PEPATAH Melayu ada menyebut, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Orang yang mengikut hawa nafsu akhirnya akan binasa. Begitulah yang boleh dikaitkan dengan tragedi menyayat hati melibatkan seorang lelaki orang kurang upaya mental (OKU) di Chukai, Terengganu pada 17 Januari lalu.
Dalam insiden pada pukul 9.30 pagi itu, lelaki terbabit, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman.
Insiden dipercayai berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi mangsa dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar tani terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan.
Setakat ini, tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Benarlah kata-kata hikmah Khalifah Ali Abi Talib iaitu “sabar sesaat ketika sedang marah akan menyelamatkanmu dari ribuan penyesalan”.
Islam sendiri menyatakan betapa pentingnya untuk kita mengawal marah. Rasulullah SAW dalam sabdanya berkata: Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. (Riwayat al-Bukhari).
Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran, tatkala menyifatkan beberapa ciri orang yang bertakwa. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. (ali-‘Imran: 134)
Menonton video yang viral tentang insiden itu pastinya meruntun perasaan individu yang waras akal. Sebab itu, kita memahami kesedihan dan kekecewaan isteri mangsa, Faridah Abdul Karim.
“Hancur hati saya apabila melihat video suami disepak, dipukul dan diheret serta dicurahkan mi goreng di atas kepala.
“Suami saya sudah berulang kali memohon maaf namun mereka (pelaku) tetap memukul suami saya. Sewaktu suami saya minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih kerana dicurahkan mi goreng, dia sekali lagi disepak pada bahagian kepala.
“Kenapa layan suami saya begitu, dia juga manusia seperti orang lain dan bukannya haiwan,” katanya.
Benar, Ahmad Nor Al Faizan terlanggar sebuah gerai. Tetapi adakah itu menjadi lesen atau menghalalkan beliau disepak, terajang dan diperlakukan sedemikian rupa. Adakah kesalahan yang dilakukan itu besar sangat sehingga ‘dibelasah secara berjemaah’.
Bukankah, Islam mengajar kita tabayyun atau selidik dahulu sebelum bertindak. Ini supaya tidak menyesal di kemudian hari. Lagi pun negara kita ada undang-undang. Tidak ada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang dan boleh mengambil tindakan sendiri sesuka hati. Atau dengan kata lain, mengamalkan undang-undang rimba.
Namun, semuanya sudah terlambat. Nasi sudah jadi bubur. Mereka yang terlibat, kena bertanggungjawab. Mereka mesti bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan akibat tindakan amarah melulu.
Difahamkan, keluarga lelaki OKU yang dibelasah akan menentukan tindakan susulan ke atas pelaku selepas polis menyelesaikan siasatan dan pendakwaan.
Peguam Khairul Amin Abdullah berkata, keluarga Ahmad Nor Al Faizan, ada menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan sivil terhadap pelaku, namun perbincangan secara terperinci belum dilakukan.
Tindakan sivil itu akan diambil berikutan insiden itu bukan hanya mengaibkan mangsa dan keluarga, malah kelakuan pelaku yang menyepak, memukul dan mengheret mangsa sangat tidak berperikemanusiaan.
Mengikut undang-undang Islam, kesalahan mencederakan adalah tindakan yang melukakan, mencacatkan atau menyakitkan ke atas anggota atau mana-mana bahagian badan. Ia juga dibahagikan kepada kecederaan dengan niat dan kecederaan tidak sengaja.
Hukuman bagi kecerderaan adalah qisas iaitu hukuman kecederaan ke atas anggota yang dicederakan. Hukuman ini dikenakan ke atas anggota yang mempunyai sendi-sendi dan dapat dipastikan persamaannya seperti jari-jari tangan dan kaki, mata, telinga, hidung, tangan, kaki, kemaluan lelaki dan gigi.
Bagi anggota lain, hukumannya diganti dengan diat kerana sukar untuk dipastikan persamaannya. Hukuman qisas ini dijatuhi ke atas kecederaan secara sengaja manakala diyat iaitu hukuman ganti rugi atau denda yang dikenakan sebagai ganti rugi ke atas anggota badan yang dipotong atau dilukakan oleh penjenayah.
Diat dikenakan jika pesalah melakukan kesalahan kecederaan tidak sengaja atau jika hukuman qisas tidak dapat dijalankan dengan sebab-sebab tertentu seperti penjenayah sememangnya cacat atau mangsa telah memaafkannya dari pelaksanaan qisas. Kadar diat ini ditetapkan berasaskan anggota yang dicederakan.
PESANAN NABI SAW DALAM KAWAL MARAH
Terdapat beberapa pesanan Nabi SAW titipkan kepada kita sewaktu kita sedang marah, antaranya:
- Membaca istia’zah atau ta’awuz. Mintalah perlindungan Allah daripada syaitan yang menyesatkan dengan melafazkan “Aa’uzubillahiminassyaitonirrojim” yang bermaksud “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam”.
Ini kerana syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan sesuatu perkara yang di luar fitrah manusia. Mereka akan berusaha menghasut manusia supaya melakukan perbuatan yang dimurkai Allah ketika seseorang itu dalam keadaan marah.
- Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.” (Sunan Abi Daud)
- Mengambil wuduk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwuduk.” (Sunan Abi Daud)
- Elak daripada membuat keputusan besar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.” (Sahih Muslim)
Maksud hadis ini juga tidak seharusnya disempitkan kepada bab penghakiman seorang hakim sahaja, tetapi harus terpakai dalam keadaan-keadaan lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal, terutamanya jika melibatkan urusan orang ramai.
- Diam. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.” (Al-Adab al-Mufrad: 245)
Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik kerana dalam keadaan marah, selalunya fikiran kita kurang waras. Selain itu, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.
Walaupun secara umum marah dianggap sebagai perasaan dan ekspresi negatif, dalam beberapa keadaan, rasa marah itu dibenarkan oleh syarak. Contohnya, rasa marah apabila agama Islam dihina atau marah apabila berlakunya kezaliman atau penindasan ke atas golongan yang lemah. Cuma ia perlu dikawal.-UTUSAN
MOHD. RADZI MOHD. ZIN ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










