Mengapa BN, UMNO perlu tuntut adakan pilihan raya tempatan

Mengapa BN, UMNO perlu tuntut adakan pilihan raya tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata bahawa Barisan Nasional (BN) perlu berubah dengan merawat empat penyakit, khayal, pelupa, inertia dan sombong jika ingin kembali kuat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Satu gejala berpunca daripada dua penyakit khayal dan inertia ialah kegagalan UMNO mengetahui dan mengaku bahawa sistem politik tanah air bersifat majoritarianisme yang direkabentuk oleh UMNO selepas 1969 dan membolehkan dominasi UMNO sehingga 2018 kini sudah menjadi sumpah yang menghukum UMNO.

Di bawah sistem politik majoritarianisme, parti terbesar diberikan jauh lebih banyak kuasa daripada sewajarnya manakala parti-parti pembangkang malah rakan-rakan sepakat parti terbesar dibiarkan kebuluran.

Majoritarianisme di Malaysia tertonjol dalam tiga aspek. Pertama, sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) yang menafikan perwakilan setimpalnya kepada parti-parti kecil. Kedua, pemusatan kuasa yang menyekat kuasa kerajaan negeri dan membatalkan pilihan raya tempatan supaya jawatan ahli-ahli majlis dalam pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dimonopoli oleh kerajaan negeri.

Ketiga, penyekatan autonomi Parlimen agar kedua-dua ahli-ahli parlimen pembangkang dan barisan belakang (backbencher) kerajaan tidak dapat mempengaruhi dasar-dasar dan kerajaan-kerajaan.

Sistem ini menghukum UMNO semata-mata kerana direka untuk menguntungkan parti dominan dan merugikan parti-parti lain yang kecil. Kerana UMNO bukan parti dominan, kedudukannya jatuh dari untung ke rugi.

Ini paling ketara sekali dari segi perwakilan, pertama, di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disebabkan oleh sistem pilihan raya FPTP dan, kedua, di peringkat PBT yang disebabkan oleh ketiadaan pilihan raya.

Masalah pertama jelas dalam fakta ketiadaan seorang pun ahli Parlimen BN/UMNO di enam negeri yang menjadi kubu kuat PN (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan PH (Pulau Pinang dan Selangor). Enam negeri ini mempunyai 75 ahli Parlimen, iaitu satu kerusi lebih daripada sepertiga Dewan Rakyat tetapi UMNO kecundang di kesemua 75 kawasan. (Jadual 1)

Di peringkat DUN, pencapaian BN/UMNO baik sedikit tetapi tetap menyedihkan, daripada 224 kerusi ADUN di keenam-enam negeri ini, BN-UMNO cuma memenangi enam kerusi, dua kerusi masing-masing di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. (Jadual 2)

Ini memberikan dua persepsi yang amat memalukan dan merugikan BN dan UMNO. Pertama, UMNO telah dibungkus di wilayah tegar Melayu, yakni Terengganu (98% pengundi Melayu), Kelantan (95%), Perlis (85%) dan Kedah (77%). Kedua, BN/UMNO ditolak di dua negeri yang paling kaya dan maju, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

Akan tetapi, persepsi-persepsi ini sebenarnya adalah buatan FPTP. Kalau kita lihat peratusan undi, di Terengganu yang PN menyapu semua kerusi di Dewan Rakyat dan DUN, BN sebenarnya mempunyai sokongan 31.68% dalam PRU15 dan 28.70% dalam PRN2023.

Dalam lain kata, sungguhpun UMNO kehilangan dominasinya di negeri-negeri PN, ia tetap disokong oleh 20-30% pengundi. Cuma pengundi UMNO langsung dinafi perwakilan di bawah sistem pilihan raya FPTP yang bersifat majoritarianisme.

Negeri-negeri PN mempunyai sejumlah 32 PBT dan 759 jawatan kerusi dan UMNO tidak dapat satupun.

Di dua negeri tegar PH, UMNO cuma mendapat lima daripada 336 jawatan ahli majlis. Ini adalah kesan politik gabungan tetap di Malaysia: sama seperti dalam PRU dan PRN, parti komponen yang lemah tidak diberikan peluang untuk menjadi wakil.

Ia memudaratkan BN/UMNO kerana bakat-bakat muda di enam negeri ini akan memilih PN atau PH, atau berhijrah ke negeri-negeri selatan seperti Johor. Tanpa generasi pelapis, UMNO akhirnya akan pupus selama-lamanya di negeri-negeri ini. Bagaimana UMNO nak bangkit kembali kalau ia setakat parti wilayah selatan?

UMNO mesti berani menangkis propaganda lama bahawa pilihan raya tempatan dan penghapusan monopoli kerajaan negeri dalam lantikan ahli majlis akan merugikan orang Melayu. Hakikatnya, orang Melayu kini telah menjadi kumpulan terbesar di kawasan bandar.

BN-UMNO mesti berani menuntut reformasi sistem politik supaya ia mempunyai masa depan yang kompetitif. Sekurang-kurangnya, UMNO mesti berani memperjuangkan demokrasi pelbagai parti untuk orang Melayu.

Tuntutlah pilihan raya tempatan di Kelantan, Terengganu, Perlis serta PBT-PBT majoriti Melayu di Kedah dan Selangor. PBT lain boleh dikemudiankan. Tak akan kuasa politik Melayu terjejas semata-mata kerana pengundi Melayu boleh memilih ahli majlis PBT? – UTUSAN

PROFESOR Wong Chin Huat ialah ahli sains politik dan Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia SDSN di Universiti Sunway. Beliau juga ahli Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×