KAJIAN terbaru oleh Merdeka Center, sebuah organisasi bebas yang terkenal dengan penyelidikan pendapat awam berkualiti tinggi sejak 2001, memberikan gambaran yang optimis mengenai kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta prestasi kerajaan perpaduan dan hala tuju negara sempena ulang tahun kedua pentadbiran Madani.
Dengan kadar persetujuan terhadap PM pada 54 peratus, kerajaan pada 51 peratus, dan persepsi hala tuju negara pada 39 peratus, kajian yang dijalankan dari 27 November ke-10 Disember lalu ini memberikan gambaran yang lebih positif berbanding tahun sebelumnya.
Kadar sokongan terhadap Anwar meningkat daripada 50 peratus tahun lalu kepada 54 peratus tahun ini, dipacu oleh kejayaan menarik pelaburan asing (62 peratus kepuasan), meningkatkan imej Malaysia (59 peratus), usaha menguruskan perkhidmatan awam (54 peratus) dan memperkukuhkan ekonomi rakyat (45 peratus).
Tanggapan tinggi rakyat terhadap kejayaan PM menarik pelaburan asing dan meningkatkan imej Malaysia tidak syak lagi adalah hasil daripada lawatan Anwar ke beberapa negara luar yang dikritik oleh sesetengah pihak sebelum ini. Dapatan ini menunjukkan majoriti rakyat menerima positif kunjungan Anwar ke negara-negara asing dan penglibatan beliau di peringkat antarabangsa.
Peningkatan sokongan terhadap kerajaan, daripada 46 peratus pada November 2023 kepada 51 peratus pada 2024, membuktikan usaha pentadbiran untuk menangani isu-isu utama mendapat sambutan positif rakyat. Antara pencapaian ketara termasuk:
-Menjana pertumbuhan ekonomi: Kenaikan kepuasan sebanyak 12 peratus (44 peratus pada 2024).
-Menangani isu kos sara hidup: Kenaikan lapan peratus (32 peratus pada 2024).
-Memperbaiki integriti pegawai kerajaan: Kenaikan tujuh peratus (47 peratus pada 2024).
Peningkatan ini mencerminkan dasar-dasar progresif kerajaan perpaduan, termasuk usaha melibatkan rakyat secara inklusif, memperbaiki pentadbiran dan melaksanakan dasar ekonomi yang lebih adil.
Kenaikan peratusan kepuasan ini juga adalah petunjuk penting ke atas keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan perpaduan menguruskan ekonomi negara.
Walaupun 65 peratus responden menyatakan ekonomi sebagai isu utama negara, kadar ini menurun daripada 74 peratus tahun lalu. Ketidakpuasan masih tinggi (47 peratus) disebabkan kebimbangan terhadap pemotongan subsidi dan tekanan kos sara hidup.
Dapatan kajian ini memberikan beberapa mesej yang jelas kepada Anwar dan kerajaan perpaduan.
Pertama ialah pentingnya tumpuan kepada ekonomi. Ekonomi kekal sebagai isu terpenting bagi pengundi. Kejayaan dalam menangani kos sara hidup dan menstabilkan nilai ringgit akan menjadi penentu utama kestabilan sokongan terhadap pentadbiran.
Kedua ialah pengukuhan kepercayaan awam. Peningkatan kadar sokongan terhadap usaha membanteras rasuah (menaik daripada 40 peratus tahun lalu kepada 47 peratus tahun ini) menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh integriti pentadbiran.
Ketiga ialah penyampaian naratif positif. Dengan kadar sokongan hala tuju negara meningkat sedikit (36 peratus tahun lalu berbanding 39 peratus tahun ini), kerajaan perpaduan perlu mengukuhkan naratif pembangunan dan kestabilan politik untuk menarik keyakinan rakyat.
Sokongan positif terhadap Anwar dan kerajaan memberikan peluang kepada kerajaan perpaduan untuk mengukuhkan kedudukannya, tetapi perbezaan kecil antara kepuasan dan ketidakpuasan (51 peratus berbanding 47 peratus) menunjukkan risiko politik yang masih wujud.
Ketidakstabilan politik (Tujuh peratus) dan kebimbangan terhadap pentadbiran lemah (Lapan peratus) menunjukkan keperluan untuk komunikasi lebih berkesan dan strategi jelas dalam pentadbiran.
Penurunan kebimbangan ekonomi daripada 74 peratus kepada 65 peratus adalah perkembangan positif, tetapi tekanan kos sara hidup masih menjadi cabaran utama. Penurunan ini memberikan ruang bagi kerajaan perpaduan untuk terus memperkukuhkan dasar-dasar ekonomi, seperti pelaburan asing, peningkatan peluang pekerjaan dan strategi pengurusan subsidi yang lebih efisien.
Berbeza dengan dapatan kajian Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang telah menilai prestasi kerajaan perpaduan dapatan kajian Merdeka Center lebih berwibawa kerana kajian Bersih didasarkan kepada pendapatnya sendiri sahaja sedangkan kajian Merdeka Center bersifat menyeluruh dengan mengambil pendapat semua golongan rakyat di seluruh negara.
Kajian Bersih juga lebih sempit kerana hanya tertumpu kepada tiga bidang reformasi utama, iaitu Reformasi Pilihan Raya, Reformasi Institusi dan Hak Kebebasan Sivil berbanding kajian Merdeka Center yang bersifat lebih menyeluruh dengan memberikan tumpuan kepada persepsi awam terhadap prestasi ekonomi dan kepimpinan.
Kajian Bersih juga hanya bersifat mengukur pencapaian prestasi ke atas perkara-perkara yang memerlukan masa panjang untuk dilaksanakan seperti ketidakseimbangan kawasan pilihan raya, manipulasi sempadan pilihan raya, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penginstitusian Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya serta pemansuhan atau pemindaan undang-undang represif seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Perhimpunan Aman.
Keupayaan Merdeka Center untuk menjalankan kajian yang menyeluruh dan telus melalui 1,207 responden dari pelbagai latar belakang etnik, umur dan kawasan memperkukuhkan kredibilitinya. Pendekatan yang merangkumi semua kawasan pilihan raya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, serta penggunaan bahasa pilihan responden, menjadikan dapatan ini relevan dan mewakili sentimen rakyat Malaysia.
Berbanding kajian lain seperti Bersih, dapatan Merdeka Center lebih komprehensif dan praktikal, terutama dalam menilai isu-isu yang paling dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup, pentadbiran ekonomi dan kepimpinan.
Penilaian positif terhadap kepimpinan Anwar dan kerajaan perpaduan menunjukkan kejayaan dasar-dasar yang dilaksanakan setakat ini. Namun, dengan cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup yang masih menghantui rakyat, langkah proaktif diperlukan untuk memastikan kestabilan politik dan ekonomi terus diperkukuhkan.
Kajian Merdeka Center bukan sahaja mencerminkan kejayaan pentadbiran Anwar, tetapi juga menjadi bukti penting bahawa pendekatan yang konsisten, berani dan berintegriti mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik. Dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh, masa depan Malaysia di bawah kepimpinan pentadbiran Madani kelihatan cerah dan menjanjikan. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar adalah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










