SETIAP kali hujung tahun, antara yang perlu kita beri perhatian adalah kewajipan menunaikan zakat pendapatan dan juga perniagaan. Ini perlu ditekankan kerana beberapa hari lalu, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memaklumkan pihaknya berdepan cabaran besar tahun ini.
Ini apabila jumlah kutipan zakat belum mencukupi untuk menampung keperluan miskin bandar dan asnaf di Wilayah Persekutuan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, setakat ini RM1.02 bilion sudah diagih bagi membantu golongan memerlukan, yang bilangannya terus meningkat sedangkan kutipan zakat baru mencecah RM909.99 juta.
“Maknanya, dari segi agihan kini lebih tinggi daripada jumlah kutipan, tetapi MAIWP membantu 34,000 keluarga setiap bulan. Sebab itu duit zakat yang kami kutip ini belum cukup dan kami masih perlu menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam tampil menunaikan kewajipan mereka,” katanya.
Oleh itu, jangan tunggu lagi. Bagi yang belum melaksanakannya, ayuh segeralah menunaikannya. Ingatlah dalam harta yang kita perolehi itu, ada sedikit daripadanya hak orang lain yang perlu kita tunaikan.
Antara dalil kewajipan zakat pendapatan adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu. (al-Baqarah: 267)
Zakat berasal daripada perkataan Arab iaitu al-zakat yang bermaksud suci, rahmat, berkat, berkembang, subur, bertambah dan sedekah.
Adapun dari segi istilah, zakat bermaksud penyerahan yang wajib dilakukan ke atas sebahagian harta kekayaan dari sumber yang baik yang dimiliki seseorang Muslim kepada golongan yang berhak menerimanya.
Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan). Konsep al-mal al-mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan dari hasil usaha tanpa sebarang proses pertukaran (jual-beli), secara ringkasnya ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.
Para fuqaha mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Sebabnya, pendapatan adalah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan terutamanya bagi mereka yang menyandang jawatan-jawatan profesional atau peringkat tinggi dalam sesebuah organisasi. Ia juga antara aktiviti perekonomian utama pada zaman ini, apatah lagi makan gaji sudah menjadi lumrah dalam kehidupan sekarang.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 pada 7 Mei 2003 pula memutuskan asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun. Kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan.
Zakat pendapatan perlu dibayar di negeri atau tempat seseorang itu bekerja walaupun pembayar zakat itu tidak menetap di negeri tersebut.
Contoh, jika seseorang pembayar zakat itu kerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di Selangor, zakat pendapatannya hendaklah di bayar di PPZ-MAIWP.
Paling penting, kita perlu meyakini yang zakat itu bukan sahaja membersih dan menyucikan harta. Malah ia juga punca berkatnya rezeki yang kita perolehi untuk kita nafkahkan kepada isteri, anak-anak dan keluarga.
Rezeki pula membawa makna yang cukup luas. Ia bukan semata-mata benda yang boleh diukur nilainya seperti wang, gaji, pendapatan, makanan, harta dan seumpamanya. Menurut ulama tafsir yang ulung dari Mesir, Sheikh Mutawalli al-Sya’rawi, rezeki bermaksud: “Apa sahaja yang kita dapat rasakan manfaatnya, sama ada halal atau haram, sama ada baik atau buruk”.
Ini bermakna, rezeki ialah segala apa yang dikurniakan Allah yang bermanfaat baik dalam bentuk fizikal seperti gaji, pendapatan, keuntungan perniagaan, rumah, kenderaan, anak pinak dan sebagainya.
Atau pun dalam bentuk rohani seperti kesihatan, kecerdikan, ketenangan, kejayaan, kebahagiaan dan seumpamanya. Konsep rezeki tidak terbatas sekadar pendapatan atau gaji semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan pemberian Allah.
Dalam konteks keberkatan, ia membawa maksud rezeki bertambah secara tersirat. Umpamanya merasa cukup dengan pendapatan yang sederhana biarpun ada ramai anak. Itulah antara tanda keberkatan rezeki.
Keberkatan rezeki lahir hasil keyakinan, ketaatan, kepatuhan dan kehambaan manusia yang berterusan kepada Allah. Justeru, walau pekerjaan yang kecil sekalipun, kita tetap perlu menjaga keberkatannya.
Kita mesti meletakkan keutamaan dan iltizam di dalam hati iaitu mencari rezeki bukan untuk mendapat kesenangan hidup semata-mata tetapi untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat. Atas tuntutan itulah para ulama menggariskan antara adab-adab mencari rezeki yang berkat ialah memasang niat untuk bekerja kerana Allah.
Antara tanda keberkatan rezeki adalah:
Dijauhkan daripada bala. Rezeki yang berkat akan mampu menjauhkan bala bencana kerana Allah SWT sentiasa melindungi orang yang gemar mencari keberkatan dalam rezeki yang dimilikinya.
Dapat membentuk keluarga harmoni. Tanda keberkatan rezeki yang seterusnya adalah keharmonian dalam keluarga. Cuba kita perhatikan sesetengah keluarga yang mungkin hidup serba kekurangan dalam segi kewangan, namun mereka tetap aman damai dan hidup bahagia.
Menjadikan anak-anak yang cemerlang dunia dan akhirat. Wang yang banyak tidak menjamin kecemerlangan anak-anak di masa hadapan. Namun, rezeki yang berkat yang kita cari mampu menghasilkan anak-anak yang taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW serta menjadi anak yang cemerlang dalam meniti hidup di dunia dan akhirat.
Sentiasa berasa cukup dan bersyukur atas segala pemberian Allah SWT. Setiap yang kita perolehi datangnya daripada Allah SWT. Dalam mencari rezeki yang berkat kita perlu sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan segala bentuk pemberian Allah SWT tersebut.
Ancaman bagi yang enggan bayar zakat
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menjelaskan azab yang bakal diterima oleh mereka yang enggan bayar zakat.
Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya (mengeluarkan zakat) di jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih. (at-Taubah: 34)
Di antara siksaan pedih tersebut adalah tubuh orang yang tidak mahu membayar zakat akan dinyalakan dengan batu-batu dan besi yang dipanaskan di dalam neraka jahanam.
Al-Ahnaf ibn Qais berkata: “Saya pernah berada di antara kaum Quraisy. Kemudian Abu Dzar lalu dan berkata, ‘Sampaikanlah berita gembira pada orang-orang yang menyimpan hartanya (tidak mahu membayar zakat) bahawa punggung mereka akan dinyalakan hingga keluar dari lambungnya, dan tengkuk mereka dibakar hingga keluar dari dahinya’.” (Riwayat Bukhari) – UTUSAN
MOHD Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










