SEBANYAK 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan semenjak 2019 hingga 2023 di seluruh Malaysia dengan 17,646 kes pula membabitkan kelahiran anak tidak sah taraf oleh remaja yang berusia di bawah usia 18 tahun.
Jumlah ini hanya melibatkan kelahiran anak tidak sah taraf oleh remaja, namun tiada angka dibentangkan merangkumi keseluruhan bilangan anak tidak sah taraf yang dilahirkan sama ada oleh golongan remaja mahupun dewasa di seluruh negara. Data terakhir yang ditemui hanyalah melibatkan bilangan anak tidak sah taraf yang dicatatkan sepanjang 2013 hingga 2016 yang mencecah sehingga 159,725 orang.
Trend yang sama turut dicatatkan bagi kes pengesahtarafan anak di mahkamah syariah di seluruh negara yang meningkat kepada 3,365 kes semenjak lima tahun kebelakangan ini. Begitu juga statistik menunjukkan peningkatan mendadak kes permohonan kebenaran berkahwin menggunakan wali Raja disebabkan anak tidak sah taraf yang melonjak kepada 3,783 kes sepanjang 2023 berbanding hanya 274 kes bagi tahun 2022.
Walaupun jumlah tersebut semakin meningkat, namun angka berkenaan bukanlah gambaran sebenar jumlah anak tidak sah taraf kerana permohonan wali Raja hanya dipohon oleh anak perempuan yang berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan. Maksudnya ia tidak melibatkan anak yang tidak berhasrat untuk berkahwin, apatah lagi anak lelaki tidak sah taraf kerana lelaki tidak memerlukan kebenaran wali untuk bernikah.
Beberapa dekad lalu, isu kelahiran anak tidak sah taraf merupakan perkara taboo yang sangat mengaibkan kerana sebelum lahirnya anak ke dunia, pasangan lelaki dan wanita berkenaan telah terjebak melakukan perzinaan; suatu dosa besar yang terangkum dalam kesalahan jenayah syariah.
HAK ALLAH
Di Malaysia, tiada peruntukan mengenai kesalahan zina dalam Kanun Keseksaan atau undang-undang sivil. Asasnya kerana perbuatan tersebut dilakukan secara sukarela serta tidak melibatkan kewujudan mangsa. Hanya apabila perbuatan tersebut dilakukan bersama pasangan berusia di bawah 16 tahun, barulah ia terangkum dalam kesalahan jenayah. Itupun di bawah kesalahan merogol menurut seksyen 375, Kanun Keseksaan.
Berbeza dengan kesalahan jenayah sivil yang memerlukan kewujudan mangsa bagi membolehkan pelaku dihukum, namun kriteria kesalahan jenayah syariah pula terbahagi kepada empat kategori. Pertama, kesalahan jenayah yang melibatkan pelanggaran terhadap hak Allah SWT. Kedua, kesalahan jenayah yang melibatkan pelanggaran terhadap hak manusia.
Ketiga, kesalahan jenayah melibatkan pelanggaran terhadap gabungan hak Allah SWT dan hak manusia, namun pelanggaran terhadap hak Allah SWT lebih dominan, manakala kategori keempat pula melibatkan pelanggaran terhadap gabungan hak Allah SWT dan hak manusia, namun hak manusia lebih dominan.
Justeru, menurut Islam, walaupun perzinaan tidak melibatkan kewujudan mangsa, namun ia merupakan kesalahan jenayah syar’iyyah kerana melibatkan pelanggaran terhadap hak Allah SWT; di mana hukumannya telah ditentukan di dalam al-Quran dan hadis.
Menerusi ayat 2, surah al-Nisa’ seseorang penzina yang belum pernah berkahwin dikenakan hukuman 100 kali sebatan. Manakala bagi penzina yang pernah berkahwin pula, hukumannya adalah rejam berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang menyatakan bahawa suatu ketika Saidina Umar al-Khattab RHU pernah berkata:
“Sesungguhnya Allah mengutuskan Muhammad dengan kebenaran dan telah menurunkan al-Kitab. Di antara perkara yang telah diturunkan oleh Allah SWT ialah ayat rejam. Kami baca, kami pelihara dan kami faham. Apabila Rasulullah SAW merejam, kami juga akan merejam selepas ketiadaannya. Namun aku bimbang setelah berlalu masa, akan ada yang berkata: “Kami tidak jumpa ayat rejam dalam kitabullah (al-Quran)”.
Refleks kepada ketetapan Allah SWT berkenaan, maka kesalahan zina diperuntukkan menerusi seksyen 23, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] dan apabila disabitkan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam kali atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman tersebut.
Selain hukuman bagi kesalahan zina, undang-undang juga digubal bagi membendung masyarakat daripada mendekati perbuatan tersebut dengan mewujudkan peruntukan bagi kesalahan perbuatan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah (seksyen 24), khalwat (seksyen 27) dan perbuatan tidak sopan di tempat awam (seksyen 29), Akta 559.
Betapa seriusnya usaha pencegahan sehinggakan Mahkamah Tinggi Syariah di Negeri Terengganu buat pertama kalinya menjatuhkan hukuman 6 kali sebatan untuk dilaksanakan di khalayak awam kepada pesalah khalwat berulang. Keputusan ini seterusnya direstui oleh Mahkamah Rayuan Syariah dengan hukuman tersebut akan dilaksanakan pada 27 Disember 2024, sekaligus menzahirkan keseriusan institusi kehakiman dalam membendung abnormaliti moral dalam masyarakat.
IMPLIKASI
Menurut Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 menyatakan anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh saling mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.
Berkait dengan nafkah dan hak jagaan pula, seksyen 80 dan 85, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan peranan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh ibu kandung dan saudara mara ibu kandung tersebut. Walaubagaimanapun, sekiranya bapa biologi berhasrat untuk menyara anak berkenaan, permohonan boleh difailkan di mahkamah syariah.
Malah, sudah tiba masanya isu kebertanggungjawaban saraan anak tidak sah taraf dipolisikan bagi mengelakkan bapa biologi sewenangnya ‘melepaskan tangan’, menjaga kebajikan anak serta dijadikan sebagai salah satu hukuman tambahan kerana membelakangkan hukum syarak dan undang-undang.
Berkenaan larangan saling mempusakai pula, bapa biologi boleh mengambil inisiatif dengan memberikan hibah atau wasiat kepada anak berkenaan sebagai salah satu bentuk penjagaan kemaslahatan.
AGAMA & ILMU
Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi menyatakan punca berlakunya kepincangan remaja bukanlah pada pemikiran mahupun jiwa golongan tersebut. Mereka diibaratkan seperti alat pengesan yang sangat sensitif serta menerima segala macam isyarat daripada persekitaran. Dari situ, terlukislah pada diri mereka setiap input yang diserap; natijah daripada pelbagai bentuk kekacauan, kecelaruan dan kekeliruan sama ada berdasarkan pengalaman formal, bersasar atau tidak formal.
Imam Hassan al-Banna pula menyatakan asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda.
Justeru, didikan agama dan ilmu, yang disokong oleh peranan ibu bapa, keluarga, sistem pendidikan serta masyarakat merupakan asas pembentukan insan. Utamanya, generasi muda tidak boleh dibiarkan berada dalam kelompongan nilai sehingga menyebabkan lunturnya ruh beragama, mencetuskan kegalauan identiti, kebejatan akhlak dan kecurangan integriti. –UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










