Pastikan tiada komuniti India yang terpinggir

Pastikan tiada komuniti India yang terpinggir

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
HARI ini genap setahun DATUK SERI R. RAMANAN menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu yang dianggap sebagai giant killer selepas mengekang kemaraan seorang pemimpin muda yang dicanang ‘lebih popular’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan terus bangkit bersuara dan memainkan peranan dalam isu-isu penting terutama melibatkan komuniti India.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR, Ramanan berharap lebih ramai lagi komuniti India mengambil tahu inisiatif yang dilaksanakan kerajaan agar peruntukan diterima dapat dimanfaat sepenuhnya sekali gus mencipta lebih ramai usahawan India yang berjaya.

MESEJ ANWAR UNTUK JAGA KEPENTINGAN KAUM INDIA
Mandat yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan rasa kasih dan sayang perdana menteri kepada komuniti India. Beliau menjaga kepentingan dan mengambil berat berkaitan isu-isu komuniti berkenaan.

Dari dulu lagi, sejak Anwar sebagai ketua pembangkang, beliau menyatakan dirinya sebagai bapa kepada semua komuniti. Banyak inisiatif baharu bagi komuniti India dan Cina tetapi masalahnya tiada pencapaian maklumat secara meluas. Jika kita lihat algoritma di media sosial khususnya TikTok, tidak ‘memainkan’ berita pengembangan komuniti.

Yang kita tengok, bila hentam sahaja, ia menjadi tular. Kalau kita cakap yang buruk-buruk pasal kerajaan, itu yang menjadi topik utama.

Tetapi, inisiatif-inisiatif yang bagus tidak menjadi sorotan. Kalau dilihat, media arus perdana banyak melaporkan tentang inisiatif ini tetapi ia tidak diambil oleh TikTok, Facebook dan Instagram. Ini menjadi isu yang menyebabkan wujudnya tohmahan.

ASPEK MAJUKAN MASYARAKAT INDIA
Lihatlah inisiatif-inisiatif yang dijalankan bagi komuniti India khususnya di KUSKOP. Kita menerima peruntukan tambahan sebanyak RM136 juta. Daripada jumlah itu, RM50 juta untuk program Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memanfaatkan lebih 2,600 usahawan wanita India.

Program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) Goes Big sebelum ini menerima RM30 juta di bawah pengendalian Tekun Nasional Berhad (Tekun) tetapi kali ini, ada RM30 juta tambahan lagi yang memanfaat lebih 2,000 usahawan daripada komuniti India.

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk Pembiayaan Usahawan India Bank Rakyat (Brief-i), khusus untuk usahawan India.

Terdapat juga peruntukan sebanyak RM6 juta di bawah Program Pemecutan Perniagaan untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Kami menerima lebih 20 juta permohonan. Jadi, maksudnya aspirasi, mandat dan arahan perdana menteri agar memperbanyakkan inisiatif seperti ini berjaya.

Kita juga ada beberapa inisiatif baharu yang sedang diteliti dan akan diumumkan pada masa akan datang.

PERANAN MEDIA
Media memang memainkan peranan besar, kerana itu program-program ini mendapat sambutan hebat. Kalau tidak, tiada siapa tahu kewujudan inisiatif ini.

Kerana itu kita berharap penerima manfaat mengeluarkan video promosi agar inisiatif ini diketahui lebih ramai orang dan mereka juga boleh mendapat peluang.

Saya faham, ada yang menyatakan jika mempromosikan video akan menyebabkan peluang mereka semakin tipis tetapi itu satu pemikiran yang salah.

Kalau kita lihat permohonan bagi program i-BAP, peruntukan yang diberikan sebanyak RM6 juta. Ini adalah dana guna semula yang diberikan kelulusan khas oleh Kementerian Kewangan.

Program ini menerima sambutan hangat dengan RM1.5 juta (sehingga 25 November 2024) atau 20 syarikat penerima kumpulan pertama dan 61 syarikat dalam penilaian SME Corp.

Saya lihat program ini benar-benar diperlukan, Jadi, bagi tahun depan, saya akan meminta untuk meningkatkan dana ini antara RM6 juta ke RM15 juta.

Bayangkan, kalau ia tidak dihebohkan dan tidak mendapat sambutan yang meluas, saya tidak tahu sama ada mahu meningkatkan dana, sambung atau buat program lain.

HAMPIR NOKTAH MISKIN TEGAR
Bagi saya, sudah hampir noktahkan kemiskinan. Saya tahu, masih ada kritikan yang mengatakan masih ramai orang miskin. Dalam soal ini, kita bercakap tentang golongan miskin tegar.

Ia adalah proses. Bila kita menoktahkan miskin tegar, baru kita akan cuba untuk menoktahkan kemiskinan.

Kita tidak perlu tunggu sehingga pertengahan tahun depan untuk noktahkan miskin tegar. Sebelum ini ada 70,000 hingga 80,000 miskin tegar dan menurun ke tiga digit dalam masa dua tahun. Dari situ, kita perlu pastikan mereka kekal dan dan tidak jatuh semula ke miskin tegar.

Jadi, kadang-kadang kita tidak boleh memainkan politik. Kita tidak boleh lakukan putaran politik. Semua kita mahu putar, putar, putar dan gunakan ia sebagai senjata. Tindakan itu tidak baik untuk rakyat.

GUNAKAN PENGALAMAN DI MITRA MAJUKAN KUSKOP
Apabila menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), kita berjaya menghabiskan peruntukan sebanyak RM100 juta dengan mengadakan 261 inisiatif.

Antaranya, program kesihatan, pendidikan dan kebajikan. Banyak ruang yang diberikan. Contohnya, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dron dan kenderaan elektrik (EV) dan juruteknik pesawat.

Semua program ini datang dengan jaminan pekerjaan. Habis sahaja khusus, mereka dijamin mendapat kerja dengan pendapatan minimum RM3,000. Ini bermakna boleh juga menyelesaikan masalah pengangguran dalam negara ini dalam kadar segera.

Kebanyakan juruteknik pesawat yang berjaya diwujudkan telah ‘dicuri’ oleh negara luar. Mereka memilih untuk bekerja di Abu Dhabi, Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ini bermakna ruang (peluang pekerjaan) yang diperuntukkan mereka telah kosong dan boleh diisi orang lain.

Difahamkan, pendapatan mereka dalam industri ini boleh meningkat ke RM8,000 sehingga RM12,000. Ini bermakna anda bukan menyelesaikan masalah seorang tetapi satu keluarga.

MITRA HARI INI AGAK PERLAHAN
Bukannya perlahan tetapi perdana menteri membuat keputusan mengikut keadaan semasa. Kerana itu perlu mencari struktur yang betul.

Ada beberapa program dan inisiatif yang sedang menunggu kelulusan daripada bahagian kewangan dan juga Jabatan Perdana Menteri. Ia akan berlaku secara berfasa.

Bagilah sedikit masa. Saya pasti dan yakin perdana menteri memantau setiap yang berlaku di Mitra walaupun ia merupakan perkara kecil sebab cara pengurusan Anwar adalah melalui mikro.

TUTUP SKANDAL MITRA
Kalau lihat pada 2023, semasa saya ada di Mitra, saya buat satu ketetapan yang mana semua mesyuarat perlu dihadiri oleh seorang ahli daripada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Unit Integriti.

Kita akan dapat maklum balas daripada mereka. Bermakna, kita dipantau. Dan garis panduan itu kalau kita ikut, tidak akan berdepan masalah.

Kedua, walaupun agak sensitif dan akan dihentam tetapi saya tetap dengan pendirian sebagaimana Anwar bahawa tidak perlu lagi memberi geran kepada NGO. Saya memang tidak setuju dengan cara ini.

Kalau kita bagi NGO sebanyak enam peratus daripada RM30 juta, ia bermakna RM1.8 juta. Wang itu lebih baik digunakan oleh rakyat yang memerlukan seperti golongan B40 dan ke bawah.

PROGRAM B40 MITRA SEMAKIN SUNYI
Saya menyelesaikan (peruntukan) RM100 juta melalui 261 inisiatif. Kerana itu setiap kali membuat program, saya lebih memilih untuk menyerlahkannya (uar-uarkan). Saya mahu mencipta pengiktirafan.

Mitra terpaksa dijenamakan semula. Tetapi sekarang, mungkin kepimpinan baharu, mereka ada cara tersendiri, mungkin mahu melakukannya sekali gus.

Saya yakin mereka ada cara tersendiri untuk menguruskan Mitra. Bagi saya, perkara yang paling penting ialah ia mesti sampai ke bawah (semua orang tahu).

GEMBIRA BERKHIDMAT DI SUNGAI BULOH
Dari maklum balas yang diterima, penduduk gembira kerana saya tidak mengambil gaji dan elaun sejak menjadi ahli Parlimen dan timbalan menteri. Saya telah membuat aku janji semasa bertanding PRU15 bahawa sekiranya menang, semua gaji dan elaun akan diberikan kepada rumah ibadat untuk semua kaum. Dengan dana itu, mereka boleh menjayakan program-program yang hanya khas untuk membantu rakyat B40, bukan untuk memperbaiki rumah ibadat.

Sejak setahun lalu, turut diadakan beberapa inisiatif seperti Program Jualan Madani, yang merupakan Jualan Madani termurah di seluruh negara, lagi murah daripada Jualan Rahmah.

Ia murah kerana 30 peratus dana daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan 20 peratus lagi dikeluarkan dari poket sendiri. Kerana itu, harga ayam boleh jatuh RM7 hingga RM9. Kita sudah buat lima siri di Paya Jaras dan Kota Damansara.

Selalunya jika ada program sebegini semua produk tidak kira ayam, sayur, biskut dan lain-lain akan habis dijual.

Kita juga ada Program Kembali Ke Sekolah dan program cermin mata dengan kerjasama Padiberas Nasional Berhad (Bernas). Bank Rakyat juga banyak memberi manfaat kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Sungai Buloh.

Selain itu, ada bantuan sekolah, tuisyen rakyat, bantuan pengajian awal dengan bantuan pelbagai agensi.

Kami juga membawa Karnival Tekun Madani peringkat Selangor. Baru-baru ini pula, kita laksanakan Satu Daerah Satu Industri bagi wilayah tengah.

PEMIMPIN INDIA KURANG DALAM KABINET?

Pada pendapat saya, perdana menteri mempunyai strategi tersendiri.

Kadang-kadang, kita perlu bersemuka. Kita perlu lihat apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran dan perancangan Anwar.

Bukanlah tiada langsung wakil kaum India. Kita ada Gobind Singh Deo. Kita ada tiga timbalan menteri India yang bertanggungjawab memberi sokongan dan menjalankan tugas kepada masyarakat India. Inisiatif yang dijalankan KUSKOP memberi saya keyakinan untuk melakukannya walaupun hanya sekadar timbalan menteri.

Kita juga ada beberapa pemimpin India yang menerima lantikan politik seperti Gunaraj George (ADUN Sentosa) yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Amanah Tekun, A. Kumaresan (ADUN Batu Uban) sebagai Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dan Datuk N.Gopalakrishnan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di SME Corp.

Jadi, kita lihat Anwar memberi ruang. Jika beliau tidak memberi ruang, kami tidak akan dapat melaksanakan program dan inisiatif secara besar-besaran seperti ini.

AKAN TERUS BERSUARA
Saya percaya tidak kira apa, sama ada suara masyarakat India didengari atau tidak, saya akan bersuara setiap hari. Kita ada menteri daripada kaum ini. Jadi, suara masyarakat India ada. Tetapi, kadang-kadang, ada kumpulan yang mengkritik.

Kalau esok perdana menteri lantik menteri India, masih ada kritikan. Jika tidak ada kritikan, tidak ada politik, tidak ada berita untuk ditulis. Media tidak mempunyai apa-apa untuk ditulis. Jadi, kritikan akan diteruskan.

Tetapi, saya setuju, satu perkara yang penting, kita perlukan menteri daripada kaum ini untuk memberi kepuasan kepada masyarakat India.

Tetapi, saya ulang, kita perlu percaya dengan kewibawaan dan strategi perancangan perdana menteri. Pastinya beliau ada rancangan sendiri. Kita perlu beri beliau masa supaya boleh lihat apa hala tuju yang akan dibawa.

ANDA LANTANG SEPERTI SAMY VELLU?
Tun Dr. S. Samy Vellu (bekas Presiden MIC) itu legenda. Saya sangat hormat padanya. Semasa kepimpinan beliau, saya masih di MIC. Saya belajar dengan melihat keberanian beliau walaupun susah untuk melakukan sesuatu perkara, lihat bagaimana pendekatan yang diambil.

Jika boleh mahu mengikuti jejak yang sama kerana melihat komuniti India sayang kepada pimpinan yang ‘bising’. Cara beliau ada antaranya boleh diambil tetapi Anwar tidak suka orang yang bising-bising, beliau mahu orang bekerja secara senyap.

Jawatan yang diberikan untuk berkhidmat, bekerja dan menjalankan amanah. Jika terlebih bising, kita akan ‘diketuk’. Apa yang saya cuba ialah membuat bising dan bekerja, mesti berjalan serentak.

PKR WAKIL SUARA KOMUNITI INDIA
Jika kita lihat, PKR sahaja yang boleh mewakili kaum India.Kita ada 31 ketua cabang daripada komuniti India. Jadi, ia jelas mewakili suara komuniti ini tetapi satu yang sangat penting ia perlu bersatu, bukannya bercakap buruk tentang orang lain. Jika begini, komuniti tidak boleh membangun sebab tidak bersatu.

Dalam mana-mana keluarga waima Pakatan Harapan (PH) sekali pun mesti ada pertengkaran tetapi diselesaikan aman damai.

Tidak lama lagi akan ada pemilihan parti (PKR) dan saya rasa kali ini barisan pimpinan lebih berbilang kaum dan bersatu. Mereka sudah faham (situasi politik), bila lihat sekeliling, apa akan jadi jika berpecah? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN