SYUKUR, kita telah melalui bersama liku-liku 2024 dengan keyakinan dan keutuhan hati yang tinggi, mendepani segala cabaran, agar dapat terus melangkah lebih bijaksana pada hari-hari yang mendatang. Selamat menjalani hari-hari yang akan menjana kebijaksanaan semua pada tahun 2025 ini. Kami yakin, akhbar kesayangan ramai ini juga sudah merancang strategi berimpak tinggi dalam menghidangkan informasi serta sumber bacaan yang kelak memperkasa literasi pembaca.
Pada era kini, bahan bacaan seperti yang diuruskan oleh Media Mulia akan dapat memperkasakan daya intelektual insan khususnya dalam meningkatkan elemen karamah insaniah. Warganegara berilmu sudah tentu akan lahir sebagai insan yang berkualiti serta berdaya saing.
Tahun ini, Malaysia Madani beranjak ke momentum seterusnya dan merupakan mekanisme holistik dan bersepadu untuk memastikan dasar serta pelaksanaan di negara ini lebih manusiawi. Formulasi lebih segar dan cerdas seperti yang dikongsikan melalui Penerapan VariaRanah
Penerapan Konsep Malaysia Madani dalam Perkhidmatan Awam 2023 amat menarik ditelitikan serta dihayati, contohnya menerusi dimensi kecerdasan kepimpinan sektor awam yang terdiri daripada empat dimensi kecerdasan iaitu kecerdasan inspirasi, kecerdasan kontekstual, kecerdasan emosi dan kecerdasan teknologi (Faizal Azmir Abd. Rashid, JuHasliza Md. Hussin dan Nornadia Omar). Kesemua ini diformulasikan agar pentadbir sektor awam dapat melaksanakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Perkhidmatan dan penjanaan pentadbiran berkesanakan melimpahkan kemakmuran ke setiap sudut termasuk keseluruhan rakyat dan negara. Pendekatan ini terus diperbaiki melalui musyawarah dan maklum balas rakyat. Tahun 2023, Malaysia turut telah disenaraikan di kedudukan kelima daripada 10 negara paling gembira di dunia berdasarkan laporan tahun keempat Projek Minda Global, Mental State of the World. Republik Dominican di tangga pertama diikuti Sri Lanka, Tanzania, Panama, Malaysia, Nigeria, Venezuela, El Salvador, Costa Rica dan Uruguay.
Banyak faktor yang menyumbangkan Malaysia dalam kedudukan ini, antaranya ialah kecaknaan masyarakat terhadap teras warisan budaya termasuklah elemen kerohanian serta kemajuan pendidikan. Penghayatan serta pembudayaan nilai murni iaitu pematuhan individupada sikap cekap menepati masa adalah perkara asas dalam melahirkan insan berkualiti.
Pengurusan masa yang cekap merupakan elemen penting dalam disiplin. Begitu juga keteraturan dan ketelitian, yang secara keseluruhannya menjurus kepada kesempurnaan dalam pekerjaan semua sektor. Selain itu, peningkatan ilmu pengetahuan yang dihubungkan dengan kearifan tempatan di institusi pendidikan tinggi (IPT) amatlah penting dan disokong kerana kedua-duanya adalah aset berharga untuk kelestarian sektor pendidikan dan peradaban bangsa.
Masyarakat dan institusi ilmu ini tidak boleh dipisahkan. Ibarat aur dengan tebing, ibarat isi dengan kuku. Secara optimis, institusi ilmu adalah nadi melahirkan sumber daya manusia pelbagai kepakaran yang turut dibangunkan serta dimajukan fungsinya sebagai wahana yang akan dapat mengoptimumkan peranannya dalam menangani serta menyelesaikan isu-isu masyarakat seperti wabak kesihatan, perubahan iklim, bencana alam, krisis tenaga, konflik sosial, atau pertembungan kognitif. Institusi ilmu tidak semata-mata bergelut dengan rencana penyelidikan atau hanya cemerlang dalam penghasilan teori sahaja, tetapi perlu menyesuaikan iltizam ilmu dengan realiti tempatan.
Malaysia menduduki tempat ke-27 dalam ekonomi paling kompetitif di dunia iaitu naik lima tangga daripada kedudukan ke-32 pada 2023. Menurut Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) IMD 2023, Malaysia menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa bidang utama iaitu dari segi harga di bawah sektor prestasi ekonomi, dasar percukaian di bawah sektor kecekapan kerajaan serta infrastruktur asas dan teknologi di bawah sektor infrastruktur.
Dalam memacu ekonomi Madani, keutamaan memperkasa rakyat adalah wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara. Aktiviti perniagaan dan perdagangan yang berteraskan keuntungan sudah tentu diimpelementasikan oleh barisan kepimpinan dan pasukan pengurusan yang melaksanakan kerja berstrategi dan sistematik yang kelak memberikan faedah kepada warga kerja dan syarikat.
Keupayaan untuk memimpin demi mencapai tujuan tertentu serta membantu orang lain mencapai matlamat yang bermakna juga amat penting. Pendekatan ini menekankan usaha untuk membina kejayaan, memperkasa individu, dan mencipta legasi yang dapat memberikan manfaat berterusan kepada perniagaan serta pelanggan. Falsafah ini menyeimbangkan fokus kepada keuntungan dengan nilai kemanusiaan, menjadikan kejayaan perniagaan lebih bermakna dan berkesan dalam jangka masa panjang.
Kepimpinan adalah penggemblengan ilmu dan bakat serta kemampuan seseorang untuk memimpin sekelompok individu seterusnya organisasi dan institusi mahupun perusahaan bagi merealisasikan visi bersama. Walaupun nampak mudah, tugas ini amat kompleks kerana manusia itu sendiri penuh keunikan. Setiap individu memiliki kemahiran, kekuatan, kelemahan, gaya komunikasi, dan pandangan yang berbeza. Maka, memimpin secara cekap memerlukan pemahaman mendalam tentang sifat manusia lainnya.
Dalam kehidupan harian, produktiviti bukan sekadar bekerja keras, tetapi bekerja secara bijak. Bagi organisasi, produktiviti merangkumi kolaborasi pasukan, persekitaran serta budaya kerja kondusif, proses kerja yang efisien, inovasi produk atau perkhidmatan, serta fokus terhadap matlamat strategik. Kesemua elemen ini menghasilkan tempat kerja yang lebih efektif dan cekap. Nilai disiplin, apabila dihayati oleh setiap rakyat, mampu melonjakkan negara ke tahap yang membanggakan.
Sementara itu, nilai amanah adalah inti kepada kejujuran dan integriti seseorang. Melaksanakan tugas dengan amanah mencerminkan kemuliaan dan ketinggian moral. Nilai ini perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem masyarakat, melibatkan setiap individu untuk membentuk budaya yang positif dan menyeluruh. Nilai-nilai murni seperti disiplin, cekap, dan amanah perlu diterapkan agar menjadi sebahagian daripada kehidupan setiap individu.
Amanah, adalah satu daripada sifat yang dimiliki oleh manusia paling berpengaruh di dunia iaitu Nabi Muhammad SAW. Sifat amanah ini yang merangkumi tanggungjawab serta kepercayaan, memainkan peranan penting dalam hubungan antara pemimpin dan pengikut. Dalam persekitaran kerja yang dibina atas asas kepercayaan, kajian mendapati produktiviti dan inovasi meningkat. Bahkan, turut menggalakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli pasukan.
Penerapan nilai-nilai murni ini bukan sahaja memperkukuh individu, tetapi juga mencipta sebuah masyarakat yang harmoni, produktif, dan sejahtera. Kami ingin mengucapkan Tahun Baharu 2025 yang membawa sinar seribu harapan untuk memperkasa dan meluaskan nilai murni dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Institut MASA
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










