Jangan sampai kita jadi hamba teknologi kecerdasan buatan

Jangan sampai kita jadi hamba teknologi kecerdasan buatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang bergerak pantas, setiap hari kita mengejar waktu bagi melaksanakan segala tanggungjawab yang diberikan. Sehinggakan, ada ketikanya kita merasakan seolah-olah masa 24 jam dalam sehari itu tidak mencukupi untuk menyiapkan semua kerja.

Hidup dihimpit waktu bukanlah keadaan yang mudah. Kita harus bertindak pantas untuk kekal di hadapan. Tugas yang diamanahkan harus siap pada waktunya. Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ada kalanya kita tiada waktu lapang untuk bersantai, malah masa tidur pun terpaksa dikurangkan demi tuntutan tugas.

Mujurlah kemajuan pesat di bidang teknologi pada hari ini menjadikan kehidupan lebih mudah dan selesa. Dengan bantuan pelbagai mesin yang canggih dan berfungsi secara automatik, banyak perkara dapat dilakukan dengan lebih cepat dan efisien.

Sememangnya teknologi dicipta bagi tujuan menambah kualiti kehidupan. Hari ini, kita dapat menjimatkan masa dengan melakukan pelbagai perkara secara serentak tanpa perlu berkejar ke sana ke mari melakukan segalanya secara manual.

Umpamanya, kita boleh memasak, mencuci pakaian, mencuci pinggan mangkuk sambil menggunakan komputer untuk belajar atau bekerja dalam ruang waktu yang sama. Kesemua aktiviti tersebut pula boleh berjalan secara serentak dengan penggunaan peralatan yang bersesuaian.

Kecanggihan teknologi maklumat pada masa kini benar-benar membantu kita semua. Berbekalkan peranti dan capaian internet yang baik, kita boleh mencapai maklumat yang diperlukan dengan mudah pada bila-bila masa tanpa mengira waktu. Malah, hari ini kelas dan pekerjaan yang dilakukan secara dalam talian bukan lagi menjadi hal yang asing kepada kita semua.

Sebagai mahasiswa, bersengkang mata untuk menyiapkan kerja ialah perkara biasa. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah menghampiri ke penghujung semester seperti sekarang ini. Pada saat-saat sebegini, kita terasa ibarat memikul beban yang amat berat dan sukar melelapkan mata sebelum semua tugas dapat diselesaikan.

Pada waktu inilah kita berhadapan dengan satu demi satu tarikh akhir untuk menghantar tugasan bagi setiap mata pelajaran yang diambil. Pada masa sama, perlu membuat persediaan untuk pelbagai pembentangan dan ujian. Dan belum sempat untuk menarik nafas lega, terpaksa berhadapan pula dengan peperiksaan akhir semester.

Ini belum termasuk pelaksanaan pelbagai aktiviti luar dewan kuliah yang harus diselesaikan. Begitu juga dengan tuntutan tugas bagi kami yang melakukan kerja sambilan sama ada di dalam mahupun di luar kampus bagi menambah pengalaman di samping meringankan beban hidup.

 

TIPU DIRI
Dalam berhadapan tekanan sebegini, ada di antara kita yang cuba mencari jalan pintas supaya tidak perlu bekerja keras. Matlamat mereka hanyalah untuk menyiapkan semua tugasan dengan pantas, mudah tanpa perlu bertungkus-lumus dan bersengkang mata.

Maka, mereka menyerahkan kerja membuat tugasan kelas kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang berupaya menjana kandungan. Tidak kurang juga yang menganggap bahawa ini ialah cara kerja yang bijak dan berinovasi serta membolehkan mereka mendapat markah yang baik dengan mudah.

Sama ada cara yang digunakan itu beretika atau tidak, itu semua bukanlah persoalan besar yang harus mereka fikirkan. Malah ada yang berdebat mempertahankan cara pilihan mereka ini. Persoalannya sekarang, siapakah yang sedang belajar, kita atau AI?

Penciptaan AI penjana menjadikan tugas mencipta kandungan kini begitu mudah. Hari ini, kita boleh mengarahkan AI melakukan pelbagai perkara menggunakan perisian yang sesuai.

Daripada menulis surat kepada mencipta imej dan muzik, kesemuanya dapat dilakukan oleh AI dalam sekelip mata apabila diarahkan. Ini termasuklah menyiapkan tugasan bagi pihak diri kita. Maka, semuanya dapat disiapkan tanpa perlu bersusah payah memerah otak dan memahami topik kajian.

Adakah tidak terdetik rasa tanggungjawab dalam diri untuk menyiapkan tugasan dengan cara yang diamanahkan? Adakah tindakan melepaskan tanggungjawab kepada AI akan membantu kita mencapai matlamat menjadi insan yang berilmu? Bukankah proses pembelajaran bertujuan menjadikan kita lebih pandai dan berkebolehan?

Walau apapun alasannya, amat malang sekali apabila ada pihak yang memilih untuk menyalahgunakan AI dengan sewenang-wenangnya dalam proses pembelajaran tanpa rasa bersalah dan kesal. Malah mereka sanggup mengaku tugasan yang dihasilkan itu ialah hasil usaha sendiri.

Lebih malang lagi apabila ilmu dan proses pendidikan tidak lagi dimuliakan, malah dianggap sekadar cara untuk memenuhi syarat mendapatkan pekerjaan. Apa yang penting ialah pulangan material yang bakal diperoleh nanti.

Oleh itu, apa yang diburu hanyalah segulung ijazah dan bukannya ilmu pengetahuan. AI yang sepatutnya sekadar menjadi alat yang membantu mempermudahkan tugasan disalahgunakan tanpa mengira batas moral dan etika.

Kita harus sedar bahawa kebergantungan penuh kepada AI untuk melakukan tugasan sebenarnya hanya merugikan diri sendiri. Kita bukan setakat menipu diri sendiri tetapi gagal mendapat manfaat daripada proses pembelajaran yang diikuti.

Lagipun, sekiranya manusia tidak mempunyai kualiti yang lebih hebat daripada AI dalam sesuatu bidang, maka sudah tentu AI akan menggantikan tempat mereka di sektor pekerjaan berkaitan. Hal ini kerana selain daripada lebih efisien, penggunaan AI memerlukan perbelanjaan yang jauh lebih rendah berbanding kos menggaji manusia bagi melakukan kerja yang sama.

Proses pendidikan sepatutnya menjadikan kita semua insan-insan yang bertanggungjawab dan bukannya insan yang bersikap tidak jujur serta hipokrit. Berusahalah untuk memperkayakan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar tidak ketinggalan.

Amat malang sekali jika kebergantungan kepada AI akhirnya memakan diri sendiri dan menjadikan kita sekadar hamba AI.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×