungsi dalam konteks ini tanpa memburukkan keadaan politik kebencian dan perpecahan.
Anwar menegaskan pentingnya membangunkan modal insan melalui pendidikan, perumahan dan penjagaan kesihatan untuk mencapai masyarakat yang adil dan seimbang.
Beliau menyebut, “kekayaan negara tidak seharusnya menjadi lesen untuk kapitalisme tanpa kawalan. Sebaliknya, pentadbiran bertanggungjawab memerlukan polisi yang mengutamakan pembangunan ekonomi lestari dan kemakmuran bersama.”
Beliau juga menyeru agar dunia tidak hanya bertumpu pada persaingan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China, tetapi juga mengiktiraf peranan pemain baharu seperti Korea Selatan, India dan Brazil.
Ucapan beliau juga menekankan perlunya Malaysia mengekalkan kedudukan strategik dalam rantai bekalan global dan laluan perdagangan maritim.
Anwar berkata, Malaysia akan terus melibatkan kedua-dua AS dan China secara pragmatik, kerana ini bukan soal memilih sisi tetapi memastikan kepentingan negara terus terpelihara dalam dunia yang semakin bergejolak.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia juga bercadang memanfaatkan platform serantau seperti ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur. Untuk itu, beliau menyeru kerjasama serantau untuk menangani cabaran geopolitik, sambil menegaskan pentingnya semangat tidak berpihak.
Malaysia juga memperlihatkan kesungguhan dalam mendorong sektor teknologi tinggi. Dengan pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional, Malaysia kini menjadi salah satu pemain utama dalam rantaian bekalan global.
Anwar menyatakan, Malaysia adalah pengeksport keenam terbesar semikonduktor dunia dan berusaha meningkatkan nilai tambah dengan fokus pada aktiviti reka bentuk cip.
Anwar turut menekankan kejayaan rangka kerja Ekonomi Madani yang diperkenalkan pada 2023. Dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi lima peratus dan pelaburan asing berjumlah RM100 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, beliau menekankan usaha berterusan untuk memastikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Ucapan Anwar turut menonjolkan potensi besar dalam hubungan dua hala Malaysia-UK, khususnya melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Beliau mengalu-alukan penyertaan UK dalam CPTPP dan menyeru usaha proaktif untuk memaksimumkan manfaat perjanjian ini, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana.
Beliau menyebut, “Melalui CPTPP, kita harus mempromosikan pembangunan kapasiti dan kerjasama teknikal untuk memastikan manfaat ekonomi dirasai oleh semua lapisan masyarakat di kedua-dua negara.”
VISI JELAS
Ucapan ini memperlihatkan visi Anwar yang jelas untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain penting di pentas antarabangsa. Dengan pendekatan yang adaptif, pragmatik dan berprinsip, Malaysia berupaya menghadapi cabaran era ketidaktentuan sambil memperkukuhkan kerjasama serantau dan global.
Sebagaimana yang disimpulkan oleh beliau: “Dalam dunia yang semakin kacau bilau, ketahanan akan menjadi panduan kita dan kejelasan tujuan akan menjadi kompas kita. Malaysia akan terus teguh, berwaspada dan tidak akan menjadi mangsa permainan kuasa besar.”
Ringkasnya, ucapan Anwar ini bukan hanya menggambarkan harapan tetapi juga tanggungjawab Malaysia dalam membentuk dunia yang lebih adil, aman dan makmur. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan sejarah dan potensi, ucapan ini menggambarkan kesediaan Malaysia untuk meneroka laluan baharu ke arah masa hadapan yang cerah.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar Ialah Dekan Di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie, Universiti Utara Malaysia (UUM).










