Bila prinsip Islam dipandang remeh

Bila prinsip Islam dipandang remeh

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KADANG-KADANG saya melihat orang berani dan gagah memperdebatkan agama. Dia menyelidik suatu hukum. Kata orang hukum itu adalah haram dan menurut penyelidikannya hanyalah makruh. Sebab hanya makruh, lalu dikerjakannya! Dan kata orang satu perkara lain hukumnya wajib, menurut penyelidikannya hukum itu hanya sunnah. Oleh sebab hanya sunnah, tidak dikerjakannya lagi! Pendeknya, sejak dia pandai berhujah, agamanya ringan!” – Buya Hamka.

Polemik halal dalam makanan di pasaran kini tular kembali. Setelah berpuluh tahun Malaysia diiktiraf di serata dunia sebagai hab halal, kini timbul lagi persoalan mengenai keberkesanan sistem pensijilan yang wujud dan digunapakai di dalam negara. 

Yang menyedihkan, isu ini diwacanakan dengan penuh emotif sehinggakan ada yang meremehkan prinsip paling asas dalam agama Islam berkenaan dengan penyediaan makanan dan minum halal.

Agak dangkal bagi pelawak, pempengaruh sosial, malah politikus negara untuk meremehkan isu ini. Bahkan ada pula yang ‘bebal’ menggunakan isu ini sebagai bahan jenaka semata-mata. Apatah lagi apabila mengambil kira martabat agama Islam yang diiktiraf tinggi dalam kerangka perundangan dan pentadbiran negara.

Perlembagaan Persekutuan jelas memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan. Malah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri atau perlembagaan bagi kesemua negeri, Islam juga diangkat sebagai agama rasmi negeri-negeri seluruh Malaysia, kecuali di Sarawak.

Di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, meskipun agama-agama selain Islam boleh diamalkan namun haruslah secara aman dan damai setelah mengiktiraf kedudukan tinggi yang diberikan kepada agama Islam. 

Islam di dalam sistem pentadbiran dan perundangan di Malaysia bukan sekadar simbolik tetapi diterap sehingga ke akar umbi. Bahkan, sebarang perundangan yang digubal tidak boleh bertentangan dengan prinsip agama Islam.

Jika ada perundangan yang bercanggah daripada ajaran Islam, Yang di-Pertuan Agong dipertanggungjawabkan untuk mengharmonikan percanggahan berlandaskan sumpah  di bawah Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menyebut: ‘…Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam….’

Sumpah ini juga sejajar dengan peruntukan di bawah Perkara 3(2) yang memaktubkan peranan Yang di-Pertuan agong selaku Ketua agama Islam Wilayah Persekutuan.

Tambahan lagi, di bawah Perkara 3(5), Paduka Baginda Raja juga mendapat nasihat daripada Majlis Agama Islam dalam hal-ehwal agama Islam.

Berasaskan kerangka Perlembagaan ini, pada 1968, Persidangan Majlis Raja-Raja Malaysia  menubuhkan badan penyelaras urusan berkaitan hal ehwal Islam di Malaysia yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Di bawah MKI pula, suatu Jawatankuasa Muzakarah dibentuk bagi menimbang, memutus dan mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa, atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja.

Selaras dengan penubuhan MKI ini, suatu urus setia telah dibentuk di Jabatan Perdana Menteri yang dinamakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memainkan peranan memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam termasuklah melalui sistem pengurusan yang berteraskan nilai dan etika Islam. 

Jakim kini dikenali sebagai pakar rujuk dalam pelbagai hal khususnya dalam sistem pengesahan halal. Maka, sebarang tindakan meremehkan hal berkaitan dengan prinsip teras dalam agama Islam, bukan saja tindakan biadab yang merendahkan pentadbiran Islam tetapi juga mengkhianati peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kuasa Yang di-Pertuan Agong dan penubuhan pelbagai badan penasihat berkenaan hal ehwal agama Islam.

 

MALAYSIA SEBAGAI PAKAR RUJUK HALAL

Adakah rakyat Malaysia masih tidak faham bab-bab agama Islam setelah lebih 60 tahun negara ini terbentuk? Sedangkan pada perspektif dunia sejagat, Malaysia dipandang sebagai pakar rujuk yang unggul dalam hal pensijilan halal sehinggakan menjadi hab halal terbesar dunia, dengan nilai eksport produk halal mencecah RM35 bilion setiap tahun atau 5.1 peratus daripada jumlah eksport negara. 

Malah pada Disember 2024, Perdana Menteri memperakui kepentingan sijil halal Jakim ketika Perasmian Expo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024. Standard dan kebolehpercayaan sijil halal daripada Jakim bukan hanya menyentuh kepada kandungan bahan makanan dan minuman yang perakui tetapi juga tahap kebersihan proses yang digunakan dalam penyediaan bahan berkaitan.

Apakah kita hanya memperakui kepentingan halal apabila perakuan sijil Jakim mendatangkan keuntungan kepada negara saja? Walhal dalam urusan sehari-harian, kita memperlekehkan isu halal dan menganggap sebarang persoalan yang dibangkitkan sebagai tetek-bengek yang tidak wajar dirungkai dengan baik.

Rakyat Malaysia tidak wajar bersikap hipokrit dengan memainkan isu halal hanya apabila kena dengan sedap tekak tanpa mengambil kira natijah besar apabila ia dipolemikkan secara meluas. 

Perbahasan di peringkat kebangsaan mengenai isu hal ehwal agama Islam, termasuklah isu halal dan haram, haruslah dibincangkan dengan menghayati roh yang diserap masuk ke dalam kerangka pentadbiran dan perundangan di Malaysia.

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN