RASUAH adalah penyakit sosial yang merosakkan institusi, melemahkan kepercayaan masyarakat dan mencemarkan nama baik negara.
Di Malaysia, usaha membanteras rasuah giat dijalankan oleh agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW). Walau bagaimanapun, melaporkan rasuah bukanlah satu tugas yang mudah. Pelbagai cabaran dihadapi oleh individu yang berani tampil ke hadapan untuk mendedahkan salah laku ini.
Artikel ini akan membincangkan cabaran utama melaporkan rasuah, kesannya kepada pemberi maklumat serta cadangan untuk memperkukuhkan sistem antirasuah di Malaysia.
Antara cabaran utama dalam melaporkan rasuah adalah:
Ketakutan terhadap reaksi balas
• Individu yang melaporkan rasuah sering berdepan ancaman, termasuk kehilangan pekerjaan, pengasingan sosial atau tindakan balas daripada pihak yang terlibat. Pengalaman pekerja yang memilih untuk melaporkan rasuah menunjukkan mereka sering difitnah, dimanipulasi atau dikhianati rakan sekerja yang pada awalnya menyokong mereka. Ketakutan ini menyebabkan ramai memilih untuk berdiam diri.
Kekurangan keyakinan terhadap sistem
• Ada juga individu yang melaporkan salah laku tetapi tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa. Rasa tidak pasti sama ada tindakan diambil atau tidak terhadap laporan mereka menyebabkan ramai hilang keyakinan kepada sistem keadilan. Mereka merasa seolah-olah usaha mereka sia-sia, sekali gus melemahkan motivasi untuk bertindak.
Normalisasi rasuah dalam budaya kerja
• Dalam sesetengah organisasi, rasuah menjadi norma yang diterima. Frasa seperti ‘kalau kita tidak bagi, orang lain akan bagi’ atau ‘pandai-pandailah hidup’ mencerminkan bagaimana budaya korupsi meresap ke dalam masyarakat. Mereka yang menentang rasuah dianggap sebagai ancaman dan sering disisihkan.
Cabaran ekonomi dan peribadi
• Melaporkan rasuah boleh membawa risiko besar kepada kehidupan ekonomi dan peribadi seseorang. Contohnya, individu yang melaporkan rasuah mungkin terpaksa mencari pekerjaan baharu dalam sektor yang juga berpotensi menghadapi masalah sama. Dalam persekitaran yang korup, mencari majikan yang benar-benar berintegriti menjadi cabaran besar.
Sebenarnya melaporkan rasuah juga mungkin boleh memberi kesan kepada pemberi maklumat, antaranya:
Tekanan psikologi dan emosi
• Pemberi maklumat sering berdepan tekanan psikologi akibat pengkhianatan, fitnah dan pengasingan sosial. Mereka mungkin merasa kesunyian apabila rakan sekerja atau pihak atasan tidak menyokong mereka.
Kehilangan Sumber Pendapatan
• Meletak jawatan untuk menjauhkan diri daripada persekitaran korup sering menjadi pilihan terakhir tetapi ia datang dengan risiko kehilangan pendapatan. Hal ini memerlukan keberanian besar, terutamanya jika seseorang mempunyai tanggungan keluarga.
Perjuangan untuk mendapatkan keadilan
• Walaupun laporan telah dibuat, banyak pemberi maklumat tidak tahu apa yang berlaku seterusnya. Ketidakpastian ini menimbulkan rasa kecewa, terutamanya apabila pihak berkuasa kelihatan lambat bertindak.
Justeru itu, beberapa cadangan untuk memperkukuhkan sistem antirasuah diharap dapat meneroka keberanian seseorang untuk melaporkan aktiviti salah laku. Diantaranya:
Memberi perlindungan kepada pemberi maklumat
• Undang-undang seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblower Protection Act 2010) perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas. SPRM dan agensi berkaitan mesti memastikan pemberi maklumat dilindungi daripada sebarang tindakan balas.
Meningkatkan keyakinan terhadap sistem
• SPRM dan badan penguatkuasa lain perlu bersikap lebih telus dalam proses siasatan dan memberikan maklum balas kepada pemberi maklumat. Ini dapat membina kepercayaan masyarakat terhadap sistem keadilan.
Pendidikan dan kesedaran
• Pendidikan antirasuah perlu diperkukuhkan di semua peringkat masyarakat, bermula dari sekolah hingga ke tempat kerja. Program seperti CODE 35 yang dianjurkan oleh MCW adalah contoh inisiatif penting untuk membina generasi yang berintegriti.
Penglibatan sektor swasta dan NGO
• Sektor swasta dan NGO perlu memainkan peranan aktif dalam mewujudkan persekitaran kerja yang bersih dan berintegriti. MCW, sebagai contoh, boleh memperluaskan jaringan kerjasama dengan organisasi lain untuk mempromosikan budaya antirasuah.
Normalisasi integriti
• Budaya integriti perlu dijadikan norma dalam masyarakat. Ini boleh dicapai melalui penguatkuasaan undang-undang, program pendidikan dan penghargaan kepada individu atau organisasi yang menunjukkan amalan terbaik dalam integriti.
Oleh itu, melaporkan rasuah adalah satu tindakan berani yang memerlukan kekuatan moral dan sokongan dari pelbagai pihak. Namun, cabaran seperti ketakutan terhadap reaksi balas, kekurangan keyakinan terhadap sistem dan normalisasi rasuah dalam budaya kerja menjadikan usaha ini sukar.
Untuk menangani cabaran ini, perlindungan kepada pemberi maklumat perlu diperkuatkan, pendidikan integriti diperkasa dan kepercayaan terhadap sistem keadilan dipulihkan.
MCW percaya setiap laporan rasuah, walaupun kecil, adalah langkah penting ke arah mewujudkan Malaysia yang bersih dan bebas rasuah.
Usaha ini bukan sahaja tentang menegakkan undang-undang, tetapi juga tentang membina masyarakat yang bermaruah dan berintegriti.
Dengan sokongan semua pihak, kita mampu mengatasi cabaran ini dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










